Pokok kesum antara sayuran yang banyak kegunaannya untuk memasak. Ramai yang cuba tanam pokok kesum tetapi sukar untuk hidup subur. Sebenarnya ada cara mudah untuk menanam pokok kesum hanya dengan menggunakan pucuk muda daun kesum.
Kalau selalu tak menjadi bila tanam daun kesum, apa kata cuba pula kaedah anti gagal perkongsian Cik Embun Kembali. Wanita ini mengamalkan cara tanaman menggunakan pucuk muda.
CARA TANAM KESUM ANTI GAGAL:
Mudah sahaja hendak tanam pokok kesum. Guna pucuk muda kemudian siram dengan bancuhan baja kopi.
1. Patahkan pucuk atas dalam 5-6 dahan (ambil pucuk sahaja dalam 2 inci, 1 inci dalam tanah, 1 inci bahagian atas. Buang daun pada batang yang nak tanam saja. Daun bahagian atas kekalkan.
2. Cucuk terus batang dalam pasu lain. Hari pertama memang nampak layu lembik macam tiada harapan, tapi biar saja. Siram ‘manja-manja’ dengan bancuhan baja kopi (JANGAN terkena daun).
3. Ini gambar hari ke 4, dah nampak cabang-cabang daun di celahan ruas.
Perhatikan, nampak dah hijau-hijau halus. Tanam pokok kesum cara ini lebih senang. Lagi elok pastikan tanah ada cacing. Saya memang kumpul cacing dalam pasu, subur!
Sukatan baja kopi untuk jadi air siraman:
4 liter air
1 sudu makan baja kopi
Larutkan (siram jangan kena daun)
Sumber: Cik Embun Kembali