Isi kunyit mahupun daun kunyit selain digunakan untuk menambah warna dan rasa masakan, tidak dinafikan juga ia mengandungi banyak khasiat. Apa tidaknya, cuba kita lihat petua orang dulu- dulu dalam hal penjagaan kecantikan dan kesihatan, pasti ada menggunakan kunyit dan sekali gus memanfaatkan khasiat kunyit dalam pelbagai cara.
Menyedari begitu pentingnya kunyit dalam kehidupan harian kita, elok kiranya pokok kunyit ini di tanam di laman rumah. Pun begitu, andai rumah tiada bertanah, tiada salahnya kunyit di tanam di dalam pasu atau bekas. Kata orang, hendak seribu daya dan jika tak nak memang banyak dalihnya.
Jadi, sebelum ingin mencuba menanam kunyit kenalah juga ambil tahu cara dan tip melakukan aktiviti tersebut. Agar apa yang kita lakukan akan ‘menjadi’ dan pokok kunyit dapat hidup subur dan mengeluarkan daun dan isinya yang banyak dan subur. Jadi jom semak perkongsian Ana Mahabu mengenai petua cantik dan sihat dengan kunyit dan melihat cara menanam kunyit mengikut cara yang dikongsikan oleh saudara Asrul Achoi, jom semak.
Tip tanam kunyit..cara saya.
1. Cari isi yang dah bertunas
2. Lepas tu gembur tanah..saya gunakan taik kambing..tanah merah..hampas rumput..campur dan gaulkan sebelum tanam kunyit
3. Alhamdulilah pokok subur…usia baru 3 minggu ditanam
Selain itu, meninjau perkongsian daripada Ana Mahabu tentang khasiat kunyit untuk penjagaan kecantikan dan kesihatan, ini katanya : KUNYIT, Khasiatnya sebagai ubat pembersih dalaman badan dan mencantikkan kulit. Di samping itu daun serta bunga kunyit bagi sesetengah masyarakat Melayu memang digemari sebagai ulam.
Petua kunyit:
Parut sedikit kunyit dan perah airnya. Amalkan meminumnya.
Parut dua ketul isi kunyit dan seketul lempoyang. Kemudian bubuhkan setengah cawan air hingga sebati. Tapis dan campurkan dengan satu sudu besar air limau nipis dan madu. Minum selama tiga hari berturut-turut. Selain menyihatkan bahagian dalam tubuh, ia juga mencantikkan kulit.
Memanaskan Badan: Tumbuk beberapa ketul kunyit hingga hancur. Campurkan dengan sedikit air dan tapiskan. Minum airnya tiga kali seminggu.
Daun Kunyit: Sekiranya anda diserang pening atau sakit kepala, ramas beberapa helai daun kunyit bersama sedikit air. Selepas itu sapulah di kepala hingga rata.
Isi kunyit dapat menyembuhkan penyakit senggugut terutamanya apabila dimakan mentah sebagai ulam bersama nasi. Kunyit juga melancarkan perjalanan darah dan mencegah kulit daripada cepat berkedut.