Tanam Cili Nak Lebat Buahnya, Tunas Air Kena Buang Terlebih Dulu!

Share

Menanam cili walau sekadar suka-suka kena tahu juga serba sedikit info penanaman agar pokok cili dapat hidup subur dan berbuah lebat.

Selain daripada rutin menyiram dan membaja, ada satu perkara mungkin ramai tidak tahu, betapa perlunya membuang tunas ais agar pokok cili dapat berbuah lebat.

Nak tahu detail tentang tunas air, ikuti perkongsian ini.

Kalau Tanam Pokok Cili Pastikan Buang Tunas Air Supaya Cili Lebat & Subur

Pokok cili besar atau cili padi antara yang selalu kita tanam di kawasan rumah. Hatta duduk di apartment pun ramai saja yang menanamnya dalam pasu.

Banyak rungutan mereka yang tanam pokok cili ini, pokok tak subur, buah kecil dan sikit.

Antara perkara penting yang ramai tak tahu dalam penjagaan pokok cili adalah tentang pemotongan tunas air. Jika tidak dibuang atau dipotong ia akan mempengaruhi perkembangan pokok cili begitu juga buah cili.

Kena buang tunas air pokok cili
Kali ini kita nak berkenalan dengan tunas air pada pokok cili.

Bila masa nak buang tunas air?

Tunas air selalunya dibuang selepas pokok cili pecah cabang. Lebih tepat lagi apabila pokok cili berusia 2 – 3 minggu.

Pada usia ini tunas air akan tumbuh dengan rancaknya pada batang pokok cili. Buang tunas air kesemuanya sebelum cabang pertama.

Kalau ada daun besar dalam 10 helai, buang dalam 8 helai, jangan melepasi Y (cabang utama).

Apa kesan tunas air pada pertumbuhan dan hasil tanaman cili?

Tunas air tumbuh dengan cepat dan banyak. Pertumbuhan tunas yang rancak dengan bilangan yang banyak memakan banyak baja.

Justeru itu secara fisiologinya, banyak nutrien pada baja akan digunakan oleh tunas – tunas air ini, berbanding kepada pertumbuhan cabang utama cili dan juga pertumbuhan buah (konsep sink and source).

Kesannya, pokok cili akan menjadi rendah bukan saiz sebenar dan bilangan dan saiz buah berkurangan.

Bolehkah kita menyimpan buah cili pada tunas air?

Tidak boleh. Ini kerana saiz buah pada tunas air adalah kecil dan bentuk buah selalunya abnormal.

Adakah kaedah pembuangan tunas cili besar/merah sama dengan cili padi?

Tidak. Tunas air dibuang kesemua sekali pada pokok cili besar/merah, manakala pada cili padi, tunas air disimpan 4-5 batang.
Ini kerana tunas air pada pokok cili padi dapat menyumbang kepada penghasilan buah cili padi.

Sumber : Muhammad Faisal