Setiap yang hidup, pasti akan mati. Siapalah kita nak tahu bila ajal kita sampai. Kan? Semuanya telah ditetapkan oleh Illahi.
Sama seperti manusia yang lain juga, usahawan dan pempengaruh, Datuk Seri Aliff Syukri mengakui dirinya amat takut untuk menghadapi kematian.
Memetik laporan Oh Bulan!, Aliff atau nama lengkapnya Aliff Syukri Kamarzaman, 38, berkata berita pemergian orang sekeliling sedikit sebanyak mengingatkannya tentang perkara tersebut sekaligus berdoa agar nyawanya diambil dalam keadaan tenang dan tidak mengaibkan.
“Saya terlalu sibuk, melihat ramai kawan-kawan dan rakan selebriti yang meninggal dunia awal, saya berdoa untuk mati dalam keadaan tenang dan tidak mahu dikecam. Saya sebenarnya takut untuk menghadapi kematian.
“Saya walaupun ada segalanya, perniagaan, kekayaan dan anak yang ramai, saya bersyukur tindakan saya masih terkawal dan tidak terlebih.
“Saya sedar saya bukan ahli ulama, end of the day saya akan tua dan sakit, oleh itu saya seru untuk sentiasa buat baik, sebab bila waktu kita mati kita tidak tahu pun.
“Baru-baru ini pun saya kurang sihat dan ada berjumpa dengan doktor, katanya saya perlu jalani kehidupan yang lebih sihat. Tetapi sakit apa yang saya alami maaf tidak dapat kongsikan,” katanya pada majlis rumah terbuka usahawan dan penyanyi duo, AishaHanim yang diadakan di Glamhall Damansara pada Jumaat.
Dalam pada itu, dia juga sudah pun memulakan gaya hidup yang lebih sihat selain perbanyakkan amal ibadah.
“Saya ingin kurangkan bersosial, saya mahu amalkan gaya hidup sihat, banyakkan beribadah. Saya banyak dengar nasihat isteri saya dan sekarang hati saya lebih tenang.
“Jujur saya katakan, sekarang sudah kerap solat berjemaah dengan anak-anak dan cuba untuk banyakkan membaca al-Quran untuk dekat diri dengan Allah.
“Kemudian saya mahu anak-anak semua ambil alih perniagaan supaya saya boleh berehat.” tambahnya.
Ditanya apakah hajat yang ingin dilakukan sebelum pergi menemui Ilahi, Aliff berkata dia memasang niat untuk mewakafkan sebahagian hartanya untuk mendirikan surau dan rumah tahfiz.
“Saya pernah berborak dengan isteri, saya beritahu dia agama saya tidak cukup, tetapi seandainya saya meninggal, saya minta sekurang-kurangnya harta saya diwakafkan untuk buat surau atau tahfiz sebanyak RM1 juta, itu lah niat saya.
“Saya juga berharap sesiapa yang mengenali saya atau rapat dengan saya tidak akan menceritakan perkara yang buruk apabila saya sudah tiada nanti.” jelasnya.
Untuk rekod, Aliff Syukri mendirikan rumah tangga dengan Nur Shahida pada Ogos 2007. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim.
Sumber : Oh Bulan!