Ibu ayah mana yang tidak mahu berikan yang terbaik buat anak-anaknya. Serangan HFMD yang semakin meningkat dari hari ke hari buat ibu ayah sanggup buat apa sahaja untuk mencegahnya.
Terbaru, produk anti HFMD yang berleluasa di pasaran dikatakan habis terjual. Semuanya gara-gara ingin mencegah anak daripada serangan penyakit berjangkit ini. Produk yang dijual dengan harga sekitar RM60 itu dikatakan dapat mencegah anak daripada HFMD.
Soalnya benarkah seperti yang didakwa? Kementerian Kesihatan Malaysia, menerusi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan perihal produk ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima aduan mengenai produk Anti HFMD/Flu Spray yang berada di pasaran iaitu produk penyahjangkitan atau pembunuh kuman (disinfectant) yang mendakwa dapat memberi pertahanan sepenuhnya daripada virus Hand Foot and Mouth Disease (HFMD) dan Influenza A.
Produk ini diperbuat daripada mineral yang diaktifkan (activated minerals) dan syarikat pengeluar telah dengan jelas melabelkan bahawa ianya boleh membunuh dengan serta merta 99.99% virus-virus HFMD dan Influenza A. Produk ini adalah untuk kegunaan luaran dan kaedah penggunaan adalah dengan menyembur produk ini pada baju, permukaan, permainan dan juga topeng (mask).
Buat masa ini, pihak syarikat didapati membuat tuntutan anti HFMD yang tidak berasas kerana tiada bukti yang kukuh menunjukkan tuntutan tersebut adalah berkesan seperti dilabelkan. Namun begitu, memandangkan produk ini tidak digunakan secara langsung pada manusia, maka produk ini bukanlah di bawah kawalan KKM dan tiada keperluan untuk pendaftaran di bawah agensi berkaitan di bawah KKM.
Atas keperluan untuk memastikan masyarakat tidak keliru terutama ketika penularan jangkitan HFMD yang melanda negara, pihak syarikat telah dinasihatkan untuk mengeluarkan tuntutan Anti HFMD/Flu bagi pasaran di Malaysia dan menggantikan dengan tuntutan yang lebih umum serta bersesuaian di label produk bagi mengelakkan kekeliruan kepada orang awam.
KKM ingin mengingatkan orang awam agar tidak mudah percaya dengan tuntutan perubatan yang dibuat pada produk ini. Orang awam disarankan untuk mengamalkan lima (5) perkara utama dalam pencegahan dan kawalan HFMD, iaitu:
Penjagaan kebersihan diri:
* Amalan cuci tangan yang betul
* Penjagaan kebersihan persekitaran
* Pemeriksaan/saringan di pintu masuk (gatekeeping screening) *Taska/tabika/tadika/pra-sekolah
* Disinfeksi atau nyahkuman permukaan-permukaan yang tercemar.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan
Kredit: Datuk Dr Noor Hisham Abdullah