Tak Susah Pun Suami Nak Bahagiakan & Redakan Tekanan Isteri Yang Penat. Wanita Ini Kongsikan 6 Cara. Cukup Mudah & Praktikal!

Share

Melakukan kerja-kerja rumah bukanlah semudah yang disangkakan. Penatnya hanya Tuhan yang tahu.

Dari awal dinihari membawa ke tengah malam, urusan rumah tangga takkan pernah siap. Ketika meletakkan kepala dan tidur itulah waktu rehat buat seorang wanita bergelar suri rumah.

Bagi yang berkerja, keletihan berganda dirasai usai pulang dari kerja, perlu membereskan urusna rumah tangga.

Justeru, sebagai suami kena menghargai dan selalu ringan tulang membantu isteri membuat kerja rumah. Tidak perlu pakar seperti chef untuk memasak, memadai boleh menyediakan menu untuk hidangan seisi keluarga.

Atau jika tidak pandai memasak, boleh membantu isteri membasuh pakaian mahupun pinggan atau boleh juga mengemas.

Sebenarnya nak bahagiakan isteri yang penat bukanlah sesukar mana. Tidka perlu barangan mewah atau wang ringgit yang banyak. Tetapi pertolongan yang suami hulurkan adalah yang terbaik.

Shaza Baharuddin kongsikan 6 cara yang boleh para suami lakukan bagi meredakan tekanan isteri. Jom baca, moga bermanfaat untuk semua!


Catatan Shaza

Setiap isteri pasti merasa tertekan apatah lagi bagi mereka yang bekerjaya. Begitu juga dengan suri rumah yang terpaksa membuat pelbagai kerja seawal membuka mata sehinggalah ketika masuk tidur. Bak kata orang, kerja suri rumah tidak pernah habis.

Saya juga tidak terkecuali maka saya hasilkan buku bertajuk 99 Stress Free Wife. Buku yang menceritakan kisah-kisah geram dengan kerenah suami namun di sebaliknya ada pengajaran yang tersirat. Namun perlu diingati, suami tetap perlu dihormati. Stress ala-ala manja sahajakan.

Bila isteri tertekan, apa yang perlu suami lakukan? Ada pelbagai cara suami boleh meredakan tekanan isteri, antaranya ialah :

 

1. Bawalah isteri berjalan-jalan. Sekali seminggu apa salahnya. Pergi ke tasik, tengok wayang, bawa pergi berkelah, kalau tiada bajet ajak ke pasar malam pun sudah menggembirakan hati isteri. Jika ada duit lebih, setiap dua bulan duduklah di hotel, bak kata orang berhoneymoon.

2. Jika berkesempatan suami bawalah anak-anak ke taman pada waktu petang. Main bola dengan anak-anak. Temani anak-anak perempuan bermain buaian. Berikan masa untuk isteri berehat, ‘me time’. Biarkan si isteri melayan perasaan menonton drama di waktu petang.

3. Bawa berbincang dengan suami apabila ada isu. Jangan biarkan isteri memendam rasa. Tadahkan telinga mendengar celoteh dan bebelan isteri tentang kenakalan anak-anak. Tetapi, janganlah pula ikut sama membawang dengan isteri.

4. Tolong kerja-kerja isteri. Cuci pinggan, jaga anak, kemas meja dan sebagainya. Musim hujan ni apa kata tawarkan diri pergi ke kedai dobi untuk membasuh baju. Ala, buatlah apa-apa kerja di rumah pun, isteri pasti suka.

5. Mohon pada suami jangan bawa masalah kerja ke rumah. Rumah adalah tempat berehat. Ceriakan isteri. Biar dia gembira dengan kepulangan suami. Sentiasa bergurau dengan isteri, buat lawak walaupun punchline hampeh.

6. Berilah isteri rehat seminggu sekali. Bagi isteri off day untuk sehari. Bawa dan belanja isteri makan di luar. Tanyalah selera isteri.

Sebenarnya banyak cara seorang suami boleh membahagiakan isterinya. Hargailah pasangan ketika mereka masih ada. Kita berkahwin untuk bahagia, bukannya untuk menderita.

Kena bijak menangani tekanan.

#coretanshaza