Beberapa hari lepas, viral di media sosial sebuah video yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki yang terpaksa mengambil gambarnya sendiri kerana tidak dihiraukan oleh orang sekeliling. Kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Nubhan, 8, telah memenangi tempat kedua dalam pertandingan badminton bagi acara beregu namun tiada sesiapa yang meraikannya.
Bahkan ketika dia meminta pertolongan orang sekeliling untuk mengambil gambarnya, tiada siapa yang peduli. Lebih menyentuh perasaan, dia kemudiannya dilihat menahan telefon bimbitnya pada selipar supaya boleh bergambar dengan medal serta hadiah yang dimenangi dalam pertandingan itu.
Warga maya bukan saja tersentuh melihat keadaan tersebut, namun mereka juga turut mendoakan yang terbaik buat Nubhan yang mempunyai potensi besar di dalam sukan badminton.
Syukur kerana dengan tularnya video tersebut, akhirnya kemenangan Nubhan diraikan serta dihargai dengan kedatangan aktivis masyarakat, Adrian Edy yang tampil berjumpa dengan jaguh cilik itu.
Bukan sekadar datang dengan ‘tangan kosong’, Adrian turut menghadiahkan kanak-kanak itu dengan raket badminton, stoking, kasut serta beberapa helai T-shirt yang mempunyai nama Nubhan di belakangnya.
Tonton video ini;
@adrianedy7 Syukur rezeki adik Nubhan, kita gembirakan dia dengan hadiahkan dia raket, kasut, baju untuk dia pakai main badminton, Nubhan kata dia akan berusaha bersungguh sungguh untuk capai impian dia untuk jadi seorang pemain badminton yang berjaya nanti 🤍 #fyp #adrianedy ♬ Pretty song that imaged a sleeping baby – Azuline
Adrian turut menghubungi ayah Nubhan untuk mengetahui latar belakang keluarga mereka. Dimaklumkan, ibunya seorang kerani manakala si ayah pula bekerja sendiri. Kasut yang dipakai Nubhan untuk menyertai pertandingan adalah kasut terpakai pemberian orang manakala raket pula dipinjam dari kakaknya.
Nubhan turut mengatakan raket yang dihadiahkan Adrian mahal dan biasanya digunakan oleh pemain profesional. Ditanyakan tentang idolanya dalam suka badminton, Nubhan menginspirasikan Datuk Lee Chong Wei.
Dia juga bercita-cita untuk menjadi pemain profesional dan memasang impian untuk mengharumkan nama Malaysia suatu hari nanti.
Melalui ruangan komen, ramai yang mendoakan kejayaan Nubhan serta ada yang berharap agar ada lagenda badminton seperti keluarga Sidek akan mengambil kanak-kanak itu sebagai pelapis untuk sukan ini. Ada juga yang turut memuji gaya pukulan Nubhan yang dilihat mempunyai potensi untuk terus maju dalam sukan ini.
Benarlah, di mana ada kemahuan di situ akan ada jalannya. Menggunakan kasut terpakai serta raket pinjam tidak menjadi alasan untuk Nubhan undur diri bahkan dia bangkit untuk mengecapi kemenangan pada hari pertandingan. Dengan tunjuk ajar dan bimbingan jurulatih profesional sudah tentu dapat membuka jalan yang lebih luas buat Nubhan di dalam sukan badminton.
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my