“Tak Sia-Sia Dengar Kata Mak Suruh Berlakon Sampai Ke Sudah” Bell Ngasri Dinobat Bintang Paling Popular!

Share

Pelawak Bell Ngasri mencipta sejarah manis apabila dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABPBH35) yang berlangsung di Istana Budaya, di sini pada malam Jumaat.

Bell atau nama sebenarnya Ngasrizal Ngasri cukup sinonim dengan watak Barkoba dalam telefilem 16 Puas itu turut memenangi kategori Artis Komedi Popular.

Ternyata kempen besar-besaran yang dilakukan bintang berusia 43 tahun itu membuah hasil dengan kemenangan tersebut.

“Saya adalah orang yang pernah cakap tak perlu populariti. Saya tak bergantung kerana populariti dan masih di sini setelah 37 tahun.

“Saya hanya membawa watak kecil. Kalau di majlis (anugerah), saya perlu hiburkan orang ketika iklan. Tapi saya percaya ada orang yang minat,” ucapnya di pentas kemenangan.

Bell turut mendedikasikan kemenangan ini buat ibunya, Habibah Jaafar dan sutradara tersohor, Allahyarham Mamat Khalid.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada emak daripada saya enam tahun, bawa angkut naik bas mini bagi susu dalam bas dan suruh berlakon.

“Sebenarnya ini permintaan dia juga untuk tengok anaknya jadi pelakon. Begitu juga watak Barkoba, terima kasih arwah Mamat Khalid,” katanya ketika mengambil trofi kemenangan.

Dalam pada itu, semasa berlangsungnya sidang media, Bell sekali lagi membuat ucapan khas buat ibunya yang selama ini tidak pernah lepas menyuruhnya berlakon dah berbuahkan hasil.

“Sepanjang 37 tahun saya dalam bidang ini, saya rasa akhirnya berbaloilah dengan apa yang saya buat selama ini. tak sia-sia saya dengar kata mak saya suruh berlakonlah sampai ke sudah.

“Berlakon la kau sampai bila-bila Bell, tak payah kau buat kerja lain. Saya nak belajar bidang lain disuruhnya berlakon juga. Tapi alhamdulillah impian ibu saya lah yang nak saya hargainya dengan inilah dia bintang paling popular.

“Mak saya hari ni pun menangis lagi. saya demi Allah saya tak tipu, apa saya cerita mak saya yang sebelum ni 5 hari dia menangis, betul, hari ni lagi pun dia menangis. Sampai saya untuk hari ni saya tak nak menangis saya tahan diri saya tapi ye la kadang2 xboleh nak tahannya.” katanya.

Sementara itu, Anugerah Khas Ekspresi Legasi Seni ABPBH 35 telah diberikan kepada Tan Sri Michelle Yeoh.

Bintang popular, Yuna pula diangkat sebagai penerima Anugerah Eksplorasi Seni ABPBH 35.

Di bawah keputusan penuh ABPBH 35 yang berlangsung di Istana Budaya pada malam Jumaat:

● BBNU LELAKI POPULAR – Amir Ahnaf

● BBNU WANITA POPULAR – Anna Jobling

● PENYANYI LELAKI POPULAR – Khai Bahar

● PENYANYI WANITA POPULAR – Aina Abdul

● ARTIS KOLABORASI/DUO/BERKUMPULAN POPULAR – Dolla

● AKTOR FILEM POPULAR – Beto Kusyairy

● AKTRES FILEM POPULAR – Sophia Albarakbah

● AKTOR TV POPULAR – Meerqeen

● AKTRES TV POPULAR – Anna Jobling

● PENYAMPAI RADIO POPULAR – Tyzo

● PENGACARA TV POPULAR – Elly Mazlein

● ARTIS KOMEDI POPULAR – Bell Ngasri

Selain 12 anugerah utama, tujuh lagi kategori Ekstra ialah:

● COUPLE TV POPULAR – Meerqeen & Anna Jobling (Melur Untuk Firdaus)

● COUPLE FILEM POPULAR – Datuk Aaron Aziz & Nadiya Nisaa (Dekatnya Cinta)

● DRAMA POPULAR – Melur Untuk Firdaus

● LAGU PALING BOOM POPULAR – Terus Hidup (Aina Abdul)

● CONTENT CREATOR POPULAR – Alieff Irfan

● TIKTOKERS POPULAR – Sally Whoo

● LAWAK VIRAL POPULAR – Syahmi Sazli, Hasif dan Yoe Parey