Stor kecil yang sebelum ini dibina untuk menyimpan barangan, kini menjadi tempat berteduh tujuh ahli keluarga termasuk suami, anak, menantu dan dua cucu.
Menurut Rohana Abdul Razak, 55, keputusan tinggal sementara di stor dan khemah di kawasan tinggi berhampiran rumahnya itu terpaksa dibuat demi keselamatan keluarga, walau mengakui ia jauh dari selesa.
“Kami sebenarnya dah turun ke rumah selepas banjir surut, tapi banjir gelombang kedua pula datang… jadi kami terpaksa berpindah semula ke atas,” jelasnya.
Ditanya kenapa tidak berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS), jelas Rohana, kekangan difikirkannya adalah kerana dua cucu masih kecil.
“Kami diminta pindah ke PPS, tapi kami anak kecil umur dua hingga enam tahun… sebab nak bawak budak-budak susah… jadi terpaksa menginap di sini.
“Memang tak selesa, saya duduk dua minggu badan terasa gatal-gatal, tak selesa. Sebab pindah waktu hujan, semua basah termasuk tilam pun basah (masa berpindah),” katanya lagi.
Di Kampung Binjai tersebut, kira-kira 41 rumah ditenggelami air sejak 18 Disember lalu. Kawasan itu antara lokasi pertama gelombang kedua melanda di Pahang sejak Sabtu lalu. Banjir juga turut memberi kesan emosi kepada mereka.
Akui Rohana, setiap kali hujan, dia berasa takut dan cemas memikirkan kemungkinan berlaku lagi gelombang ketiga.
Mengulas mengenai kediamannya selamat atau tidak selepas bencana itu, ujar Rohana, dia hanya mampu berserah kepada Allah.
“Jika mahu berpindah ke kawasan lain (selepas ini), sudah banyak modal dikeluarkan untuk membina rumah di tanah pusaka.
“Kalau ada peruntukan kerajaan beri bantuan kepada kami, boleh kami bina untuk penempatan baru, bolehla bina rumah itu kalau ada tempatnya,” katanya.
Sumber: Astro AWANI
ARTIKEL MENARIK: “Daripada 7.8 Billion Manusia, Kamu Bertakhta Di Hati.” Aksi Malu-Malu Heliza Bikin Terhibur, Sweetnya Ucapan Suami
ARTIKEL POPULAR: “Ditanya Nak Hadiah Apa, Saya Cuma Nak DOA.” Suami Dedah Sebab Pilih Heliza, Resepsi Dihadiri Ilmuan, Alunan Al-Quran & Tazkirah