“Tak Sangka Suami Pergi Secepat Ini.” Sebab Tu Sebelum Tidur Berdamailah. Esok Allah Tarik Nyawanya, Tinggal Kita Sendiri. Deep Kisah Ni!

Share

Dalam sesebuah rumah tangga, tak dapat lari dari berlakunya pertelingkahan atau perselisihan faham antara suami isteri. Namun, yang memburukkan keadaan bila mana masing-masing tidak mahu beralah dan ego. Akhirnya rumah tangga yang dibina berantakan.

Lebih-lebih lagi apabila sudah berumur, kita semakin sensitif dan mudah tersinggung, mudah marah. Itu yang mengakibatkan timbulnya konflik. Ini boleh mengancam kehormonian dan keutuhan hubungan suami isteri.

Tanpa sedar ego yang dijunjung tak bawa ke mana, sebaliknya penyesalan yang akan dirasai bila mana pasangan pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Waktu itu, menangis air mata darah sekali pun sudah tidak berguna. Yang pergi takkan kembali lagi.

Hadamkan perkongsian dari saudara Firdaus Mokhtar .Moga kita semua dapat mengambil iktibar dari kisah ini.


“Biasalah isteri kadang-kadang merajuk kan,” kata dia sambil kesat air mata. Aku yang tadi boleh lagi membentuk senyum dah mula rasa berat bibir. Tak mampu membalas aku cuma mengangguk tanda setuju.

Dia sambung, “malam tu pula dia panggil saya tidur sebelah dia. Saya yang rasa berat perasaan nak ikut cakap suami. Saya buat keras tak nak.

Saya sibukkan diri main telefon dan mesej dengan kakak saya. Bercerita pasal suami saya lah. Tak sangka esoknya dia meninggal.”

Lagi banyak air jernih jatuh daripada mata dia. Disapunya kain tuala kecil ke mata kiri dan kanan. Keringkan air mata yang mengalir tak sudah. Makin disapu, makin banyak yang keluar.

Mungkin terkilan sangat dia tak layan suami betul-betul malam sebelum tu.

“Tak sangka ustaz, saya memang tak sangka suami nak pergi secepat ini,” diulang dekat 3-4 kali sepanjang kami bersembang hal kematian suami dia.

Puan ini saya kenal melalui seorang kawan. Dia sungguh nak tahu tentang pembahagian harta. Jadi bawa jumpa dengan saya. Banyak benda bersembang sampai akhirnya dia cerita hal tadi.

Benar kawan-kawan, kita ini selalunya rasa akan hidup lama lagi. Bermasam muka hari ini dengan pasangan, kita biar berlarutan 2,3 hari. Bahkan ada yang sampai berminggu-minggu tak bercakap. Walhal duduk serumah.

Kadang masing-masing tak nak mengalah. Menunggu-nunggu dipujuk. Kalau suami tak pujuk, isteri terus simpan muncung mulut. Biar panjang berjela.

Suami pun sama, kalau isteri tak pujuk punya lah sibuk main game tak sudah. Konon tak ada apa, tapi dalam hati merayu-rayu.

Bertahan-tahan akhirnya lewat malam tertidur. Esok pagi bangun terkejar-kejar urusan nak pergi kerja pula. Kalau sempat bersalaman lah, kalau tak sempat main lambai-lambai begitu sahaja. Mata tak bertentang langsung. Masih pertahan ego sendiri.

Takdir Tuhan salah seorang meninggal. Tuhan ambil dahulu. Tak balik dah rumah lepas keluar pergi kerja pagi tadi.

Allahu.

Tinggal lah seorang sendirian. Waktu ini apa pun dah tak boleh. Nak patah balik masa jangan harap. Meratiblah perkataan maaf berjuta kali sekali pun, dah tak sampai ke deria pendengaran pasangan kita. Ini yang banyak berlaku.

Kawan-kawan yang dikasihi;

Pertahankan ego ni tak akan ke mana. Lebih lagi dalam hidup rumahtangga. Dengan pasangan kita lah lebih lagi untuk kita mudah beralah dan mengalah.

Sebelum tidur setiap malam, berdamailah. Minta maaf dan memberi maaf. Itu lebih baik buat kita dan pasangan.

Bukan untuk orang lain, untuk jiwa yang kita mengaku separuh hidup kita juga.

Sebelum segalanya tinggal kenangan, kalian bina lah kenangan yang indah. Yang menjadi realiti. Bukan cuma dalam mimpi bila kita tinggal sendiri nanti.

Begitulah.

Firdaus Mokhtar,
Balik daripada perjumpaan tu baru lah aku menangis sakan. Ya Tuhan.