“Tak Sangka Allah Jawab Doa Saya Begitu Cepat.” Siti Nurhaliza Luah rasa terharu, impian Bawa Siti Aafiyah ke Mekah Bakal terlaksana.

Share

Lama beliau menantikan kehadiran si comel bernama anak dalam rumah tangganya bersama suami. 11 tahun berusaha dan berdoa, akhirnya apa yang dihajati dimakbulkan Yang Maha Esa.

Kehadiran si comel bernama Siti Aafiyah melengkapi kehidupan penyanyi nombor satu negara, Dato Sri Siti Nurhaliza bersama suaminya tersayang, Datuk Khalid Mohd Jiwa.

Kasih sayang semakin bersemarak dan bahagia dikecapi sangat disyukuri oleh penyanyi kelahiran Kuala Lipis ini.

Keletah si kecil benar-benar menceriakan pasangan ini. Malah, impian beliau untuk membawa Aafiyah ke tanah suci Mekah bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

 

Dalam satu perkongsian, Dato Sri Siti Nurhaliza memberitahu impian tersebut sudah lama tertanam di jiwanya.

“Saya telah lama memasang niat semenjak mengandungkan Aafiyah. Akhirnya apa yang saya hajati akan terlaksana. Aafiyah bakal mengikuti saya dan suami mengerjakan umrah pada 23 Mei ini,” jelas Dato Sri Siti atau mesra disapa Tokti.

Selain Tokti dan keluarga, mereka juga turut disertai oleh beberapa ahli keluarga yang lain.

“Ini adalah doa saya setiap kali ke Mekah sebelum mengandung dulu iaitu mohon dikurniakan cahaya mata dan membawanya menunaikan umrah selepas dilahirkan. “Tidak sangka Allah jawab doa saya begitu cepat.

“Dalam usia Aafiyah baru mencecah setahun lebih dia dapat ke Mekah. Rasanya saya yang menumpang rezekinya. Saya bersyukur doa saya ini dimakbulkan Allah kerana bukan senang mahu ke sana tanpa keizinanNya.

“Apa yang lebih menyeronokkan apabila hasrat ini tidak memerlukan masa yang lama memandangkan usia Aafiyah baru sahaja setahun tetapi sudah berpeluang ke sana.

“Dari segi persiapan, saya banyak berdoa agar semuanya dipermudahkan kerana Aafiyah masih kecil. Saya berserah kepada Allah,” jelas Siti yang mahu Aafiyah membesar dengan didikan agama yang cukup.

Selain Mekah, penyanyi yang popular dengan lagu Anta Permana itu turut menyimpan niat untuk membawa anaknya ke Palestin.

“Saya turut berdoa dan menyimpan niat yang sama ketika berkunjung ke Palestin kira-kira dua tahun lalu. Harapnya suatu hari nanti saya dapat membawa Aafiyah ke Palestin pula,” ujar Siti.

Tambah Siti lagi, dia mahu anaknya itu membiasakan diri dengan apa yang beliau lakukan (ibadah) seperti melihat dirinya bersolat.

“Cuma saya perlu memikirkan waktu yang sesuai untuk membawa Aafiyah ke Masjidil Haram kerana terlalu ramai jemaah di sana.

“Ini penting demi kesihatan dan keselesaannya memandangkan dia masih kecil. Saya turut membawa kakaknya (panggilan kepada pengasuh Aafiyah) untuk memudahkan urusan di sana nanti,” katanya.

Justeru kata Siti, dia mengambil kesempatan tersebut juga mahu bertanya kepada rakan-rakan artis yang pernah bawa anak mereka mengerjakan umrah.

“Misalnya Yatt Hamzah yang pernah bawa anak-anaknya ke Mekah walaupun sedang mengandung ketika itu. Ia menguatkan lagi semangat saya untuk membawa Aafiyah,” ujar Siti.

Penyanyi ini ditemui dalam majlis Berbuka Puasa Siti Nurhaliza Bersama Sitizone dan majlis penyampaian anugerah Universal Music Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

Dalam majlis penghargaan itu, Siti dinobatkan sebagai penerima anugerah Legend Award Universal Music Malaysia yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Universal Music Malaysia, Singapura dan IndoChina, Kenny Ong.

“Bakat dan profesionalisme yang ada pada beliau adalah sesuatu yang sangat berharga buat kami. Kami berbangga untuk menyampaikan Legend Award kepada Siti,” kata Kenny Ong.

“Bekerja dengan Siti dan pengurusannya adalah satu pengalaman yang menakjubkan. Selama bertahun-tahun bersama, beliau sangat profesional dan sangat mudah bekerja dengannya.

Siti menerima anugerah ini berdasarkan pencapaian cemerlangnya dalam penjualan fizikal dan digital bagi album Fragmen, Konsert Unplugged dan SimetriSiti serta empat lagu single.

Empat single tersebut adalah lagu Anta Permana apabila Siti menerima 11 kali Platinum, Comel Pipi Merah (4 kali platinum), Mikraj Cinta (Platinum) dan Cinta Syurga (emas).

Malah kedudukan dirinya yang masih tidak tergugat dengan kehadiran mana-mana artis baharu lajn melayakkan beliau menerima anugerah tersebut.

Dalam masa yang sama Siti turut menerima anugerah emas untuk album SimetriSiti.

Malah beliau turut mencipta sejarah apabila muncul sebagai Malaysia’s Most Streamed Local Artist untuk tahun 2017 dan 2018 di pelantar muzik digital Spotify.

Sumber: Kosmo & Utusan Online

Gambar: IG Rozisangdewi & CTDK