Rasa pening kadang-kadang kita alami dalam hidup kita. Ia tidak berbahaya. Rasa pening ini kadang kala kita rasa seperti ‘kepala ringan’, rasa tidak seimbang tubuh dan ada kala rasa seperti ‘mahu pengsan’.

Pening itu sendiri bukanlah penyakit. Ia adalah simptom (gejala atau tanda) seseorang itu mungkin mengalami masalah tekanan darah rendah, masalah lemah jantung, masalah saraf, masalah kekurangan darah merah, kekurangan gula dalam darah, jangkitan kuman dalam telinga, stroke, masalah penglihatan, migraine, kemurungan/keresahan melampau, kecederaan kepala, dan banyak lagi. Ia juga boleh berlaku akibat kekurangan air dalam tubuh (dehidrasi), terlalu banyak melakukan aktiviti fizikal, gegaran semasa dalam kapal terbang atau kenderaan darat (motion sickness), perubahan hormone dalam tubuh dan kesan sampingan dari ubat-ubatan sintetik.


Rasa pening yang biasa, selalunya cepat sembuh apabila kita berehat. Cuma kadang kala kita tidak tahan dengan keadaan seperti ini. Nasihat saya ialah agar buat pemeriksaan doctor bagi memastikan bahawa pening yang dialami bukanlah suatu yang berbahaya. Jika sudah mendapat pemeriksaan doctor, selalu pesakit akan diberikan beberapa ubat untuk mengurangkan rasa pening ini. Ia bukan rawatan sebenar hanya ubat yang membantu mengurangkan rasa pening.

8 PETUA HILANGKAN SAKIT KEPALA.

Rawatan dan ubat sebenar akan diberikan jika seorang pesakit dikenalpasti mengalami penyakit tertentu. Dengan merawat penyakit tersebut, rasa pening akan hilang. Bagi mereka yang tidak mahu menggunakan ubatan sintetik bagi mengurangkan rasa pening, saya mencadangkan beberapa cara.

1. Menarik nafas dalam. Ia adalah teknik yang terbaik untuk mengurangkan pening kerana ia akan membekalkan oksigen pada otak secukupnya, membuatkan sistem saraf menjadi relaks, dan dengan perlahan-lahan ia mengurangkan rasa pening.
.
• Duduk atau baring dalam keadaan yang selesa.

• Letakkan satu tangan pada abdomen, dan letakkan ibu jari dari tangan yang satu lagi untuk menutup satu lubang hidung. Tutup mulut.

• Bernafas perlahan-lahan melalui lubang hidung yang tidak ditutup itu. Cuba bernafas secara maksima hingga terasa tangan yang menyentuh abdomen bergerak ke hadapan.

• Tahan nafas dengan menutup kedua-dua lubang hidung. Tahan sehingga kita tidak mampu lagi bertahan. Kemudian lepaskan nafas perlahan- lahan melalui mulut (secarmeniup bibir).

• Ulang langkah-langkah ini sebanyak 10 kali.
.
2. Minum air secukupnya. Dehidrasi akan menyebabkan rasa pening. Ia berlaku apabila kita jarang minum air, dalam cuaca yang sangat panas atau selepas melakukan aktiviti fizikal. Boleh minum air minum sedikit-sedikit, untuk mengurangkan rasa loya dan muntah.
.
3. Makan sedikit. Rasa pening juga boleh disebabkan oleh tahap gula dalam darah yang rendah, terutama pesakit diabetis. Bagi pesakit yang tiada penyakit diabetes, rasa terlalu lapar juga boleh menyebabkan rasa pening. Jadi bila pening, boleh cuba makanan yang tidak pedas, berminyak dan masam. Makan sedikit bagi mengurangkan rasa pening. Saya mencadangkan pengambilan buah-buahan yang manis (bagi bukan pesakit diabetes) atau kekacang yang dapat memberikan tenaga segera.
.
4. Halia telah terbukti dapat mengurangkan rasa pening dan loya/muntah. Ia merangsangkan pengaliran darah pada otak, dengan ini mengurangkan rasa pening. Setengah inci halia dipotong dan diperah jusnya. Ia boleh dicampur dalam segelas air suam atau dalam segelas air panas. Kepingan halia yang direndam dalam madu juga boleh diambil dengan cara menghisapnya perlahan-lahan.
.
5. Lemon mengandungi vitamin C, yang membantu meningkatkan daya tahan dan mengurangkan rasa pening dan loya. Ia membantu meningkat metabolism dan tenaga. Perahkan separuh buah lemon dalam gelas air, Campurkan sedikit madu sebanyak satu atau dua sudu. Minum 3 kali sehari.
.
6. Madu mempunyai kandungan gula bersama mineral dan enzim. Ini membantu meningkatkan tenaga. Campurkan dua sudu teh madu bersama dengan cuka buah-buahan (seperti cuka kurma atau cuka epal). Campurkan dalam segelas air suam. Minum perlahan-lahan. Boleh campur dengan setengah inci kayu manis (cinnamon) dan diminum setiap hari.
.
7. Ginkgo Biloba. Ia adalah herba yang banyak dijual secara komersial melalui farmasi dalam bentuk kapsul. Ia adapat mengembangkan saluran darah dan mengurangkan rasa pening dan loya. Ia juga mengurangkan rasa berdesing dalam telinga. Dos yang biasa diambil ialah 40-50 mg, diambil tiga kali sehari.
.
8. Makan makanan yang sihat. Makan makanan yang sihat dapat membantu merawat rasa pening. Jika rasa pening itu disebabkan oleh kekuarangan sel darah merah (anemia), tekanan darah rendah dan kandungan gula rendah dalam darah, dengan memakan makanan yang sihat yang kaya dengan zat besi, vitamin A, folic acid dan fiber. Makanan yang sihat adalah makanan yang rendah gula dan lemak tepu.
.
Makanan yang kaya dengan zat besi seperti hati, tauhu, bayam, badam, kurma dan asparagus. Makanan yang kaya dengan vitamin C pula adalah oren, lemon, cili benggala, broccoli, anggur, dan bayam. Makanan yang kaya dengan folic acid seperti sayur-sayuran hijau, hati, pisang dan broccoli.
.
Jadi pemakanan yang sihat dapat membantu mengekalkan kesihatan yang baik dan mengurangkan rasa pening.

Kredit: Dr Zubaidi Hj Ahmad