“Tak Rugi Bermesra Dengan Alam”. Lelaki Ni Kongsi Kisah Ibunya, Jadikan Inspirasi!

Share

Kisah ini menarik untuk dikongsikan untuk dijadikan tauladan tentang hubungan kita dengan alam. Ia berkaitan tindakan seorang ibu yang akan memastikan ada sepasu air di laman rumahnya.

Jika diikut  logik akal, tiada manfaatnya perbuatan tersebut dan sukar juga untuk memahami tujuan perbuatan tersebut.

Memahami lanjut tentang kisah ini, ikuti perkongsian penuh daripada Hishamudin Isam ini.


Ada sesuatu yang menarik tentang emak yang ingin saya kongsikan. Sewaktu beliau masih kuat dan sihat, apabila tiba musim panas, mak akan pastikan ada bekas air diletak di halaman rumah.

Saya tertanya apa gunanya bekas air tersebut. Jawapan mak cukup ringkas.

“Tak rugi bermesra dengan alam. Pasti ada doa mereka untuk kita”.

Serius saya tidak faham, dan tidak pernah mahu faham. Biasanya, jika emak tidak perasan, saya akan terbalikkan bekas air tersebut.

Takut nyamuk membiak. Selang sehari dua, saya tengok, bekas tersebut akan terisi air kembali.

Hujung tahun lepas, saya balik kampung. Sampai sahaja di rumah, saya perhatikan ada bekas air betul betul di depan rumah, bersebelahan pokok pokok bunga emak yang sentiasa cantik dan terjaga rapi.

Akhirnya saya mula faham apa yang emak maksudkan setelah melihatnya sendiri, dan membuka mata hati saya untuk memahami.

Rupanya bekas air tersebut sengaja emak letak, tempat burung, kucing atau apa sahaja serangga mandi atau melepas dahaga.

Patutlah apa sahaja yang emak tanam biasanya menjadi dan membuahkan hasil.

Mungkin burung, kucing atau serangga itulah yang turut sama mendoakan kebaikan buat emak dan tanamannya.

Memang benarlah, tidak rugi bermesra dengan alam.

sumber : Hishamudin Isam via Berkebun D Rumah