
Mak ayah dah bawa anak-anak pergi periksa gigi? Kalau belum cepat-cepatlah bawa. Tak perlu tunggu gigi banyak tumbuh baru bawa. Dah boleh bawa check gigi seawal gigi pertama tumbuh lagi.
Gigi yang sihat warna putih susu. Permukaannya licin. Ruang antara gigi itu normal untuk tumbesaran gigi kekal nanti.
Tompok putih itu tanda awal gigi susu nak rosak. Lapisan enamel menipis. Biasanya terdapat di kawasan berdekatan gusi. Dalam keadaan tertentu, tompok putih ini boleh hilang dengan penggunaan flourida. Kalau tompok putih ini dibiarkan, akan menjadi kuning dan coklat.
Tompok kuning atau coklat tanda gigi sudah berlubang. Kawasan sekeliling tompok kuning/coklat akan menjadi semakin rapuh. Wajib jumpa doktor gigi dah!! Jangan biarkan.
Peringkat karies teruk boleh membahayakan anak-anak. Gusi bengkak. Muka bengkak kalau dibiarkan. Boleh juga menyebabkan gigi dicabut awal.
Sumber: Iqbal Rosali
Was-Was Doktor Lelaki Sambut Kelahiran Anak? Kena Baca Pencerahan Dari Ustaz Dr. Zulkifli Al Bakri Ini. Take Note Bakal Ibu!

Dari awal mengandung, pelbagai persiapan dilakukan bagi menyambut si kecil. Si ayah pastinya tak sabar nak mendukung dan mencium bau bayi. Ibu pula berdebar menantikan saat melahirkan anak.
Dalam keterujaan tersebut, terselit juga kekeliruan apabila doktor lelaki menyambut kelahiran anak sekaligus melihat aurat wanita tersebut.
Kalau diikutkan, sejak dahulu lagi isu ini sering diperkatakan. Ada yang masih was-was walaupun ketika sudah berada di bilik bersalin. Jika bersalin di hospital swasta mungkin hal ini tidak timbul kerana bakal ibu boleh memilih doktor wanita.
Atas keprihatinan dan beberapa berkenaan kemusykilan ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri terpanggil untuk berkongsi ilmu ini di twitternya. Ini yang harus wanita tahu.
Datuk, apakah hukum doktor lelaki menyambut kelahiran bayi?
Tidak dibenarkan di sisi Hukum Syarak bagi lelaki untuk melihat kepada aurat wanita ajnabi, melainkan terdapat hājah (keperluan) dan darurah (keperluan mendesak) untuknya. Antara bentuk pengecualian ialah rawatan al-fasdu (venesection, venipuncture, phlebotomy), berbekam…dan rawatan am. Ini kerana jika diharamkan akan mendatangkan haraj (kesukaran) sedangkan haraj dihilangkan oleh Syarak.
Justeru harus bagi lelaki merawat wanita dan wanita merawat lelaki, dengan syarat…
1. Jika wujud perawat yang muslim, maka tidak boleh digantikan.
2. Ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang dipercayai.
3. Ketiadaan perawat wanita, atau perawat lelaki bagi pesakit lelaki.
4. Perawat boleh melihat kepada bahagian badan selama mana ada keperluan kepadanya.
“Bahawa Umm Salamah (isteri Nabi SAW) meminta izin darapada Rasulullah SAW untuk berbekam lalu Nabi meminta Abu Taibah untuk menjalankan rawatan bekam ke atas Umm Salamah.”
Berkata Jabir: “Aku kira bahawa Abu Taibah itu adalah saudara susuan Umm Salamah atau budak kecil yang belum baligh.” Hadis riwayat Muslim (2206). Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (4/50); Fiqh al-Manhaji (1/126-127).
Berkata Syeikh Mulla Ali al-Qari Rahimahullah: “Telah dijelaskan oleh para ulama kita bahawa sekalipun bukan mahram, boleh untuk menjalankan rawatan bekam, fasdu, dan khitan.” Berkata al-Taibi Rahimahullah: …
“Dibenarkan bagi lelaki ajnabi untuk melihatkan pada sekalian tubuh wanita bagi tujuan darurat dan rawatan.” Rujuk Mirqah al-Mafatih ٍ (no. 3103).
Justeru, termasuklah dalam kategori rawatan ini ialah menyambut kelahiran kerana ia melibatkan nyawa ibu dan anak jua.
Kami syorkan hendak semua dawabit atau syarat-syarat yang dinyatakan di atas hendaklah dipatuhi bagi memastikan ketenangan bagi pihak pesakit, hospital dan keluarga.
Begitu yang dijelaskan oleh beliau. Moga kekeliruan ini buat wanita rasa lebih tenang untuk melalui proses melahirkan bayi mereka. Kalau rasa kurang selesa dan bimbang risiko bertemu dengan doktor lelaki, ada baiknya kumpul duit dan pergilah ke mana-mana hospital bersalin terpilih.
Anda boleh memilih untuk sendiri untuk bersalin dengan aman dan paling penting boleh demand doktor perempuan. Ikut pilihan masing-masing. Tepuk dada tanya selera anda.
Sumber: Dr.Zulkifli alBakri
Perokok Lebih Kritikal Keadaannya Jika Dijangkiti Covid-19. Dr Ni Jelaskan Sebabnya!

Usaha untuk menghentikan daripada virus covid-19 terus tersebar, umumnya kita semua perlu mengawal pergerakan dengan melaksanakan PKP secara berdisiplin.
Selain itu, kita juga diminta untuk meningkatkan amalan penjagaan kesihatan dan sekali gus mengamalkan gaya hidup sihat.
Pun begitu, bagaimana dengan perokok?
Untuk lebih jelas situasi tersebut, doktor ini kongsikan satu kisah yang diharapkan dapat menjentik hati kaum adam terutamanya buat mereka yang kita sayangi dalam keluarga untuk segera berhenti merokok.
“Doktor, pesakit bilik dekon spo2 drop!!”
Seperti yang dijangka. Aku tak tangguh terus berlari dengan gaya Usain Bolt.
“Prepare for intubation!”
“Encik, oksigen dalam badan kurang sangat ni. Kita akan bantu dengan masukkan tiub pernafasan. Sebelum tu kita akan bagi ubat tidur. Encik ikut saya mengucap ya”
“Ashadu Alla Ilahaillah Wa Ashadu Anna Muhammadurasullulah…”
Kalimah syahadah dibisikkan ke telinga pesakit sebelum ubat tidur dimasukkan.
Perlahan. Tenang. Yang berada disitu mengharapkan rahmat dan bantuan Allah saja semata-mata. Kita hanya mampu berusaha.
Pesakit ini masih muda. Baru 34 tahun. Tiada sejarah penyakit cuma seorang perokok tegar. Tiada kontak rapat. Dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas.
Pada mulanya diberi bantuan oksigen dari luar, nampak kandungan oksigen dalam badan masih stabil tetapi xray dada teruk. Kami syak kemungkinan besar pesakit dijangkiti covid-19.
Covid-19 akan melekat di ACE2 reseptor di paru-paru dan perokok mempunyai ACE2 reseptor yang sangat tinggi. Mereka akan mengalami jangkitan yang teruk jika dijangkiti covid-19.
Semakin banyak ACE2 reseptor, semakin banyaklah virus ini memasuki badan. Dalam masa yang singkat, pesakit akan sesak nafas dan keadaan ini dipanggil ARDS (Acute Respiratory Distress Syndrome).
“Puan ni isteri kepada En. K?”
“Ya,saya.”
“Saya doktor yang merawat suami puan. Kandungan oksigen dalam badan suami puan tadi terlalu kurang. Kami terpaksa masukkan tiub pernafasan.”
“Ya Allah. Boleh saya jumpa dia sekejap doktor”
Kelihatan sesekali dia menggosok perutnya yang sedang sarat mengandung.
“Maaf puan, tidak dibenarkan sesiapa pun jumpa pesakit. Kami syak suami puan dijangkiti Covid-19.”
Terus kelu. Tak tertahan-tahan air matanya menderu-deru meleleh dipipi.
Antara memikirkan untung nasib suaminya dan keadaan hari depan. Bagaimanalah mahu menghadapi situasi ini dalam keadaan sarat mengandung.
Benar, bukan mudah untuk berhenti. Bukan tak mahu berhenti. Dah berkali cuba tapi gagal. Terus kecewa dan berhenti untuk cuba lagi.
Tapi ingat lah yang kita ada isteri yang memerlukan kasih sayang seorang suami, ada bakal anak kecil yang dahagakan kasih sayang seorang ayah dan kita juga ada ibu bapa yang rindukan kehadiran seorang anak.
Kita perlu korbankan rasa kecewa dan putus asa untuk cuba terus berhenti merokok. Kita perlu korbankan rasa ketagih pada rokok. Kita perlu berkorban demi orang-orang yang paling kita sayang.
Kehadiran wabak ini sepatutnya dapat menginsafi semua perokok. Rebutlah peluang untuk berhenti merokok. Inilah masanya.
Ingat, paru-paru perokok adalah syurga buat virus ini.
Minta tolong kongsikan cerita ini pada yang masih merokok agar mereka berwaspada dan diberi kekuatan untuk berhenti merokok.
sumber : Dr Ahmad Samhan
-rokok itu hanya nikmat seketika tapi derita keakhir usia-
“Jangan Sesekali Ukur Kehidupan Orang Guna Pembaris Kita.” Wanita Ini Kongsikan Kisah Perkahwinan Jarak Jauhnya.

Setiap orang tak sama perjalanan hidupnya, ada yang tinggal bersama, tak kurang ada yang terpaksa berjauhan dengan pasangan. Dengan kata lain, PJJ yakni perkahwinan jarak jauh.
Dan tidak semua orang mampu melalui perjalanan hidup berjauhan dengan pasangan lebih-lebih lagi jika ada anak. Bukan satu tugas yang mudah, kena bijak membahagikan masa.
Begitu pun, orang sekeliling terutama keluarga dan rakan-rakan perlu memberi sokongan dan tidak lokek menghulurkan bantuan apabila diperlukan.
Namun tidak semua orang faham akan situasi PJJ. Demikian secebis kisah yang dikongsikan oleh Najibah Mustaffa menerusi laman facebooknya.
JANGAN SESEKALI UKUR KEHIDUPAN ORANG GUNA PEMBARIS KITA
Dulu masa saya PJJ dengan suami, tak jauh pun Kuantan – Temerloh. Sekitar 2 jam perjalanan. Bila saya bercerita perihal sukarnya saya PJJ, urus dua anak sendiri. Ada lah rakan sekerja yang memandang remeh keluhan saya. Padanya tiada apa sangatlah setakat PJJ begitu. Ada orang lagi lama, lagi jauh.
Perasaan saya masa tu terhenyak. Rasa jatuh berkeping keping. Oh gajah pada mata saya, hanya kuman pada mata orang yang memandang.
Lalu saya belajar. Jangan mengatakan perkara yang sama kepada orang yang sedang dalam kasut ujian. Jangan diremehkan, sebaliknya bantulah menguatkan sebuah perasaan. Hulurkan bantuan jika diperlukan. Jika kita kuat hadapi sesebuah situasi, belum tentu orang lain sama.
Sebab, pembaris kita tak pernah sama. Dan tak akan pernah.
Syukurnya Maghrib ini bila baca berita Ustazah yang hilang itu sudah ditemui selamat. Ustazah ini juga teruji dengan jarak jauh antara rumah dengan sekolah. Setiap hari bangun seawal pagi, membelah malam yang masih pekat dan memandu ratusan kilometer untuk ke sekolah.
Yang buat rasa sebal di dalam hati bila ada komen komen tak fikir sensitiviti lebih kurang begini.
“Alah, setakat ulang alik kerja macam itu, isteri kawan aku relaks je. Bahagia je. Anak pun ramai. ”
“Ala. Acah acah depression je ustazah ni. ”
” Ustazah tak kuat iman.”
” Kalau dah tak boleh nak mengajar. Lepas je jawatan tu bagi orang lain. ”
Allahu. Kita akhir zaman ni begini lah. Laju sangat menaip sampai lupa nak tapis kata kata ikut batasan adab, akhlak dan perikemanusiaan. Seolah olah kalis benar dari ujian.
Semua nak ulas ikut pembaris sendiri. Walhal kita tak tahu pun cerita sebenar.
Kita sedar atau pun tidak. Simpati atau empati ke tidak. Kenyataannya wanita hari ini ramai yang terpaksa jadi kuat. Lebih daripada kemampuan dirinya. Urus rumahtangga, bekerja, sampaikan tiada masa untuk diri sendiri.
Sakit, tahan.
Sedih, pendam.
Penat, biarkan.
Dan sudah lama tak mampu ukir senyuman.
Sedar tak sedar ramai wanita kemurungan dan ada penyakit mental. Antara punca kerana gaya hidup yang menekan hari ini. Tambah lagi tiada sistem sokongan sekeliling terutama suami. Banyak kes pengabaian rumahtangga.
Kes kelar anak. Nak terjun jambatan. Lemas kat laut.
Antara secebis kisah berkaitan isteri, ibu, wanita yang kita pernah dengar. Kita tak tahu berapa ramai lagi jiwa jiwa ini yang sedang berduka. Belum sembuh.
Keadaan jadi lagi buruk bila ada jenis lelaki yang nak samakan kudrat wanita dengan dirinya lelaki bab bekerja etc. Walhal jika diri mereka diminta mengurus rumahtangga sebagaimana wanita. Belum tentu bagaimana.
Kita mungkin lupa satu perkara. Wanita dan lelaki ini Allah jadikan berbeza design dan software nya. Fizikal pun tak sama. Apatah lagi emosi, kemampuan diri.
Kalau pun tak boleh empati. Simpati sahaja sudah cukup.
Najibah Mustaffa
Berkata lah yang baik. Atau pun diam sahaja. Ikut pesan Rasulullah.