“Tak Percaya Saya Ibu Sekarang.” Suami & Iringan Lagu Cinta Klasik 70-An Temani Chryseis Tan Saat Melahirkan Anak!

Share

Momen paling indah bagi seorang wanita apabila bergelar ibu, segala rasa sakit mengandung dan melahirkan hilang sekelip mata usai memandang si kecil yang sudah ada di sisi.
Biarpun pelbagai dugaan dan kesakitan terpaksa diharungi namun semuanya ditempuhi dengan penuh sabar. Itulah pengalaman yang menjadi momen yang cukup berharga dan di simpan dalam lipatan memori buat selama-lamanya.


Rata-rata kaum ibu pasti akan berkongsi pengalaman melahirkan baik secara normal mahpun pembedahan. Demikian juga dengan isteri kesayangan SM Faliq Nasimuddin, Chryseis Tan yang selamat melahirkan anak sulung mereka baru-baru ini.

Menerusi laman sosial Instagram, Chryseis turut memuat naik dua foto bersama suami dan anak, Arianna Kyla Tan yang baru dilahirkan untuk tatapan umum.

“Jadi, ramai yang tanya sama ada saya melahirkan anak secara normal atau C-section. Inilah pengalaman bersalin saya, Arianna merupakan bayi songsang dan cara paling selamat untuk melahirkannya adalah melalui C-section walaupun saya berharap dapat bersalin secara normal.

“Saya gementar untuk dibedah namun ia perlu dilakukan. Kami check-in ke Hospital Pantai dan esoknya saya dibawa masuk ke bilik pembedahan. Epidural dilakukan dan saya merasa kebas dari pinggang ke bawah.

“Dalam keadaan sedar saya sudah berada di dalam bilik pembedahan dengan Faliq berada di sebelah, lagu cinta klasik 70-an dimainkan dan Arianna berjaya dikeluarkan dan ditunjukkan kepada kami.

“Kepada yang bertanya adakah saya berasa sakit, saya tidak merasa sakit sehingga ke hari ini (walaupun sedikit tidak selesa bila perlu berjalan buat pertama kali selepas dibedah).

“Saya takut sebelum dibedah dan nampaknya is berjalan dengan sangat lancar. Kalau saya boleh buat, saya yakin anda semua boleh. Saya berharap pengalaman seterusnya juga akan sama seperti yang ini.

“Saya masih tak percaya saya seorang ibu sekarang tetapi inilah permulaan kepada kehidupan baru saya dan Faliq, alhamdulillah,” tulis Chryseis sebagai kapsyen.

Arianna Kyla Tan dilahirkan pada 16 Julai lalu dengan berat 2.9kg.

Sumber: Astro Gempak chrystan_x