Dah menjadi kebiasaan buat pasangan suami isteri memberi kejutan atau meluahkan bait-bait indah buat yang tersayang terutamanya ketika pada hari-hari penting seperti ulangtahun perkahwinan.
Hari ini, pelakon Noorkhiriah menyambut ulang tahun perkahwinan ke-16 bersama suami tercinta, Azfaizul Ahtan.
Perkara ini dikongsikan sendiri di laman Instagram miliknya. Dalam perkongsian tersebut, Noorkhiriah atau nama lengkapnya Noorkhiriah Ahmad Shapie, 43, telah menitipkan ucapan istimewa yang menyentuh hati buat suaminya sempena meraikan ulang tahun itu.
Menurutnya, selama hidup bersama banyak pengorbanan dan kebaikan yang dilakukan untuk keluarga mereka.
“Pakaian suami adalah pakaian isteri.. Genap 16 tahun awak jadi imam saya di Jumaat yang lagi berkat ni.. Kurang lebih saya minta maaf.. Saya ini banyak salah dari betul..
Korang doakan akak dan suami till jannah. Semoga Allah angkat dan makbulkan doa kalian. Untung saya dapat awak..dan jangan rugi dapat saya, maklumlah kadang saya menghiburkan kadang memeningkan..
“Semoga Allah membalas segala kebaikan awak di dunia dan akhirat pa..ikhlas dari tulang rusuk kiri,” ucapnya dalam entri tersebut.
Dalam kemas kini berbeza Noorkhiriah terus membuat muat naik khas buat suaminya yang memberitahu sehingga kini kasihan kerana terpaksa menanggung dosanya sebagai isteri.
“Terus doakan saya Pa (panggilan buat suaminya). Sakitnya bila awak terus menanggung dosa saya. Semoga Allah Tarik saya ke jalan kebenaran. Saya tak nak susahkan awak dunia dan akhirat,” harapnya.
Noorkhiriah berkahwin dengan Azfaizul Ahtan pada 11 November 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Hudhaifah dan Muhammad Yusoff.
Sumber : Instagram Noorkhiriah