“Tak Mudah Kekal Berat Badan Lepas Bersalin. Yang Ada Anak Je Faham.” Fazura Pernah Kena ‘Body Shaming’, Plan Nak Anak Lagi!

Share

Fazura mengakui  agak sukar baginya untuk mengekalkan berat badan ideal selepas bersalin.

Sememangnya, perkara ini bukan sahaja berlaku kepada isteri kesayangan Fattah Amin, bahkan setiap wanita yang melahirkan anak pasti tidak terlepas daripada perasaan bimbang dek perubahan tubuh badan. Berat mahupun bentuk badan sudah ‘lari’ bak kata orang.

Namun Itu tidak bermakna perubahan tersebut membantutkan keinginan pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin ini untuk menimang cahaya mata buat kali yang kedua.

Dalam satu sesi temubual baru-baru ini, Fazura mendedahkan dia dan suami yang juga merupakan pelakon, Fattah Amin mempunyai  perancangan untuk menambah bilangan cahaya mata.

“InsyaAllah, sebenarnya memang ada perancangan tapi saya baru je dapatkan semula berat badan ideal saya. Sejujurnya memang ramai yang bertanya soal ini.

“Selepas melahirkan anak pertama, saya ada juga terkena ‘body shaming’ sebab ramai yang bertanya mengenai perubahan bentuk badan saya. Saya pun giat juga ‘work out’.

“Memang tak dinafikan, bentuk badan selepas fasa bersalin ni memang berbeza. Bukan mudah nak kekalkan. Ibu-ibu yang dah ada anak-anak je yang faham situasi ini.

“Walaupun saya seronok bila dah capai berat ideal ni, tapi ia bukan penghalang untuk saya timang cahaya mata lagi. InsyaAllah akan diusahakan sebab memang dalam proses juga,” katanya seperti yang dilaporkan menerusi Media Hiburan.

Begitupun dia mengakui mereka berdua turut tidak terburu-terburu untuk menambah bilangan ahli keluarga.

“Fattah pun tak kisah sebenarnya. Dia kata terserah kepada saya. Dia ikut je bila saya dah bersedia.  Sementelah dia pun tahu yang kena jaga badan dan berpantang itu semua saya,” kongsinya lagi.

Ditanya perihal kerjaya seninya Sebagai pelakon, akui ibu kepada Nur Fatima Aisya ini lagi, dia bersedia mempertimbangkan tawaran  jika sesuai dengan waktu dan skripnya.

“Kalau nak berlakon untuk tempoh yang panjang itu, masanya belum sesuai sebab saya ada anak yang masih kecil. Waktu mula (shooting) pun tak boleh awal sangat. Wrap pun tak boleh lambat.

“Fokus saya juga kini banyak tertumpu kepada bisnes. Saya ada juga berlakon sikit-sikit contohnya untuk kempen-kempen tudung. Seronok juga rasanya bila dapat semula berlakon ni.

“Alhamdulillah, memang ada rumah produksi yang boleh ikut permintaan saya ini tapi skripnya pula tak kena dengan saya. Saya memang nak berlakon cuma kalau dapat skrip dan waktu yang sesuai, itu lebih baik.

“Buat masa sekarang, saya seronok bila berpeluang untuk berlakon semula menerusi video-video kempen saya,” ungkap Fazura lagi.

Pelakon filem, Manisnya Cinta Di Cappadocia itu berkata sedemikan ketika ditemui di majlis Fazura And Besties yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Untuk rekod,  Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis tertutup pada 27 November 2017.

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober 2020.

Sumber: Media Hiburan