“Selagi ada kudrat, saya ikhtiar meneruskan kelangsungan hidup.” Demikian ungkapan dari wanita dan juga penyanyi terkenal era 80-an, Zaiton Sameon.
Pelantun lagu Menaruh Harapan ini mengakui, nasib dunia seninya tidak seaktif dan rezeki tak sekencang dulu termasuk ketidaktentuan ujian pandemik COVID-19.
Begitu pun, dia tidak mahu mengalah. Seperti mana orang lain yang bergelut mencari rezeki, Zaiton Sameon juga rancak mempromosikan jualan rendang air tangannya sendiri.
Ulasnya lagi, apabila sektor ekonomi kembali beroperasi dan dibuka oleh kerajaan, dia enggan berlengah dan kembali meneruskan bisnes menjual Rendang Nasib Zaiton Sameon.
“Alhamdulillah, saya pun tak boleh terus berpeluk tubuh. Duit simpanan yang ada pun bukan semakin menggunung.
“Selagi ada kudrat, saya ikhtiar meneruskan kelangsungan hidup. Syukur juga permintaan rendang pun meningkat sebab ramai sudah keluar meneruskan rutin kerja atau harian sekalipun akur tetap kena patuh dengan prosedur operasi standard,” katanya yang tinggal bersama anak angkat bernama Ika.
Katanya lagi, rendang itu sudah menjadi air tangannya sejak sekian lama.
“Nak buatnya bukan mudah. Proses nak kacau rendang pun makan masa lebih enam jam.
“Proses pembuatan dan menyediakannya dilakukan di rumah adik angkat saya di Kapar, Klang,” katanya.
Kata Zaiton lagi, perkataan nasib yang digunakan pada rendang jualannya bukanlah bermaksud yang seolah olah meratap hiba.
“Perkataan nasib itu sangat subjektif. Macam hidup dan nasib saya ketika ini, mungkin ia suratan dan kitaran yang harus dilalui.
“Tak mewah macam dulu, tapi tetap rasa bahagia apa adanya,” katanya.
Dalam masa sama, Zaiton juga tidak berkecil hati apabila ada cakap-cakap belakang mengatakan dia sudah tiada tawaran nyanyian.
“Namun, saya langsung tak berkecil hati atau marah kerana setiap orang mempunyai pandangan masing-masing.
“Berkaitan tawaran nyanyian, semua pun tahu sejak Perintah Kawalan Pergerakan hinggalah ke fasa Pelan Pemulihan Negara, majlis atau acara berkaitan nyanyian tak dibenarkan. Jadi, secara tak langsung memang tiada tawaran.
“Apa-apa pun saya bersyukur, bisnes rendang saya tetap mendapat permintaan. Walaupun hasilnya tidaklah semewah bayaran undangan nyanyian, namun saya bersyukur masih dikurniakan rezeki dalam bidang lain,” jelasnya lagi.
Boleh layari laman Instagram @real_zaiton_sameon untuk pembelian.
Sumber: Berita Harian Online
ARTIKEL MENARIK: Sebelum Bercuti Atau Balik Kampung Kena Letak Duit Syiling Dalam ‘Freezer’, Ini Sebabnya Yang Ramai Tak Tahu!
Guna Hormon Air Kelapa, Rahsia Pekebun Thailand Nak Pokok Subur & Berbuah Lebat. Ini Caranya!
LAGI ARTIKEL MENARIK :Pakar Jelaskan Punca Kemerosotan Tulang & Otot, Serta Tips Pemakanan Yang Baik. Sila Take note, Rugi Kalau Tak Tahu!
Baca Ini Juga : Umur 40an Aim Nak Badan Langsing. Pakar Dietitian Ni Kongsi Caranya Perlu Praktik!
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club