“Tak Masak Hari Ni Pavithra?” Tergamam & Gugup, Sugu Pavithra Kongsi Momen Pertama Kali Disapa PM

Share

Jika sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya bersidang video sahaja dengan pasangan suami isteri itu, kali ini mereka telah bersua muka dan gambar tersebut dimuat naik ke akaun rasmi Perdana Menteri.

Pavithra yang cukup anggun dan manis dalam persalinan sut Punjabi hijau. Manakala suaminya, Sugu ringkas memilih pakaian serba hitam. Pasangan ini antara tetamu yang hadir dilihat begitu bersemangat ketika membaca rukun negara yang dibaca oleh Perdana Menteri di sambutan 50 tahun Rukun Negara di Putrajaya.

Di dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri turut menyapa pasangan ini. Menerusi perkongsian melalui Bernama, Pavithra mengakui sangat gugup dan hanya mampu menjawab “ah, ah yes…” sahaja ketika ditanya ada makanankah yang boleh dimakan ketika itu.

‘Pavithra, tak masak ke?’ tanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pasangan YouTuber sensasi, Sugu Pavithra, namun sapaan yang begitu mudah kelihatan amat sukar sekali untuk dibalas kerana terlalu gugup.

S Pavithra yang pertama kali bertemu dengan Perdana Menteri, berkata beliau berasa amat gementar sehingga kehilangan kata-kata.

“Tadi beliau juga tanya saya tak makan ke? Saya terlalu gementar sehingga saya hanya kata ah, ah ya..”

“Perkataan saya tersekat sikit,” kata suri rumah berusia 28 tahun itu kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Rukun Negara ke-50 di Putrajaya hari ini.

Menetap di Sungai Siput, Perak, Sugu Pavithra sebelum ini pernah menarik perhatian Perdana Menteri yang turut menghadiahkan mereka tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak.

Pasangan suami isteri itu berkata, Rukun Negara adalah dasar yang mengeratkan perpaduan negara.

Mereka yang terkenal dengan video masakan dan kepetahan bertutur dalam bahasa kebangsaan itu turut berazam untuk menanam semangat Rukun Negara kepada anak-anak yang masih kecil.

“Anak-anak juga belajar ini di sekolah namun di rumah saya cuba menerapkan prinsip itu supaya lebih kuat dalam diri mereka,” kata Pavitra.

Sumber:Muhyiddin YassinBernama