Siapa yang tak kenal dengan Iwan, penyanyi yang pernah mencipta fenomena genre muzik dangdut. Namun kini seiring peningkatan usia, lelaki yang kini memasuki usia 60 tahun sudah berubah 360 darjah.
Sejak 10 tahun lalu, bapa kepada Oktovia Manrose dan Aprena Manrose ini lebih mendekatkan diri ke arah ketuhanan
Dalam tempoh menyepikan diri dan fasa berhijrah itu, Iwan atau nama penuhnya, Wan Syahman Wan Yunus, bagaimana pun tidak meninggalkan bidang nyanyian begitu saja.
Malah Iwan yang dilahirkan di Kisaran, Sumatera Utara, Indonesia lebih cenderung menyanyikan lagu ketuhanan atau nasyid.
Buktinya, finalis program realiti, Hijrahkan Laguku siaran TV Alhijrah itu memaklumkan dia mempunyai sekitar 30 buah lagu selain pernah merakamkan tujuh album ketuhanan.
“Saya usung album itu dan jual masa buat ceramah di masjid, surau dan sebagainya. Malah dua tahun lalu, saya ada bikin album berjudul Suara Daie menggabungkan penyanyi yang turut berhijrah seperti Allahyarham A Ali, Zul Handyblack, Izam Medicine, Zul Yahya dan saya sendiri.
“Namun sebab wabak COVID-19, album itu tak boleh dipromosikan. Saya kemudiannya menyanyikan semula beberapa buah lagu dalam album sama yang dinyanyikan penyanyi terbabit.
“Saya namakan album itu sebagai Ajaib (Akhirat Janji Allah Itu Benar) dan memuatkan 10 lagu.
“Selepas berakhir pertandingan Hijrahkan Laguku terdetik juga nak bikin album Suara Daie volum 2 membabitkan finalis dan peserta yang terbabit. Kalau dapat lampu hijau daripada mereka, saya gembira,” katanya.
Tanpa diduga, tawaran dan rezeki itu menjelma menerusi saluran, TV Alhijrah.
“Faisal Ismail yang menjadi hos pertandingan itu, menjadi orang pertama mempelawa saya untuk menyertai pertandingan itu. Kami kebetulan ketika itu berada di Taiping mengikuti kembara tiga hari.
“Cuma pada awalnya saya berharap pertandingan itu akan dianjurkan tanpa membabitkan golongan wanita, maka lebih bagus. Dulu iya, saya okey perihal sebegitu. Tapi sejak Tuhan beri kesedaran ke jalan agama, saya kena jaga termasuk membabitkan soal aurat wanita.
“Dipendekkan cerita, stesen TV itu patuh syariah dalam menerbitkan pertandingan berkenaan tanpa membabitkan golongan perempuan,” katanya.
Kata Iwan, sepanjang berentap di pertandingan itu, dia menukar sendiri lirik lagu popular kepada paksi ketuhanan.
“Ada lagu genre kasih sayang sesama manusia ditukar kepada cinta kepada Allah. Itulah manisnya pertandingan berkenaan.
“Macam lagu Siapa Di Hatimu ditukar menjadi Allah Di Hatimu, Memori Daun Pisang (Memori Di Jalan Allah), Istana Menanti (Syurga Menanti) dan sebagainya,” katanya.
Secara peribadi, Iwan menyukai format pertandingan itu dan harap ia dapat diteruskan.
“Selama ini ada program diterbitkan berpaksikan hiburan semata mata. Hiburan itu bagus, tapi saya tersilap kerana ia tidak boleh berlebihan. Berhibur ambil yang positif, elak yang mengundang dosa.
“Saya juga harap pertandingan sebegitu dapat menyuntik ramai penyanyi lelaki tanah air untuk menyanyi ke arah lagu Islamik.
“Dulu suatu ketika muzik dangdut meledak. Begitu juga rock dan sebagainya. Muzik nasyid juga dulu pernah berada di kemuncak. Media, TV, radio dan platform digital membantu, pasti ada lagi perubahan buat muzik yang mengagungkan kebesaran Ilahi atau nasyid ini,” katanya.
Memilih untuk tidak kembali menyanyikan lagu cinta lama melalaikan yang pernah dinyanyikan dulu, Iwan terbuka meneruskan survival seni ke arah lagu yang lebih diredai Allah.
“Kalau selepas ini ada lagi tawaran yang menjurus kepada paksi agama, saya akan terima.
“Saya pun akan meneruskan rutin berdakwah macam biasa. Cuma sudah lama tak balik kampung di Sumatera saja kerana COVID-19. Sejak lapan tahun lalu saya turut membangunkan madrasah Yayasan Taman Tahfiz Darul Islah di sana.
“Macam album saya jual pun ada peratusan disalurkan ke madrasah itu untuk aspek pembangunan. Setakat ini ada 200 pelajar tahfiz lelaki dan 200 lagi wanita,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Iwan memanjat kesyukuran kerana dua anak perempuannya yang turut memilih jalan seni sudah memakai hijab.
“Bukan senang cabaran yang mereka lalui jadi artis. Saya melaluinya dulu. Mereka juga sudah bersuami, aurat kena dijaga dalam hal berkenaan.
“Selama ini pun saya tak marah atau memaksa mereka menutup aurat. Saya hanya menggunakan cara komunikasi dan tarbiah. Kalau berjumpa atau cakap di telefon, saya kongsikan hadis dan nasihat.
“Suami mereka pun bagus. Apa apapun, saya memanjat kesyukuran di atas perubahan itu. Ini Allah aturkan,” katanya.
Iwan kini bahagia melayari perkahwinan ketiga bersama Evie Surriyanti sejak 12 tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup bersama wanita yang berasal dari Permatang Siantar, Medan, Indonesia, pasangan itu dikurniakan dengan enam cahaya mata.
Terdahulu, Iwan mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan penerbit, Allahyarham Rosnah Mohd Noor selama lapan tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata, Wan Ramada Agus Putra, Octovia dan Aprena.
Perkahwinan kedua Iwan bersama Wan Rafidah Abu Bakar pada 1988 hanya bertahan selama lapan tahun. Mereka mempunyai anak angkat, Nursyafiqah Emisya.