Perkongsian kisah daripada Puan Arfah Jamian yang dianugerahkan anak istimewa, diharap dapat juga memberi inspirasi buat keluarga di luar sana. Anak remaja ini yang disahkan SMA (Spinal Musculor Arthorphy) type 2 setelah berusia 5 bulan, pun begitu keputusan SPM yang baru-baru ini diumumkan sudah cukup membanggakan seisi keluarga.
Walau diuji dengan kepayahan dan sering kali juga tahap kesihatannya merosot, namun anak remaja bernama Amiruddin Ripin Amirul Iman ini cukup cekal orangnya. Dia berjaya membuktikan, kejayaan juga mampu dicipta olehnya.
Ingin ketahui lanjut kisahnya, jom baca artikel penuh ini.
Imbas kembali
“Awal kelahiran, Iman seperti baby yang lain, sihat walafiat. Bila masuk umur 5 bulan, perkembangan dia saya perhatikan agak lewat, tidak belajar duduk, tidak cuba merangkak.
Perkara ini, bukan sahaja saya perasan malah penjaga Iman dan ibu saya pun perasan, jadi kami bawa Iman ke hospital PPUM untuk buat pemeriksaan.
“Doktor mengesahkan Iman SMA (Spinal Musculor Arthorphy) type 2, iaitu penyakit genetic yang menyebabkan otot menjadi lemah secara progresif membabitkan sel saraf motor pada saraf tunjang dan mengakibatkan hilang keupayaan fizikal seperti berjalan, makan dan juga bernafas.
Harapan
“Hanya masa yang mengubati rasa sedih, walau bagaimana pun, saya selalu pujuk diri dengan mengatakan bahawa saya adalah seorang ibu yang istimewa, kerana Allah anugerahkan saya anak istimewa. Lagi pun dengan adanya Iman, saya masih boleh buat aktiviti seperti ibu-ibu lain yang ada anak normal. Ini adalah kerana, kami satu famili saling bantu membantu.
“Saya mahu dia happy, dan saya serahkan pada dia untuk buat pilihan, Lets the happiness life chosen by him. Mana yang mampu saya sediakan, saya akan tunaikan.”
SPM Dapat 3A
Sebenarnya bukan saya sebagai ibu seorang sahaja yang membantu Iman untuk berjaya, satu famili bersama-sama membantu. Keperluan harian Iman, saya, suami, abang dan kakak yang bergilir-gilir uruskan. Ikut siapa yang berada di rumah. Mandi, pakai baju, makan minum, persediaan ke sekolah, boleh dikatakan 90% Iman diuruskan oleh keluarga.
Pun begitu apabila keputusan SPM diumumkan semalam, siapa sangka Iman membuktikan dia juga boleh berjaya.
“Cikgu announce untuk bagi anugerah khas, sebagai pelajar yang gigih kesekolah, dalam keadaan tidak upaya berjaya memperolehi keputusan 3A. Sebagai ibu, melihat anak berjaya mendapat keputusan yang baik di dalam SPM,of cource la gembira tak terkata, Alhamdulillah.
“Iman mengambil hanya 6 subjek sahaja. Dek kerana kemerosotan kesihatan dia cepat penat bila menulis, tidak boleh duduk lama, sebab itu saya mengambil keputusan untuk fokus kepada subjek teras sahaja.”
Ini keputusan SPM yang diperolehi oleh Iman
BM A-
Sains A-
Matematik A
Pendidikan Islam B+
Sejarah B
BI C
“Kejayaan yang diraih oleh Iman sebenarnnya guru-guru di SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 2 Shah Alam banyak membantu. Guru-guru sentiasa memberi dorongan kata-kata semangat dan memahami kekurangan Iman.
“Tidak dengan itu, sekolah pun banyak memberi sokongan dari sudut keperluan asas, seperti menyediakan kelas di bahagian bawah, ram untuk wheel chair, waktu flexible untuk balik rumah jika Iman tidak sihat dan tiada kelas.
“Begitu juga dengan kawan-kawan Iman, walaupun Iman tidak pandai bergaul namun kawan-kawannya sentiasa menghulurkan bantuan ketika perlu. Contohnya seperti menolak ke lab, pusat Islam, ambil dan keluarkan buku.”
Kejayaan Bukan Datang Bergolek
Untuk berjaya pasti ada usaha yang dilakukan, begitu juga buat diri Iman. Menurut ibunya,”Cabaran dalam pembelajaran bagi Iman adalah untuk pastikan dia catch-up dengan setiap matapelajaran yang diajar. Oleh itu, saya belikan buku latihan, dan memastikan dia menyiapkan latihan.
“Selain itu, saya juga usahakan Iman untuk bangun belajar di waktu pagi, gerak dalam pukul 4.30 pagi selama 4 bulan sampai menjelang SPM. Saya juga carikan cikgu untuk home tuition juga.
“Dari segi kehidupan pula, cabaran yang saya harus atasi adalah untuk membuat Iman tidak merasai kekurangan dalam dirinya. Oleh itu, setiap aktiviti yang kami buat, Iman akan bersama. Shopping, tengok wayang, beriadah kecuali tempat-tempat yang kami nak pergi tidak sesuai atau bahaya, kami tak akan bawa.”