Sesuai untuk pelbagai jenis majlis dan hari-hari penting, hidangan roti jala semestinya akan jadi salah satu pilihan utama orang ramai. Malah, kalau rajin buat untuk makan petang bersama keluarga pun onz tau!
Memandangkan kita nak jejak ke hari raya Aidilfitri tidak lama lagi, boleh la selitkan menu ni sebagai salah satu juadah untuk dihidangkan pada tetamu. Yang lebih menarik, buat je awal pagi, roti jala ini kekal lembut sampai ke petang! Menarik kan? Jom cuba!
RESIPI ROTI JALA MUDAH, SEDAP & LEMBUT
Bahan-bahannya:
1 kg tepung gandum
2 biji telur A
1/2 tin susu cair (1 cawan)
150ml minyak masak
1500ml air
Sedikit garam
Pewarna kuning telur
Cara-caranya:
Satukan semua bahan, kisar sehingga semuanya sebati.
Tuangkan ke dalam botol (ada muncung 3) atau boleh guna acuannya jika ada. Sedia untuk dimasak.
Guna kuali non-stick, leser sedikit minyak untuk kiraian yang pertama. Yang seterusnya tak perlu leser minyak.
Lepas jala atas kuali, biarkan dalam beberapa saat. Kalau dah masak tak perlu terbalikkan, boleh terus angkat dan gulungkan.
TIPS PENTING:
Jika nak makan pada keesokan pagi, boleh mula masak pada pukul 10 malam.
Pastikan roti jala sejuk sepenuhnya sebelum disimpan dalam bekas tertutup supaya lambat basi.
Roti jala sedia untuk dimakan dengan kari ayam atau ayam masak kuzi. Sedapnya!
Sumber : Nor Al Fatihah