“Tak Kaya, Usaha Beri kasih Sayang. Tak Nak Rasa Besar Dalam Keluarga Tak Sempurna.” Anak Masuk Universiti, DJ Lin Sebak Pengorbanan 13 Tahun kini Terbayar

Share

Pengorbanan besar seorang ibu yang membesarkan anak-anak sendirian selama 13 tahun. Namun semua ini berbaloi bila mana anak-anak berjaya dan itulah yang dapat diungkapkan  dengan penyampai radio yang juga Pengurus Kanan Suria FM, DJ Lin.

Emosi  DJ Lin atau nama penuhnya Roslinda Abdul Majid, bercampur baur apabila melihat puteri sulungnya diterima memasuki universiti. Segala jerih perih membesarkan dua anak anaknya selama ini akhinya terbayar.

Anaknya, Nureen Aresya, 18, diterima melanjutkan pelajaran dalam jurusan Juru Ukur Bahan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Seri Iskandar, Perak, baru-baru ini.

Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 itu berkata, kejayaan anak sulungnya menjadi anugerah terindah buat dirinya yang selama ini, berusaha keras memenuhi keperluan mereka.

“Alhamdulillah, di sebalik komitmen terhadap kerjaya yang membataskan masa bersama mereka, anak sulung saya masih mampu mencipta kejayaan sama seperti rakan sebaya yang lain.

“Saya tidak punya kekayaan untuk diberikan kepada anak, namun saya berusaha memberikan kasih sayang sepenuhnya supaya mereka tidak merasai kekurangan membesar dalam keluarga tidak sempurna,” katanya.

Calon awal Penyampai Radio Popular, ABPBH 32 berkata, pencapaian anak sulungnya itu membuatkan dia sebak, terutama apabila mengenangkan dirinya tidak dapat selalu bersama ketika Nureen Aresya dan adiknya, Nazren Asyran, 16, memerlukannya.

“Tuntutan kerja membuatkan masa saya bersama anak terbatas. Ada ketika, saya terkilan kerana tidak dapat menjadi ibu yang sempurna buat mereka, tetapi anak memahami situasi saya.

“Bayangkan, sepanjang hari saya sibuk dengan tugasan di pejabat. Selalunya pada sebelah siang, saya sibuk dengan mesyuarat dan menguruskan perjalanan stesen, malam pula saya menyambung tugas di konti.

“Jika tanpa kesungguhan, tidak mungkin kejayaan itu dapat dicapai Nureen Aresya. Saya berharap kesungguhannya itu menjadi pendorong kepada adiknya untuk melakar kejayaan serupa,” katanya.

Sumber: BHOnline
Foto: Instagram DJ Lin