Negaraku, lagu kebangsaan yang sering berkumandang setiap kali acara rasmi atau tidak rasmi berlangsung. Lagu tersebut melambangkan jati diri dan kebanggaan rakyat Malaysia. Satu yang menjadi persoalan, siapakah penulis lagu ini?
Sesudah lebih 46 tahun ketiadaannya, barangkali ramai yang tidak mengetahui Allahyarham Saiful Bahri Elyas hanya pernah menerima ganjaran wang RM1,000 di atas sumbangannya mencipta lagu kebangsaan, Negaraku.
Bahkan, waris Saiful Bahri juga tidak dapat menuntut royalti lagu Negaraku itu yang sudah menjadi hak kekal negara dan disebabkan Allahyarham sudah mengambil ganjaran wang berkenaan.
Anak ketiga arwah, Qus Nafiah, 50, berkata, meskipun wang ringgit bukan ukuran sebenar jasa arwah bapanya itu namun dia sangat mengharapkan nama bapanya menerima pengiktirafan sama seperti seniman lain.
Menurutnya, dia bersama empat beradik yang lain iaitu, Norah Savitri, 54, Soufinaranti, 52, Nurul Adzan, 48, dan adik tunggal lelaki yang diberi nama sama dengan nama bapanya, Saiful Bahri Ahmad, 45, berharap kerajaan Malaysia dapat melakukan sesuatu bagi mengenang jasa bapanya itu.
“Arwah bapa dan Allahyarham Tan Sri P Ramlee adalah rakan seni seangkatan yang duduk semeja ketika menjadi juri sebarang pertandingan.
“Kenapa arwah bapa tidak mendapat pengiktirafan sama daripada kerajaan Malaysia, sedangkan lagu ciptaannya dinyanyikan sehingga hari ini.
“Cukuplah jasa arwah bapa dikenang dan diiktiraf dalam lipatan sejarah Malaysia dan menjadi rujukan generasi hadapan, bayangkan generasi sekarang menyanyikan lagu kebangsaan tetapi tidak tahu siapa penggubahnya, adakah adil buat waris?” katanya ketika ditemui.
Allahyarham Saiful Bahri cukup berjasa buat negara apabila lagu patriotik yang menjadi kebanggaan negara itu terus berkumandang sebagai jati diri rakyat negara ini.
Bukan itu saja, malah bakat luar biasanya turut mewarnai seni negara apabila lagu negeri seperti Selangor, Melaka dan Perak mendapat sentuhan lelaki kelahiran Payakumbuh, Sumatera Barat, Indonesia, itu.
Beliau turut menggubah banyak lagu patriotik dan paling diingati Inilah Barisan Kita, Malaysia Berjaya dan Perajurit Tanah Air.
Menceritakan pengalaman sebagai anak penggubah lagu Negaraku itu, Qus Nafiah berkata, banyak kisah mengenai bapanya diceritakan oleh ibunya, Allahyarhamah Noraini Ahmad, yang mendirikan rumah tangga pada 1968 dan dikurniakan lima cahaya mata.
“Bapa menumpahkan jasa kepada Tanah Melayu dan kemudian Malaysia dengan lirik-lirik gubahannya. Karyanya terkenal dan disiul sepanjang masa bagi membangkitkan semangat patriotisme,” katanya.
Menurut Qus Nafiah, ketika zaman sekolah, ramai rakannya tidak mempercayai insan mencipta lagu Negaraku adalah bapanya, bahkan cucu sendiri tidak percaya kata-katanya yang datuk mereka pencipta lirik lagu kebangsaan.
“Cucu sendiri tidak percaya disebabkan datuk mereka tidak terkenal seperti selebriti ternama lain pada era 1950-an dan 1960-an.
“Atas sebab itu juga, kami sekeluarga meneruskan usaha ibu sejak 1992 untuk mendapat pengiktirafan buat arwah bapa,” katanya.
Perjalanan seni Allahyarham Saiful Bahri di Malaysia bermula ketika dilamar Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang mengenalinya sebagai pemuzik di Studio Orkes di Indonesia.
Menggunakan nama samaran Surya Buana (SB) ketika berkarya di Tanah Melayu, Saiful Bahri dipelawa menyertai pertandingan mencipta lagu rasmi dan Negaraku.
Ciptaan lagu Saiful Bahri dipilih sebagai pemenang dengan hadiah wang RM1,000 pada 1956.
Lagu Kebangsaan itu asalnya lagu negeri Perak, Allah Lanjutkan Usia Sultan, yang digubah Allahyarham menjadi lagu kebangsaan ketika itu. Selepas dilantik pengarah muzik di Filem Negara, bapa berpeluang menjelajah ke seluruh negara dan bertemu dengan ibu yang menjadi isteri keduanya.
Sumber : HMetro