Tidak dinafikan tidak semua berpeluang untuk bercuti bagi meraikan Hari Raya bersama keluarga. Ada yang terpaksa bekerja atas dasar menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara.
Ini sebagai mana sedikit pengalaman yang pernah dilalui oleh pasangan doktor muda ini iaitu Dr. Sophia Yuhanis, 32 tahun bersama suaminya Dr. Mohd Rais Mokhtar @ Roselly,32 tahun.
“Menyingkap pengalaman dalam bidang perubatan sebelum ini, boleh dikatakan pengalaman kami tidaklah sehebat doktor-doktor pakar di luar sana yang telah lama berkhidmat dengan hospital kerajaan.
“Pada awal pembabitan dalam bidang ini, saya dan suami terlebih dulu menjalani latihan sebagai ‘houseman’ di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Ampang selam dua tahun.
“Selepas itu saya menyambung tugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Dungun, Terengganu dan menjawat jawatan sebagai doktor bius di Hospital Sungai Buloh dan suami pula doktor di bahagian wad perubatan dalaman.
“Ketika bertugas di Hospital Sungai Buloh adalah paling mencabar. Jumlah pesakit jauh lebih ramai berbanding hospital yang saya pernah berkhidmat sebelum ini. Apabila hospital sentiasa penuh, sudah pasti warga kerja termasuk doktor, jururawat medical asistant, pembantu am, kerani, pengawal keselamatan sentiasa silih berganti secara 24 jam bekerja. Kami bekerja tanpa mengira waktu siang ataupun malam malah hujung minggu pun kena bertugas.
“Dan saya ingat lagi ketika di Hospital Dungun, saya kena berkhidmat di Hari Raya. Walaupun beraya di hospital bersama pesakit, kami tetap juga meraikan Lebaran seadanya dengan membawa hidangan seperti ketupat, lemang dan kuih muih di tempat kerja,” terang Dr Sophia yang juga ibu kepada 3 cahaya mata ini dengan tenang.
Turut diakui oleh suami yang ada di sisi sambil menambah bicara, “ Apatah lagi bila menyentuh bab cuti Raya, ada sistem giliran. Jika tahun ni dapat cuti, tahun hadapan tak dapatlah. Makna cuti Raya bagi doktor bukannya cuti panjang hingga seminggu lamanya, sekadar sehari dua sahaja.
“Kena bertugas oncall ketika Raya pun adalah perkara biasa yang dilalui oleh sesiapa pun bergelar doktor. Anak-anak dan ahli keluarga harus faham dengan tuntutan kerja sepertinya ini. Jika bertugas oncall maka saya atau isteri tidak dapat turut serta bersama sanak saudara untuk melakukan amalan ziarah di Hari Raya,” ujar Dr. Mohd Rais graduan dalam bidang perubatan di Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUMCS) dengan jujur.
Berbicara tentang persiapan raya tahun ini, bagi pasangan doktor ini juga tidak jauh bezanya. Tetap memilih untuk bergaya sedondon.
“ Saban tahun bila tibanya raya, boleh dikatakan sayalah yang akan menentukan tema warna untuk digayakan pada tahun tersebut. Daripada pakaian anak hinggalah saya dan suami, semua saya uruskan. Alhamdulillah suami bukanlah jenis memilih dalam bab warna dan fesyen, jadi memudahkan saya untuk buat perancangan. Apa yang suami tahu semuanya sudah ready.
“Pada tahun ini kemeriahan merai lebaran lebih teruja kami rasakan apabila anak-anak semakin pandai bergaya. Puteri sulung Zara Humaira, 5, Sara Raissa, 2 dan Lara Yasmeen, 8 bulan seakan tidak sabar untuk menggayakan enam pasang baju raya yang disediakan bagi menceriakan raya tahun ini,” ujar Dr.Sophia lagi sambil tersenyum manis.
Beralih tumpuan
Tempoh pengajian yang panjang, persekitaran kerja yang mencabar dan penuh tekanan membuatkan kerjaya doktor memerlukan banyak pengorbanan. Bukan sahaja tenaga malah masa bersama keluarga dan anak-anak.
Ini adalah persepsi biasa yang wujud di kalangan kita apabila bercakap mengenai kerjaya sebagai seorang doktor. Pun begitu, setelah bergelumang dengan cabaran siapa sangka kini kedua-duanya berjaya menjadi pengasas Klinik Dr Sophia Y di Desa Alam, Shah Alam.
“Saya akui, pilihan untuk menjadi doktor kecantikan sudah tertanam sejak kecil lagi di dalam hati saya. Alhamdulillah ibu, Raja Ruziah menyokong pilihan saya sejak belajar di dalam bidang perubatan lagi hingga kini,’ jelasnya lagi.
Manakala diajukan persoalan impian dan harapan Dr. Mohd Rais, lain pula sasarannya.
“Jujur saya akui, setelah adanya klinik sendiri masa lebih banyak bersama keluarga. Dan ini sangat-sangat berbeza keadaannya sebelum itu. Pun begitu, minat yang mendalam dalam bidang perubatan mendorong saya untuk menyambung pelajaran untuk bergelar doktor pakar,” ujarnya lagi dengan penuh bersemangat di akhir perbualan.
Sumber : Majalah Keluarga Isu Jun 2018.