Lama tidak mendengar khabar selebriti yang satu ini. Usai mendirikan rumah tangga, Farah Diana Anuar dilihat lebih fokus kepada rumah tangga yang baru dibinanya. Namun, selepas 15 tahun tidak melihat kelibatnya di dalam arena seni, ibu kepada dua cahaya mata ini dilihat mula kembali aktif.
“Apabila berumah tangga misi dah lari dan pastinya saya lebih mengutamakan keluarga. Apatah lagi waktu itu, saya melalui proses bersalin dan menyusukan anak sepenuhnya selama dua tahun. Kemudian lahir pula anak kedua, jadi proses itu memakan masa yang panjang dan tiada masa untuk melakukan hal lain.
“Anak saya yang sulung, Elsa Johan berumur 7 tahun dan yang kedua, Mya Johan 4 tahun. Lepas berhenti susukan anak sulung, mengandung pula yang kedua. Apabila orang tanya ke mana saya menghilang, itulah yang berlaku sebenarnya.
“Sekarang anak makin membesar dan saya cuba juga anak ketiga tapi belum ada rezeki. Jadi masa terluang ini saya fokus pada kerja dan ingat mungkin nak kembali menyanyi. Selain itu, saya juga menjadi hos bagi program Assalamualaikum untuk TV Al-Hijrah selain beberapa program lain bersama dengan stesen ini.
Lama meninggalkan industri seni, Farah tidak menafikan sedikit ‘canggung’ namun teruja kerana dapat bertemu dengan rakan-rakan lama di Astro.
“Ada yang dulu krew biasa waktu saya masuk AF tapi dah berpangkat sekarang. Memang saya jadi teruja dan bila cakap nak buat ‘comeback’ ada yang terkejut dan turut memberi sokongan. Ramai lagi kawan-kawan saya dalam industri nyanyian dan saya cuba-cuba menyanyi semula.
“Dulu saya tinggal di Pulau Pinang sampai sekarang, tapi mungkin akan berpindah ke Kuala Lumpur nanti. Buat masa sekarang anak dijaga oleh suami dan ibu mentua selain pembantu yang tenggokkan, jadi lega lah sikit. Mujurlah suami memahami bila saya terpaksa berulang-alik walaupun terpaksa ‘stuggle’.
“Itulah pengorbanan kita, kerinduan yang ditanggung. Memang asyik teringat anak, dah makan belum, sihat atau tidak. Itulah masalah utama, namun alhamdulillah saya dapat mengatasinya,” ujar Farah sambil mengakui seronok dapat belajar dan kutip ilmu baru dari orang muda terutama dalam sosial media dan sebagainya.
“Bila cakap pasal hidayah semuanya terletak pada Dia yang menentukannya. Pengalaman sendiri yang melalui banyak membuka mata saya. Waktu itu saya join penggambaran Rasa Halal Orient di Kemboja.
“Waktu itu berjumpa dengan orang susah, yang belajar agama tapi Ya Allah hebatnya mereka. Semangat dan iman yang kuat untuk belajar. Kalau kita meletakkan diri pada situasi tersebut, dengan tiada makanan, duit dan elektrik yang tidak mencukupi dan sebagainya membuka mata saya.
Ditanya hubungan bersama mentua memandangkan dia tinggal lama bersama selepas berkahwin, akui Farah semuanya bergantung pada pembawaan diri.
“10 tahun tinggal bersama alhamdulillah tiada sebarang masalah. Ibu mentua jenis yang ‘back up’ menantu dan bukannya anak sendiri. Kira ektra point untuk kita kerana walaupun kenal dengan suami 5-10 tahun sebelum kahwin, tetapi apabila duduk serumah dan sebilik jangan kata kita kenal dia 100%, belum tentu lagi. Dengan adanya ibu mentua, bolehlah korek rahsia untuk memenangi hati suami.
“Alhamdulillah kerana mentua cikgu sekolah (pencen). Minda dia jenis yang terbuka dan rezeki saya dapat ibu mentua yang baik dan memahami. Di dalam rumah itu ada adik-beradik lain dan memang suasana riuh. Bapa mentua dah lama meninggal dunia dan kerana itu kami ambil keputusan untuk tinggal bersama dan menjaganya,” ujar Farah lagi.
Gambar: IG farahdianaanuar