Teka teki mengenai kehamilan penyanyi Ernie Zakri Yang sebelum ini meniti di bibir peminatnya terjawab apabila empunya diri memaklumkan dia kini sedang hamil empat bulan.
Isteri kesayangan Syamel ini mengakui tidak mengalami sebarang alahan teruk pada awal kehamilan. Bagaimanapun ketika kandungan memasuki trimester kedua dia mulai sensitif terhadap makanan dan mengalami alahan.
“Alhamdulillah usia kehamilan saya sudah memasuki 16 minggu iaitu sekitar empat bulan. Ketika trimester pertama semuanya okay, saya tidak mengalami sebarang alahan.
“Namun, memasuki trimester kedua ini saya sudah mula sensitif terhadap makanan pedas dan berminyak. Saya akan muntah-muntah serta sudah mula mengalami alahan seperti yang dilalui kebanyakan ibu mengandung,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Mengulas mengenai dirinya yang seolah-olah menyembunyikan berita tersebut, Erni jujur menjelaskan tidak berniat sedemikian. Sebaliknya berharap ramai memahami situasi dan keadaan yang dilalui dirinya dan suami yang juga penyanyi, Syamel yang kehilangan ibu tercinta bulan lalu.
“Sebenarnya kami memang nak berkongsi berita ini lebih awal tapi disebabkan ketika itu arwah umi Syamel jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia, kami rasa ia bukan waktu yang tepat untuk meraikan berita gembira ini.
Ads
“Biarlah keadaan kembali tenang dan seluruh ahli keluarga sudah cukup kuat dan reda dengan pemergian arwah umi. Kami tiada niat langsung nak sorok kehamilan.
“Jika ikutkan hati memang nak berkongsi lebih awal tapi tak terkeluar dalam waktu yang sangat sensitif untuk keluarga kami,” katanya.
Begitupun, Allahyarham Wan Faaizah Karim sempat mengetahui berita kehamilannya, Ernie berkata, arwah begitu teruja sebaik mengetahui perkara itu.
“Sebelum umi nak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), kami sempat membuat panggilan video dengannya. Alhamdulillah umi sangat gembira dan teruja.
Ads
“Kami bersyukur sangat apabila umi serta seluruh ahli keluarga sudah mengetahui berita gembira ini. Cuma sedih apabila arwah tak sempat untuk melihat cucu sulungnya,” katanya.
Peribahasa air yang dicincang tidak akan putus, nyata selagi ada pertalian darah walau apa pun yang terjadi hubungan itu tetap akan bersatu. Tiada apa dapat memisahkannya walau sudah lama tidak dapat berhubung hatta hingga berbelas-belas tahun lamanya. Pasti ada waktunya akan bersatu kembali.
Seperti kisah empat adik beradik ini yang terpisah 15 tahun dapat dipertemukan semula dengan adik mereka (merupakan anak ketiga) setelah diserahkan kepada keluarga angkat.
Pun begitu apa yang lebih menyentuh perasaan, pertemuan mereka adik beradik berlaku setelah ibu mereka meninggal dunia baru-baru ini.
Bagi menunaikan impian ibu tercinta, Afeeq yang merupakan anak kedua keluarga ini bertindak mencari semula adik kembarnya dengan memuat naik video di aplikasi tiktok.
“Kami ada empat beradik, aku yang nombor dua. Arwah mama ada lahirkan kembar di bawah aku. Seorang mama aku jaga, seorang lagi baki dekat orang terus tak contact sampai hari ini dah 15 tahun”
“Arwah mama amanahkan kami suruh cari kembar adik kami, segala wasiat mama tak lupa nama dia”, tulisnya pada kepsyen video yang dikongsikan.
Hantaran video itu telah meraih tontonan 1.6 juta, apabila Afeeq turut meminta orang ramai membantunya untuk mencari adik kembarnya yang dikenali sebagai Haziq Iskandar Bin Jefarmi.
Benarlah dunia kini tanpa sempadan, hasil daripada viral video tersebut empat beradik ini berjaya dipertemukan semula tidak sampai tempuh 24 jam. Sungguh tidak disangka!
Adiknya yang terpisah itu tampil menghubungi Afeeq di ruangan DM dan memaklumkan bahawa dialah orang yang dicari oleh mereka selama ini.
Walaupun dipertemukan semula, namun menurut Afeeq adiknya itu berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat melihat wajah ibu kandungnya buat kali terkahir. Pun begitu Afeeq sangat-sangat berterima kasih kepada semua warganet yang telah membantu menularkan video tersebut hingga mereka adik beradik berjaya disatukan semula.
“Terima kasih semua yang membantu dan mendoakan . Korang semua memang utusan Allah yang hebat,” ujarnya ikhlas.
Nak tahu, KELUARGA ada hadiah wang tunai RM500 nak beri kepada anak-anak anda! Caranya mudah sahaja, anda perlu kongsikan perasaan rasa bangga menjadi anak Malaysia.
Peluk pinggang pasangan dari belakang ketika dia tengah memasak ataupun membasuh pinggan di dapur juga adalah salah satu cara anda menunjukkan romantik pada pasangan.
Sambil memeluk ungkapkan kata-kata cinta di telinganya. Lihat betapa lebarnya senyuman pasangan anda. Berkasih sayang antara suami dan isteri bukan hanya sekadar di dalam bilik tidur semata-mata.
Tidak kira masa atau tempat asalkan tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Jangan tak tahu, membantu pasangan di dapur juga satu aksi romantik.
Bertambah semangat untuk memasak. Pastinya aksi romantik ini jika dilakukan akan mewujudkan rasa kasih dan cinta berpanjangan daripada pasangan. Seterusnya boleh mengukuhkan hubungan suami isteri.
Beberapa perkara di bawah ini juga dianggap sebagai romantik spontan dan boleh dijadikan panduan bagi pasangan yang mahu terus hidup bahagia bersama pasangan. Baca dan cuba praktikkan untuk keharmonian rumah tangga.
1. Aksi cuit mencuit
Bagi membangkitkan keghairahan dalam hubungan intim, baik suami atau isteri tidak boleh terlalu serius, sebaliknya perlulah ada aksi cuit mencuit yang boleh mewujudkan rasa lucu dalam hubungan. Tidak salah sesekali cuit pinggang, punggung ataupun pipi pasangan. Misalnya ketika menonton televisyen ataupun pasangan sedang memasak. Namun biarlah ia dilakukan dalam tempat yang sewajarnya kerana bimbang pasangan tidak selesa diperlakukan begitu.
2. Kenyit mata
Boleh juga melakukan aksi spontan seperti mengenyit mata padanya. Misalnya ketika menghantar pasangan ke pejabat, sebelum berlalu apa kata anda mengenyit mata padanya sambil melemparkan senyuman manis. Sudah pasti dia akan tersenyum kegembiraan dan akan terkenang kenyitan mata yang mengandungi maksud tersendiri.
3. Memegang tangan pasangan sekali skala
Tunjukkan aksi romantik spontan dengan memegang tangannya setiap kali keluar bersama. Pegangan dan sentuhan ini menunjukkan rasa kasih sayang anda kepadanya. Ataupun ketika melintas jalan, anda dengan spontan memegang tangannya. Boleh juga dilakukan ketika sedang menonton, ataupun minum petang bersama. Kalau boleh sentuhan berserta dengan ciuman ini juga boleh mempamerkan rasa sayang berpanjangan daripadanya.
4. Sesekali berbisik di telinga
Perkara yang jarang dilakukan namun sekiranya dilakukan secara spontan boleh menimbulkan kesan mendalam. Apa kata sesekali anda seperti berbisik di telinganya dengan hembusan nafas yang lembut. Ungkapkan kata-kata manis dan manja di telinga dan pasti pasangan akan terasa geli dengan bisikan yang dilakukan. Kalau boleh lakukan secara spontan dan ini pasti akan membuatkan pasangan ketagih dan sentiasa mengharapkan agar anda melakukannya lagi.
5. Suap makanan di mulut
Apa kata ketika sedang menikmati hidangan, anda secara spontan menyuap hidangan ke mulutnya. Walaupun nampak seperti kebudak-budakan tetapi jika dilakukan pasti membuatkan pasangan anda terharu. Jangan suap keterlaluan cukuplah sekadar satu dua suapan sahaja. Lebih seronok jika dilakukan di tempat terbuka dan boleh tunjukkan kepada orang lain bahawa andalah pasangan paling bahagia dalam dunia.
6. Ciuman di dahi
Apa kata anda amalkan aksi romantik spontan dengan mengucup dahinya. Lakukan sebelum masuk tidur, ketika mahu pergi kerja ataupun sebaik pulang daripada bekerja. Ciuman penuh kasih sayang ini mampu memberi seribu makna kepada pasangan.
Boleh juga diamalkan selalu bagi menghangatkan lagi hubungan sedia ada. Anda juga boleh membalasnya dan ternyata kebahagiaan menjadi milik anda berdua selamanya.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Datang dari keluarga yang susah, berstatus ibu tunggal yang sendirian membesarkan anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah. Anak-anak menjadi saksi pengorbanan ibu mereka.
Demi menjimatkan duit, setiap minggu ibunya akan membeli ikan, ayam berdekatan pasar jumaat. Menurut Siti Khairul Afira Binti Suria, 28 selain murah, ikan yang dijual juga masih elok dan murah.
“Masa tu boleh beli banyak, jimat belanja dan masa. Cuma masa tu mak banyak beli ikan. daging jarang sekali kami dapat makan. apatah lagi udang, sotong atau ketam. Dapat makan setahun sekali pun bersyukur sangat dah masa tu. Peti ais pun kecik, mak biasa beli ikan sardin, ikan kembung, ayam dan sayur-sayur yang murah-murah. Selepas beli, mak akan siang ikan tersebut, basuh elok-elok. Kemudian mak akan bunjut dalam plastik sebab nak jimat ruang dan simpan dalam tempat beku peti ais.
“Jadi, sepanjang tempoh saya berkahwin selama 6 tahun ini, itulah kaedah yang saya buat. Cuma rezeki saya, peti ais lebih besar. Jadi saya lebih suka beli untuk tiga minggu hingga sebulan punya barang basah. Kebetulan di tempat saya Butterworth, penang. Untuk mendapatkan ikan segar dan murah ada banyak tempat. Contohnya di pasar tani Kepala Batas. Pasar Malam Sg Dua. Pasar Bisik.
“Tapi sejak 2 3 tahun ni saya lebih suka berbelanja di Pasar Besar Bukit Mertajam setiap bulan. Sebab disana, saya boleh mendapatkan barang basah pada harga yang lebih murah. Setiap bulan saya hanya peruntukkan RM200 sahaja untuk pelbagai jenis ikan, ayam, daging, udang, sotong dan juga sayur,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata Wardah Wardina Haniz, 5 tahun, Aminul Malikullah Haniz 4 Tahun dan Wardhia Safieya Haniz 10 bulan.
Idea sendiri dan tip dari penjual
Idea menyimpan barang basah yang dilakukan anak kelahiran Kuala Kangsar ini pernah tular di media sosial sebelum ini. Dia yang lebih mesra dengan panggilan Fieya mengakui, itu adalah hasil ideanya sendiri.
“Banyak saya cuba dan lihat hasilnya. Dulu ada jenis ikan yang saya tak pandai cara simpan. Contohnya macam isi ikan tenggiri. Isi ikan pari. Isi ikan merah. Ikan tongkol. Isi ikan yu. Semua jenis ikan ni mudah rosak dengan cepat dan mudah hancur dan hilang manis ikannya. Jadi, saya cuba pelbagai cara akhirnya saya dapat cara dengan lapiskan isi ikan dengan lapisan plastik sebelum menindih isi ikan dengan isi ikan yang lain.
“Ada juga tips yang diberi oleh penjual udang untuk mengekalkan rasa manis udang. Pertama, kalau udang Laut yang warna putih, nak simpan lama, perlu buang kepala dan kulitnya. Simpan dalam bekas atau plastik seal kemudian masukkan air tapis ke dalam bekas berisi isi udang. Tutup kemas dan simpan dalam tempat beku.
“Kalau udang hitam/udang ternak. Jangan buang kulit. Buang bahagian tajam di kepala dan ekor. Kemudian cungkil bahagian hujung e8kor udang untuk keluarkan kotoran ditengah belakang udang tanpa perlu membuang kulit udang. Letak air sehingga memenuhi bekas simpanan. Dan simpan dalam bahagian beku.
“Dengan tips ini biasanya saya boleh simpan udang lebih dari sebulan dalam peti sejuk. Dan masih ada rasa manis udang. Teknik nak mencairkan simpanan beku juga perlu ada. Elakkan merendam barang basah yang sudah beku terus ke dalam air. Kalau mahu cairkan ais dengan cepat bolwh rendam dengan bekasnya sekali dalam air atau keluarkan dari bahagian beku lebih awal. Contohnya, nak masak untuk tengah hari esok. Malam sebelum tidur turunkan bekas bahan basah yang mana ingin dimasak keesokan hari terlebih dahulu.
Buat perbandingan harga
Mengakui dirinya sangat mudah berinteraksi dengan orang, itu antara kelebihan yang membuatkan dia tak malu-malu untuk berbual dengan penjual.
“Jenis saya pula, kalau saya dah biasa beli pada seorang penjual biasanya saya setia pada satu penjual sahaja. Jadi setiap bulan memang saya sudah tahu. Daging beli kat penjual mana yang elok. Ayam beli kat penjual mana yang bersih. Itik penjual mana yang Halal. Bukan apa, bila kita setia. Penjual mula ingat muka kita bila kita membeli.
“Macam saya. Kalau beli apa-apa mesti dapat lebih. Dapat kurang harga. Sebab setia dengan satu penjual. Melainkan kalau dia tak meniaga, atau kualiti barang yang dia jual berubah. Baru saya cari penjual lain. Dalam pasar besar banyak peniaga. Jadi kita kena pandai bandingkan harga. Elakkan ditipu dan buat pilihan yang baik. Tu sebab setiap bulan kalau saya ke pasar besar. Lebih kurang 2 jam saya berada dalam pasar untuk memilih barang basah sahaja,”jelasnya.
Bajet ikut kemampuan
Tambah Fieya lagi, waktu mula-mula kahwin gaji suaminya lebih kurang Rm1+++ je sebulan. ditambah pula dia hanya suri rumah sepenuh masa.
“Jadi kami sangat berjimat cermat ketika berbelanja. semuanya mesti digunakan mengikut bajet yang ditetapkan agar kami mampu membuat simpanan kecemasan untuk keluarga kami. Sekarang anak dah tiga. Gaji pun sudah tiga kali ganda dari gaji awal perkahwinan tapi kami dah terbiasa peruntukkan RM200 setiap bulan untuk barang basah.
“Ada lebihan gaji buat beberapa tabungan. Contohnya tabungan persekolahan anak-anak, tabung kecemasan jika sakit, dan simpanan kekal untuk misi membeli sesuatu keperluan secara tunai tanpa perlu berhutang.
“Selain itu, dengan cara menyimpan barang basah begini saya sangat kurang tekanan. Sebelum tidur biasanya sudah ada menu untuk dimasak esok. sama ada dicadangkan oleh suami dan anak-anak atau terlintas sendiri dalam kepala hendak masak apa keesokan harinya selepas meneliti barang basah apa yang tinggal dalam peti sejuk.
“Rutin harian saya lebih teratur, tak perlu nak kepasar setiap hari, berasak dengan ramai orang bersama baby kecil saya yang baru 10 bulan. semunya sudah ada tersedia. siap cuci bersih dah. tinggal nak masak dengan penuh kasih sayang sahaja untuk keluarga tercinta. Tambahan pula sekarang saya makin aktif menjual makanan baby secara online dan offline.
“Jadi jadual saya lebih teratur dan lebh mudah menyempurnakan tugas harian saya. yang lebih saya suka setiap barang basah yang disimpan dalam kuantiti yang cukup untuk sekeluarga makan tanpa ada pembasiran. setiap satu bekas barang basah yang saya simpan cukup untuk makan tengah hari dan makan malam kami lima beranak. mudah. kemas. menjimatkan masa. menjimatkankan tenaga dan lebih teratur,” ujar isteri kesayangan Mohamad Zafril Haniz Bin Mohamad Azlan.
Setiap tempat harga tak sama
Selain itu, dia juga rajin berkongsi resepi gambar makanan yang dimasak dan beberapa tips di laman facebooknya Fieya Badar serta Instagram izliyahkitchen_fieyabadar.
“Saya selalu kongsi macam mana kehidupan seharian saya, menu masakan, tips selaian turut mengambil tempahan memasak sekitar Butterworth dan Sungai Dua. Sebenarnya, ketika ini belanja dapur sebenarnya semakin mahal. Macam saya, RM200 itu hanya peruntukan barang basah sebulan.
“Belum termasuk barang kering, beras dan sebagainya. Semua orang sebenarnya mahu berjimat cermat. Bertuahnya saya sebab tinggal di Penang sangat dekat dengan laut. Dulu waktu saya bujang dan tinggal di Kuala Lumpur, biasanya saya dan rakan serumah akan terjah ke pasar pudu awal pagi untuk dpatkan bahan basah dengan harga berpatutan.
“Setiap tempat harganya tak sama. jadi, jika tak boleh mengikut harga seperti yang saya dapat. Gunakanlah teknik menyimpan barang yang pernah saya kongsikan di facebook sebelum ini. sekurang-kurangnya dapat membantu anda menjimatkan masa dan tenaga. Mana yang tak bersetuju dengan cara saya. saya terima dengan fikiran yang terbuka. Ini kerana setiap orang mempunyai cita rasa yang berbeza. Sudah 6 tahun lebih buat perkara yang sama dalam bajet bulanan kami dan rasa dan cara masakan saya masih dipuji anak dan suami tak berubah rasa pun walau disimpan lama.
“Kuncinya, kena rajin sebab semuanya kena menggunakan tenaga, kebersihan dan kemasan dalam proses penyimpanan bahan basah dalam peti sejuk beku. tapi apabila ianya siap, kerja memasak anda lebih mudah dan cepat. In sha allah. Yang baik itu datang dari Allah. Yang kurang itu datang dari saya sendiri,”Ujar Fieya sebelum menutup perbualan.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.