Tak Berkira Dengan Ibu Ayah, Pensyarah Tulis Tesis PHD Hanya 3 Bulan!

Share

Doa ibu ayah itu tanpa hijab. Itulah yang menjadikan kehidupan seorang anak itu berjaya dan bahagia dalam hidup.

Sentiasalah berbuat baik dengan ibu ayah untuk mendapat berkatnya. Sehebat mana pun kita, doa ibu ayah itu adalah ‘senjata’ utama untuk kehidupan kita.

Begitulah yang dirasai oleh pensyarah di Jabatan Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Muhamad Syahrul Fitri Zawawi yang mengakui berkat berbuat baik dengan ibu ayah menjadikan perjalanan hidupnya dipermudahkan.

Bayangkan dalam tempoh tiga bulan dia dapat  berjaya menyiapkan PhD perubatan. Malah ini memencipta sejarah tersendiri apabila testisnya disiapkan dalam tempoh singkat.

Seterusnya ikuti perkongsian yang sungguh inspirasi ini menerysi fb miliknya, Syahr Musafir.

Dapatkan My Qalam Elite Digital Perjuzuk Set dengan diskaun RM5 apabila anda menggunakan kod KELGST5 di sini 

Di Sebalik Populariti Kerjaya Sebagai “Mr. Pilot”.

 

“Bagaimana boleh tulis tesis PhD dalam masa 3 bulan je?” Biar betul siapkan PhD Perubatan dalam masa 3 tahun je… Camne buat?”

“Tesis PhD yang kau tulis dalam masa 3 bulan tu, lulus tanpa pembetulan? Lulus cemerlang pulak tu, macam mana kau study?

“Kau diberi pengiktirafan menjadi pembawa cokmar majlis konvokesyen di Australia, beri ucapan mewakili seluruh graduan. Kau ni hebat sangat ni, guna ilmu apa ni?”

INI TIPNYA

Soalan-soalan sebegini bukan soalan baru saya terima. Acap kali ditanya, dan kebanyakan masa saya akan beri jawapan seperti berikut:

“Jangan tunggu saat akhir untuk tulis tesis. Tetapi tulis bermula ketika hari awal pendaftaran PhD, konsisten hingga ke hari akhir untuk hantar. Rancang penulisan, bla bla bla…”

“Improve penulisan Bahasa Inggeris dari awal… Jangan tulis poin tetapi tulis ayat… Bla bla bla…”

“Milestone tu perlu ikut, proposal, eksperimen, pengumpulan data, analisis, pembentangan di konferens, bla bla bla…”

Dan pelbagai lagi perkongsian pengalaman secara teknikal dan bak kata orang, sebagai inspirasi dan motivasi.

Semuanya benar, saya tak kongsi teori tetapi saya selalu kongsi pengalaman secara kisah benar atau praktikal. Ada ditulis dalam buku Hikayat Budak PhD juga.

Tetapi di sebahagian besar semua itu, ada satu cerita yang saya tak pernah ceritakan. Ini ceritanya……

Saya menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD ketika saya masih belajar pada ijazah sarjana muda (Bachelor degree) di Australia. Saya tak terima tawaran biasiswa Australia, tetapi saya ambil tawaran biasiswa yang diberi kerajaan Malaysia. Sebab apa?

Dua sebab.

Satu, tawaran biasiswa Malaysia berpakejkan jawatan kerjaya tetap di Malaysia selepas tamat pengajian PhD. Kalau biasiswa Australia, tiada jawatan tetap tetapi jawatan kontrak di Australia. Saya tidak pernah merancang untuk terus tinggal di Australia, saya nak balik kerja di Malaysia. Jadi pilihan biasiswa Malaysia menjadi keutamaan saya.

Dua, biasiswa Malaysia datang bersama elaun sara hidup di Australia (saya tak nak sebut berapa ribu Australian dollar setiap bulan) dan juga elaun sara hidup di Malaysia bernilai RM2800 setiap bulan walaupun saya sekeluarga tidak berada di Malaysia. Duit di Australia dapat, duit di Malaysia pun dapat. Berbeza dengan biasiswa Australia, hanya beri duit di Australia sahaja. Mana mungkin saya nak tolak tawaran biasiswa Malaysia….

TAK BERKIRA DENGAN IBU AYAH

Takkan mungkin saya boleh menyambung pengajian tanpa biasiswa, saya bukan orang senang. Huhu.

Dipendekkan cerita, saya mengosongkan komitmen di Malaysia. Tak perlu bayar rumah, atau kereta, atau apa sahaja. Dan total RM2800 saya berikan sepenuhnya kepada ibu bapa saya.

Saya beri bapa saya pegang kad bank saya, ibu saya boleh guna duit elaun Malaysia RM2800 setiap bulan itu secara 100%. Saya buat ni, Lillahi Taala, supaya hidup Umi Abah dan adik saya di Malaysia lebih senang kerana ada duit masuk setiap bulan daripada akaun bank saya…

Jadi 3 tahun bersamaan 36 bulan, saya menyara Umi Abah di Malaysia walaupun saya bersama isteri dan anak-anak berada di Australia, hingga kami pulang ke Malaysia selepas saya tamat pengajian.

Saya di Australia bukan hidup senang lenang pun. Isteri saya Rahimah Ab.Rahman Rahimah AR Zawjah mengambil upah menjaga anak-anak orang lain untjk bantu saya menyara kehidupan.

Saya bekerja sebagai tutor akademik di universiti mengajar para pelajar perubatan di sana, bekerja sebagai cleaner, kerja kuli ‘burn CD’, jual burger di surau, jual burger di tepi jalan, pernah buka gerai di Asian Food Festival jual roti jala kuah kari ayam, jadi laboratory demonstrator di universiti mengajar pelajar ijazah sarjana muda Anatomi, bekerja sebagai penghantar piza sebelum diberikan kepercayaan menjadi pembuat piza, pernah kerja sebagai pemetik buah, dan sebagainya. Macam-macam kerja saya buat, asalkan dapat duit.

36 bulan x RM2800, jumlahnya RM100800. Ada kawan saya, selepas tamat PhD selama 4 tahun, balik Malaysia boleh guna duit tu sebagai modal untuk buka cafe, bukan 1 buah tetapi 2 buah cafe.

Ada kawan saya gunakan duit itu sebagai modal beli kereta mewah. Ada pula yang gunakan duit itu untuk renovate rumah. Yang lain biasanya gunakan untuk bayar komitmen sedia ada di Malaysia seperti bayaran rumah, kereta dan sebagainya, seperti kebiasaan orang berkeluarga. Saya pula berikan 100% kepada ibu bapa, pelik kan saya ni Huhuhu.

Saya sebenarnya tak sedar segala perjalanan PhD saya, walaupun pernah gagal eksperimen, tikus mati, komputer rosak hingga hilang data, dan pelbagai lagi, sebenarnya perjalanan saya sangat mudah.

Saya hilang data setelah menjalankan 7 eksperimen, saya telefon Umi saya, saya beritahu Umi, Umi cakap “Jangan risau, Allah akan bantu…” saya boleh ulang semua eksperimen tanpa saya rasa susah pun. Smooth saja.

Saya menghadiri konferens di beberapa buah negara dengan harapan untuk bawa pulang anugerah pembentangan atau apa sahaja, walaupun Bahasa Inggeris saya biasa-biasa saja ada sesekali saya gagap di pentas, tak sangka dapat anugerah yang bukan nombor 3 atau 2, tetapi tempat pertama. Nampak cemerlang.

Dan apabila perlu hantar tesis, saya sendiri tak percaya saya mampu siapkan penulisan tesis dalam masa 3 bulan 10 hari dalam keadaan berstatus suami kepada isteri saya dan berstatus ayah kepada 2 orang anak kecil, tak tahulah bagaimana magisnya saya telah mampu mencipta kejayaan itu.

Tak cukup dengan itu, dapat awards lagi, jadi mace bearer, beri ucapan di majlis konvokesyen depan ribuan orang, dapat PhD pada usia 27 tahun, bla bla bla… Bagaimana kenangan PhD saya boleh jadi tersangat manis ni?

Setelah tamat pengajian PhD saya sekeluarga pulang ke Malaysia, saya menjaga Umi yang tak sihat. Siang kerja, malam bersengkang mata menemani Umi di wad dan sebagainya.

Dan pernah 1 kali Umi berbicara, “Terima kasih kerana jadi seorang anak yang sangat berbakti kepada Umi Abah dan keluarga, dan maaf kerana Umi sakit terpaksa menyusahkan Abe (panggilan keluarga saya kepada saya) menjaga Umi….”

Saya tak jawab apa-apa, hanya diiringi air mata sahaja.

Selepas Umi dijemput kembali kepada Allah pada Feb 2020, saya diingatkan kembali bahawa segala kemudahan perjalanan pengajian akademik saya bukan disebabkan saya ini bijak,

tetapi barakah bakti terhadap ibu bapa dan keluarga, ini yang sahabat baik saya ungkapkan. Barulah saya sedar, betapa benarnya ungkapan ini.

Jadi tuan-puan semua, banyaaaaak tips untuk berjaya. Buat itu buat ini.

Tetapi malam ini saya nak sebut, jika benar mahu berjaya, berbaktilah kepada ibu bapa dan keluarga, bukan sekadarnya tetapi sehabis kadar, sehabis baik, sehabis daya dan sehabis mampu.

Allah telah membuktikan hakikat bahawa apabila seorang anak berbuat baik kepada ibu bapa, Allah akan memudahkan jalan untuk anak itu capai kejayaan dalam pengajian. Contohnya saya, sebuah kisah benar seorang anak.

Redha ibu bapa, redha Allah. Baiknya Allah kan….

Banyak tips lain untuk berjaya, tetapi malam ini saya terlalu rindukan arwah ibu saya jadi saya kongsi tips yang satu ini. Rindu Umi…….

 

Sumber: Syahr Musafir

 

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club