”Tak Berdoa Ke? Kejap Je Angkat Tangan.” Usah Sombong Untuk Berdoa Lama Dengan Tuhan. Deep Perkongsian Ni.

Share

Doa adalah permohonan bantuan kepada tuhan untuk meminta pertolongan untuk memudahkan urusan hidup.

Namun kadang kala, doa dilakukan dengan ‘biasa-biasa’ aje tanpa bersungguh-sungguh atau doa hanya sekejap.

Begitu yang dialami oleh wanita ini apabila berdoa dengan sekejap. Terkesan dengan teguran itu, wanita itu berkongsi kisahnya.

____________

“Tak berdoa ke? Kejap je angkat tangan” Tegur seseorang kepada saya.

Saya tergamam. Terkejut. Tak sangka ada orang perhatikan gerak geri saya solat.

“Errr.. Doa”, saya balas, malu alah.

“Orang yang tidak berdoa, adalah orang yang sombong dengan Tuhan,” beliau membalas lembut.

Saya cepat-cepat lipat telekung. Nak larikan diri dari situ. Tiba-tiba beliau bangun, duduk sopan di tepi saya.

JANGAN SOMBONG DENGAN TUHAN

“Jangan sombong dengan Tuhan. Perlu berdoa bersungguh-sungguh setiap kali solat. Kalau kita sombong dan tidak berdoa, tetapi Allah masih sayangkan kita , Allah akan bagi teguran melalui ujian-ujian hidup agar kita kembali kepadaNYA. Kembali memohon dan meminta pertolongan dariNYA.

Tetapi, kalau Allah langsung ‘tidak pandang kita’, tidak kisah pun jika kita tidak meminta kepadaNYA, Allah akan biarkan kita hanyut dengan kesombongan kita. Hinggalah tiba hari segala amalan dihitung, Allah juga tidak akan ‘pandang’ kita ketika itu. “

Saya terdiam.

Berhari-hari saya termenung memikirkan teguran lembut itu. Meresap masuk ke dalam fikiran dan hati saya. Jadi saya ambil keputusan drastik.

Saya capai buku nota kosong. Khas untuk saya tuliskan point-point penting untuk ‘isi kandungan’ doa saya. Agar tidak ada impian dan hasrat saya terlepas pandang untuk diselitkan ketika berdoa.

Saya bahagikan kepada empat bahagian. Kesihatan, Kewangan, Dunia dan Akhirat.

Kesihatan :
Family, mak ayah, mak ayah mertua, suami, saya, anak-anak, saudara mara,kenalan. Disembuhkan segala penyakit, diberi kesihatan sempurna, dilanjutkan usia dalam keberkatan.

Dunia :
Pekerjaan saya, suami dan harapan kepada masa depan anak-anak. Dipermudahkan urusan. Cita-cita. Pandangan manusia kepada kita. Keselamatan family. Ditutup segala keaiban.

Kewangan :
Rumah impian, kereta impian, bebas hutang, financial freedom. Nak bagi apa kepada mak ayah. Nak tolong siapa. Dimurahi rezeki.

Akhirat :
Diampunkan segala dosa (sebut senarai nama). Diberi taubat nasuha sebelum mati. Dimasukkan ke dalam syurga dan dijauhi daripada neraka. Masuk syurga tanpa di hisab. Jadikan keluarga (sebut nama) orang – orang yang soleh, mendirikan solat dan solat di awal waktu.

Macam-macam lagi lah impian dan hasrat yang menggunung tu.

Selepas itu, saya bahagikan.

Solat Subuh : saya doakan khas untuk Dunia.
Solat Zohor : Kesihatan
Solat Asar : Kewangan
Solat Maghrib : Akhirat
Solat Isya’ : Himpunan ke empat-empat di atas.

Semakin hari, keinginan, impian dan hasrat sentiasa bertambah. Dan doa menjadi semakin panjang.

Ingat sahaja, tulis.
Teringin sesuatu, tulis.

Ada masa banyak, doa semua.

Doa adalah cara perhubungan kita dengan Tuhan. Satu-satunya talian hayat. Makin banyak kita doa dan meminta, makin dekat kita dengan Allah.

Semoga Allah ‘pandang’ kita di dunia dan di akhirat.

Berdoalah. Jangan kita sombong dengan Allah.

Sumber: Norzi Malek