“Tak Apalah. Mungkin Kali Ini Mereka Belum Berjaya. Masa Depan Siapa Tahu”. Motivasi Sungguh Perkongsian Cikgu Ini!

Share

Tahniah kepada anak yang berjaya dengan keputusan yang cemerlang  dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini. Bagi yang sebaliknya usah rasa kecewa dan rendah diri. Masih jauh lagi perjalanan anak-anak. Sebagaimana nukilan Cikgu Mohd Fadli Salleh yang menyatakan bahawa kegagalan bukan penentu masa depan anak-anak. Moga menjadi inspirasi buat ibu bapa supaya sentiasa memberi kata-kata semangat kepada anak tersayang.

______________________________________________________________________

Ini pula sebahagian murid kelas 6 Arif. Kelas paling hujung. Kelas paling perlahan. Aku juga ajar kelas ini. 

Setiap kali peperiksaan, pentadbir akan tanya aku sambil lihat slip keputusan mereka, 

“Cikgu Fadli, agak-agak berapa orang murid 6 Arif boleh lulus Matematik tahun ni?” 

Aku meneliti keputusan mereka. Exam sebenar kurang dua bulan pun markah mereka majoriti bawah 10%.

“Puan. Saya cuba target untuk dua orang ni lulus. Markah mereka 13% dan seorang lagi 15% ni. Kalau drill betul-betul, boleh pergi kot,” balas aku yakin tak yakin.

Ye lah, masa suntuk sangat dah. Kemampuan murid aku, aku tahu lah. Namun aku tak putus asa.

Aku masuk ke kelas mereka, aku cakap kat mereka,

“Cikgu tahu awak semua perlahan dalam pelajaran. Awak pun sedar awak jawab periksa pun main hentam.

Tapi tadi cikgu pergi jumpa Guru Besar. Cikgu cakap kat dia awak semua rajin belajar. Awak semua mampu buktikan sesuatu.

Cikgu cakap, semua murid kelas ni nak lulus dalam Matematik. Nak ke tak nak?”

“Nakk, cikgu!”

“Tak dengar! Jawab biar sampai dengar kat pondok jaga sana. Nak ke tak nakkkk?”

“Nakkkkk, cikguuuuu!!!”

Bergema laungan murid-murid ini. Semangat betul.

Dan ya, macam kau orang maklum, semangat mereka macam tahi. Panas sekejap je. Lepas tu main tak ingat dunia. Haha.

Nak belajar ke paksa. Kena smackdown, kena kejar, kena marah. Baru buat.

Aku tidak menaruh harapan tinggi pada mereka. Selain cuba memberi faham, aku cuba merapatkan diri dengan mereka.

Selami dunia mereka, berkawan dengan mereka. Agar mereka tahu, aku bukan sekadar guru yang hanya tahu marah-marah.

Agar mereka sedar bukan semua guru harus ditakuti. Aku ajar mereka sikap. Aku ajar mereka adab. Aku ajar mereka realiti kehidupan. Aku mendekati mereka sebagai seorang guru dan kawan.

Pernah suatu hari, aku terdengar salah seorang dari mereka berkata kat kawan mereka,

“Kau ni tak patut betul lah. Kesian Cikgu Fadli. Dia buat kelas tambahan kau tak datang pun. Kau dah la bodoh, datanglah kelas. Asyik main basikal saja.”

“Ah, kau pun bodoh juga.”

“Aku tahu lah aku bodoh, tapi aku datang kelas tambahan.”

Lepas tu aku masuk dan sergah,

“Apa hal main gelar orang bodoh ni?”

Terkejut mereka tiba-tiba aku masuk dari pintu belakang. Kemudian aku bercerita tentang kisah hidup kawan-kawan aku dan tokoh yang dulunya tak pandai akhirnya menjadi orang yang berjaya.

Khusyuk mereka keliling aku, siap ada yang picit bahu picit lengan lagi waktu aku bercerita.

Lepas aku cerita, mereka nampak bersemangat sungguh. Bermotivasi nak belajar rajin-rajin. Tapi macam biasa, macam tahi juga. Hangatnya sementara. Hahaha. 


Tak apalah. Mungkin kali ini mereka belum berjaya. Masa depan siapa tahu. Dan walau berapa results mereka pun, aku sentiasa berbangga dan dengan megah akan berkata,

“Ini anak-anak murid yang aku ajar.”

Lihatlah mereka. Lihatlah kami. Menikmati moment persekolahan diluar dari kebiasaan orang lain. Kami nikmati cara kami, kami belajar cara kami, kami enjoy cara kami, dan kami bersemangat macam tahi. Haha.

27 orang semuanya murid kelas ini. Disaat hendak meluluskan seorang dua pun menjadi misi mustahil, ye lah. Apa logik akal peperiksaan percubaan markah 8% pun nak target lulus?

Hari ini 7 orang dari mereka LULUS Matematik UPSR 2018!

Allahu, rasa nak sujud syukur weh.

Dan buat 20 orang lagi ‘kawan-kawan’ cikgu yang belum lulus, teruskan usaha. Cikgu sentiasa menyokong kalian. Cikgu sentiasa bangga pernah mendidik kalian.

Ingat cikgu dalam doamu.

#MFS
– Guru biasa dengan cara luar biasa –
.