Kecemerlangan anak-anak dalam pendidikan adalah matlamat utama ibu bapa. Lantaran itu, ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja dalam memastikan anak-anak dapat persekitaran pembelajaran yang sempurna. Sebagaimana yang ditonjolkan oleh ibu bapa SK Subang Bestari 2 yang sanggup korban cuti hari minggu untuk datang hias kelas anak. Memang inspirasi cara mereka yang sepakat ini.
Menurut laporan, gps bestari bagi menarik minat murid ke sekolah, seramai 200 ibu bapa, guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari 2 berganding bahu membersihkan kelas dan menceriakan persekitaran.
Pengarah aktiviti yang juga Yang Dipertua (YDP) PIBG, SK Subang Bestari 2, Mohd Sani Awang berkata, aktiviti gotong-royong keceriaan kelas dan sekolah yang bermula seawal jam 8 pagi dianjurkan PIBG pada 6 Januari lalu dsertai semua ibu bapa murid sekolah itu.
“Penyertaan ibu bapa yang ramai ini merupakan satu kejayaan kepada aktiviti dijalankan dan saya ucapkan syabas kepada mereka yang sanggup berkorban cuti hari minggu.
“Persekitaran kelas yang ceria dan bersih akan memberi keselesaan dan menggambarkan kecintaan kerjasama yang tinggi dalam kalangan warga sekolah umumnya serta murid di kelas berkenaan,” katanya.
Kata beliau, keceriaan dan kebersihan kelas adalah penting bagi mewujudkan suasana kelas yang kondusif, mempunyai iklim sekolah yang ceria, tenang, selesa dan menarik minat murid belajar.
“Pakar psikologi ada mengatakan bahawa kelas yang bersih dan ceria juga boleh memberikan suntikan motivasi kepada murid. Murid akan fokus kepada pelajaran yang diajarkan kerana mereka diberikan ilmu dalam keadaan bersih dan tenang,” katanya kepada GPS Bestari.
“Program yang telah memasuki tahun kedua ini juga turut memberi hadiah kepada kelas yang paling ramai kehadiran ibu bapa murid,” katanya.
Sumber: www.gpsbestari.com