Tabika Kemas Autisme ditubuhkan, bukti kesedaran awam meningkat. Penjagaan dan pendidikan inklusif seperti mewujudkan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) khusus kepada kanak-kanak yang disahkan mengalami autisme penting bagi menyokong golongan itu menjalani kehidupan seperti manusia normal lain.
Pensyarah Pendidikan dan Psikologi Kanak-Kanak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr Norsuhaily Abu Bakar berkata, dengan adanya tempat pembelajaran khas di kawasan luar bandar itu secara tidak langsung mampu meningkatkan lagi kesedaran awam mengenai autisme.
Menurutnya, persekitaran mesra seperti kelas inklusif, alat bantu pengajaran khas dan tenaga pengajar terlatih amat penting untuk membantu perkembangan kanak-kanak berkenaan.
“Saya melihat usaha ini sangat baik dan menunjukkan kesedaran awam berkenaan autisme semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia berbanding 10 tahun lalu.
“Pembelajaran dan pendidikan yang inklusif kepada anak-anak autisme ini secara tidak langsung turut membantu kesihatan mental keluarga yang mempunyai anak istimewa ini.
“Anak-anak yang diberikan pendidikan sesuai dengan tahap kemampuan mereka akan lebih mudah untuk diuruskan dan ibu bapa juga turut mendapat pengetahuan dan kemahiran dalam membesarkan anak-anak istimewa ini.
“Jadi, saya melihat usaha untuk mewujudkan Tabika Kemas khusus untuk autisme ini sangat baik selari dengan jumlah kanak-kanak yang disahkan menghidap autisme semakin meningkat saban tahun,” katanya.
Ketua Pemuda UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dilapor berkata, Tabika Kemas autisme pertama di Malaysia akan dibuka pada tahun depan di setiap daerah bermula di Melaka dengan mengutamakan anak-anak golongan B40.
Beliau berkata, cadangan pelaksanaan tersebut diterima baik selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, Norsuhaily berkata, seiring dengan pertambahan ketara jumlah kanak-kanak yang disahkan mengalami autisme di negara ini, kesedaran kepada masyarakat, peluang pembelajaran dan pihak yang terlibat secara langsung dalam isu ini perlu diperluaskan lagi.
Beliau berkata, mengambil contoh seperti di United Kingdom (UK) setiap majlis atau pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan penting alam aspek pembelajaran kepada anak-anak autisme.
Selain itu katanya, ibu bapa yang mempunyai anak autisme juga turut dibantu terutamanya dalam aspek kesihatan mental.
“Justeru, kita berharap pemegang taruh yang terlibat dalam isu autisme ini perlu berganding bahu untuk menyediakan akses pembelajaran, tenaga pengajar yang terlatih supaya anak-anak istimewa ini dapat menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Santuni Anak Autisme Dengan Baik, Barber Dipuji Ramai. Ibu Sebak & Terharu!
Suami Didiagnos Autisme Pada Tahun Ke-7 Perkahwinan
Mommy sebak Anak Autisme Catriona Ross Miliki MyKad
Kenapa Malu? Dah Dapat Kunci ke Syurga Dr Say Sedih Ada Lelaki Tak Terima Anak Autisme
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my