Penyanyi Syura Badron berdepan detik cemas apabila suaminya, Muhammad Farizat, mengalami kecederaan melecur teruk akibat insiden letupan gas yang berlaku pada Jumaat lepas.
Penyanyi lagu Nazam Berkasih ini berkongsi berita tersebut menerusi Instagram miliknya.
“Assalammualaikum, dengan berat hati saya ingin maklumkan suami saya, Farizat telah dimasukkan ke hospital kerana melecur teruk.
“Melecur di bahagian muka, kaki dan tangan akibat letupan gas memasak yang berlaku di tempat penginapan kami di Perlis pada hari jumaat malam yang lepas,”
Jauh di sudut hati, Syura yakin Allah Maha Baik dan mendoakan agar ada sinar kebaikan di sebalik kesukaran ini.
“Mohon doa dari semua semoga diberikan kesembuhan buat suami dan diberikan kekuatan menghadapi ujian Allah ini.
“Semoga ada hikmah yang baik disebalik ujian ini. Allah Maha Baik.”
Syura juga berkongsi momen penuh emosi di Insta Stories dengan memuat naik gambar tangannya menggenggam tangan suami, sebagai simbol kasih sayang dan sokongan tidak berbelah bahagi.
“Kuat sangat sayang saya ini. Saya yang tak kuat tengok keadaan awak.
“Ya Allah, berikanlah kesembuhan buat suamiku.”
Untuk info, Syura dan Farizat mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022 serta dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Muhammad Umar Eussof yang kini berusia satu tahun.
Sumber: IG syurabadron
Polis Buru Dua Lagi Suspek, Kanak-Kanak 12 Tahun Diculik Nyaris Dijual Kepada Sindiket Pelacuran!
Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diculik di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang dekat sini Selasa lepas yang hanya turun di pangsapuri rumahnya untuk mengambil makanan dipercayai turut dicabul kehormatan selain cuba dijual kepada sindiket pelacuran di ibu negara.
Malah menurut kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, kanak-kanak itu pada mulanya diajak menaiki sebuah kereta oleh empat suspek, dengan seorang daripada mereka merupakan wanita yang memang dikenalinya.
Hussein berkata kanak-kanak itu kemudiannya ‘ditahan’ di sebuah pangsapuri yang disewa di Setia Alam, di sini selama empat hari dan sepanjang tempoh itu dia dipercayai dicabul oleh dua suspek berumur 13 dan 23 tahun.
“Suspek utama berusia 23 tahun itu juga telah berurusan dengan sindiket pelacuran di Chow Kit, Kuala Lumpur bagi urusan menjual kanak-kanak tersebut,” katanya.
Ketua Polis Selangor itu berkata tindakan pantas polis menguar-uarkan berita kehilangan kanak-kanak itu menyebabkan sindiket enggan meneruskan proses jual-beli yang dirancang, dan suspek kemudiannya bertindak menempah kenderaan e-hailing dan meminta kanak-kanak itu pulang ke rumah pada 12 Okt.
“Siasatan mendapati kanak-kanak itu juga dikhayalkan oleh suspek menggunakan rokok elektronik (vape) selain dipercayai turut didera, namun dia diberikan makanan sepanjang tempoh ditahan,” katanya.
Sabtu lepas polis menahan empat lelaki dan dua wanita di sekitar Segambut Dalam, Setia Alam dan Pandamaran yang disyaki terlibat dalam kes itu, selain merampas kereta yang digunakan suspek.
Hussein berkata polis akan meminta lanjutan reman bagi semua enam suspek berumur 13 hingga 23 tahun yang tempoh tahanan mereka berakhir esok, bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.
Beliau berkata polis juga sedang memburu dua lagi individu berkaitan sindiket pelacuran bagi membantu siasatan kes tersebut yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik orang daripada penjagaan sah.
Beberapa media sebelum ini melaporkan kehilangan kanak-kanak itu pada malam 8 Okt, dan Ahad lepas Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong mengesahkan kanak-kanak yang dipercayai diculik itu ditemukan selamat kira-kira 2.30 petang pada 12 Oktober.
Kredit: Bernama & Astro Awani
Nahas Pelajar UiTM Dungun, Muhammad Ammar Danish Sebak Ingat Kenangan Manis Bersama Rakan
Nahas pelajar UiTM Dungun, Muhammad Ammar Danish sebak ingat kenangan manis bersama rakan. Muhammad Ammar Danish juga mengakui tidak begitu ingat bagaimana kemalangan itu berlaku.
Nahas Pelajar UiTM Dungun
“Saya tak ingat sepenuhnya kejadian yang berlaku itu, sedar-sedar sudah berada dalam longkang,” kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang terselamat dalam kemalangan mengakibatkan tiga rakannya maut akibat dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai Sura dekat sini pada Rabu.
Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridwan, 20, berkata, kejadian berlaku ketika dia menunggang motosikal bersama Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, 20, setelah pulang dari membeli barang di bandar Dungun.
Menurutnya, dua rakannya iaitu Allahyarham Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 dan Allahyarham Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, turut serta bersama mereka dengan menaiki sebuah lagi motosikal.
Muhammad Ammar Danish Sebak Ingat Kenangan Manis Bersama Rakan
“Pada awalnya, hanya saya dan Khairil nak pergi beli barang selepas melakukan aktiviti kokorikulum di kampus namun ketika itu Akmal dan Adib turut sama nyatakan hasrat nak ikut kami membeli barang.
“Jadi kami berempat pergi bersama-sama. Saya masih ingat lagi kami sempat bergurau sebelum bergerak balik dan itulah kenangan terakhir saya ingat bersama mereka.
“Saya tak ingat sepenuhnya kejadian itu namun saksi menyatakan kami dilanggar dari belakang,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Ammar Danish berkata, dia terkesan dengan pemergian tiga sahabat baiknya itu namun reda dengan perkara yang menimpa mereka.
“Memang sangat sedih sebab tidak sangka kejadian keluar membeli barang bersama merupakan kenangan terakhir saya bersama dengan mereka.
“Saya doakan semoga roh ketiga-tiga sahabat baik saya itu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya dengan nada sebak.
“Setakat ini saya tak boleh berjalan dengan laju sebab kaki kiri dan kanan berjahit.
“Kepala pun rasa sakit, doktor kata kesan jatuh. Doakan supaya saya kuat dan kembali sembuh sedia kala,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Ammar Danish memberitahu keadaan kesihatannya semakin beransur pulih. Terbaharu Muhammad Amar Danish dibenarkan pulang pada Ahad.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, Pelajar Tahun Dua Sarjana Muda Perakaunan UiTM kampus Dungun, Muhammad Ammar Danish bersama keluarganya akan dihantar pulang ke Keramat, Kuala Lumpur menggunakan ambulans universiti tersebut.
Menurutnya, pelajar berkenaan dilaporkan semakin pulih dan stabil, namun masih memerlukan penjagaan dari sudut mental dan emosi.
“Kita nampak dia sudah tidak begitu trauma cuma proses penjagaan dari sudut kaunseling akan terus berjalan supaya tidak berlaku perkara-perkara yang mengganggu emosi ketika belajar kerana kejadian yang berlaku itu memberi kesan yang sangat besar kepada dirinya dan semua yang terlibat.
“UiTM dengan kerjasama pihak hospital akan terus beri perhatian bagi penyediaan kaunseling bagi rawatan emosi pelajar berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Maliaman turut merakam ucapan takziah atas kejadian menimpa semua mangsa.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu sekiranya memerlukan sebarang keperluan.
Dalam kejadian pada 7.35 malam itu, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang lagi rakan mereka parah selepas dua motosikal yang dinaiki mereka dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.
Nahas berlaku ketika kesemua pelajar itu dalam perjalanan pulang ke kampus mereka selepas menyertai aktiviti kokurikulum dan makan malam.
Tiga mangsa yang maut ialah dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.
Sumber: Sinar Harian 1 dan Sinar Harian 2
Baca artikel lain juga: Ibu Bapa Sempat Hantar Ku Adib Ke UiTM Dungun Sabtu Lalu Sebelum Berangkat Ke Makkah
Tragedi SUV Rempuh Pelajar UiTM Dungun: Saya Tiada Lagi Anak Lelaki
Baru Masuk ‘Start’ Semester, 3 Pelajar Maut Di Rempuh Hadapan Kampus UiTM Dungun
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Sanggup Potong Kaki Ketika Hamil, Ibu Bahagia Demi Selamatkan Kandungan!
Ujian kita berbeza-beza. Namun ujian seorang ibu ini yang sanggup memotong kaki kanannya bagi menyelamatkan kandungannya amat luar biasa.
Melalui perkongsiannya di aplikasi TikTok, seorang ibu, Alin Azreen terpaksa memotong kaki kanannya akibat kanser ketika hamil anak kedua.
Jelasnya, kanser yang dialami itu telah merebak hingga ke tulang dan membuatkan saraf di bahagian kaki rosak serta terpaksa melakukan amputasi.
“Tak sangka lebam bertahun-tahun hingga jadi luka rupanya signal awal kanser. Lebam yang tak sakit tanpa demam dan tak ada tanda-tanda lain,” tulisnya.
Lebih mengharukan bila mana ibu kepada dua anak sempat meluangkan masa bersama anak sulungnya sebelum memotong kaki.
“Sebelum kejadian potong kaki akibat kanser. Waktu ini sedang mengandung 2 bulan dan bergembira dengan anak sulung. Hari ke-5 selepas potong kaki, baru belajar berjalan menggunakan tongkat.
“Waktu ini usia kandungan baru 28 minggu. Bius separuh badan memang terasa kaki ditarik hingga putus dan bayi dalam kandungan bergerak-gerak.
“Genap 37 minggu lahirlah hero kedua secara elektif czer,” luahnya menerusi video pendek itu.
Ibu yang kelihatan cukup ceria dan bersemangat ini juga turut meluahkan rasa syukur kepada Allah kerana keputusan untuk menyelamatkan kandungan berbanding kaki adalah keputusan yang tepat malah membahagiakan dirinya.
“Alhamdulillah keputusan pilih selamatkan kandungan daripada kaki adalah keputusan yang membahagiakan.
“Tak pernah menyesal. Ujian tanda Allah sayang. Manusia pasti akan diuji oleh Allah SWT atas nikmat yang dikurniakan,” katanya.