Syukur! Tiada Sekatan Rentas Negeri Untuk Sambutan Aidiladha, Rakyat Tarik Nafas Lega

Share

Tarik nafas lega seluruh rakyat Malaysia apabila mendengar tiada sekatan jalan raya untuk Hari Raya Aidiladha ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiada sekatan akan dikenakan kepada individu yang ingin pulang ke kampung.

“Sebenarnya tiada sekatan perjalanan. Sebab itu saya kata, masih boleh balik kampung, cuma perlu patuhi SOP lah. Walaupun kerajaan benarkan balik kampung, kita perlu jaga kita,” katanya ketika menjawab soalan wartawan dalam sidang media hari ini.

Berkenaan SOP untuk aktiviti ibadah korban, Kerajaan memutuskan untuk menghadkan tidak lebih 10 ekor haiwan bagi masjid dan surau termasuk lokasi korban yang telah dibenarkan oleh Pejabat Agama Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan. Had ini tertakluk kepada keluasan lokasi korban.

Jumlah kehadiran sewaktu ibadah korban hanya dihadkan kepada 20 orang untuk setiap ekor haiwan korban. dan jamuan makan di tapak korban adalah tidak dibenarkan kecuali makanan dibungkus.

Tambah beliau, untuk jamuan di rumah sempena Hari Raya Aidiladha tidak boleh melebihi 20 orang pada satu-satu masa.

Terdahulu, media melaporkan keputusan kerajaan untuk mengetatkan semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP) susulan peningkatan kes baru COVID-19 di Malaysia.