Syukur, Hari Jumaat Diumum Sebagai Hari Jawi. We Love Tulisan Jawi!

Share

Bukan mudah mendidik anak-anak , lagi-lagi dalam mengajar tulisan jawi bila mana penggunaannya tidak meluas seperti zaman dahulu. Terbaru, merujuk kepada BERNAMA, tulisan jawi dianggap kembali menjadi tulisan yang utama di mana Hari Jumaat dijadikan sebagai Hari Jawi bagi seluruh negara.

Setidak-tidaknya, kita sebagai ibu bapa juga boleh memainkan peranan memartabatkan tulisan jawi agar tidak ‘lapuk dek hujan, lekang dek panas’.

Kerajaan telah memutuskan hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’ sebagai usaha untuk mengekalkan martabat tulisan yang menjadi sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia bermula hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata usul ini telah dibawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas dan mendapat sokongan penuh daripada semua ahli jemaah menteri.

“Kerajaan serius memartabatkan tulisan Jawi. Saya menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini,” katanya.

Tambah beliau, bagi memartabatkan lagi tulisan jawi, hari ini secara rasminya tulisan itu digunakan bagi urusan rasmi dalam kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Zulkifli berkata penggunaan tulisan Jawi juga akan turut diperluas meliputi penyampaian maklumat menerusi platform media sosial rasmi agensi di bawahnya.

Katanya, tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Akta itu menyatakan tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi, dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.