Susu Lembu Memang Bagus Tapi Tak Semua Orang Sesuai Minum, Sebab Itu Penting Baca Label Sebelum Beli
Susu lembu memang bagus diamalkan dalam diet harian setiap hari. Ia dapat membantu tumbesaran terutama jika diamalkan sejak dari kecil lagi. Golongan remaja juga perlu minum susu setiap hari untuk perkembangan jaringan tubuh.
Dengan membina tulang yang kuat menerusi amalan pengambilan susu, anda boleh aktif dan membabitkan diri dengan aktiviti sihat atau lasak seperti bersenam, mendaki bukit, berbasikal dan sebagainya.
Manfaat susu bagi orang dewasa atau usia produktif pula lebih kepada memelihara sel dan jaringan dalam tubuh. Ia juga bermanfaat sebagai pencegahan penyakit seperti osteoporosis, kanser usus besar dan sebagainya.
Manakala bagi mereka yang lanjut usia, pengambilan menu harian tidak lagi sama seperti ketika usia masih muda. Tubuh memerlukan protein dan kalsium tambahan untuk melengkapi keperluan harian tubuh.
Kandungan protein lengkap yang terkandung dalam susu dapat membantu kepadatan jisim tulang supaya tidak mudah rapuh atau patah. Walau berapa pun usia anda, jangan abaikan pengambilan susu dalam rutin harian dan pastikan ia diambil dengan secukupnya.
Namun diakui bahawa bukan semua orang boleh minum susu. Hal ini kerana ada sebilangan individu yang tidak sesuai minum susu terutama susu lembu.
EMPAT TANDA TIDAK SESUAI MINUM SUSU LEMBU
Ramai yang percaya bahawa kita mendapat kesihatan yang baik apabila kita minum susu lembu kerana ia membekalkan protein dari kalsium yang tinggi.
Namun begitu tidak semua orang sesuai minum susu lembu. Dikatakan lima peratus orang di dunia ini mempunyai masalah tidak dapat menghadamkan gula dari susu lembu (lactose intolarence).
Simptom bagi masalah penghadaman laktos ini kebiasaannya berlaku dalam tempoh beberapa jam setelah mengambil makanan atau minuman yang mempunyai gula laktos (dari lembu).
Ini termasuklah:
1. Perut berangin (kembung)
2. Perut memulas
3. Cirit-birit
4. Loya dan muntah
Kekerapan simptom bergantung kepada jumlah pengambilan susu dan tahap sensitiviti seseorang terhadap gula laktosa dari susu. Sesetengah dari kita masih mampu meminum sedikit susu tanpa sebarang masalah. Namun ramai yang tidak boleh langsung mengambil susu walau pun sedikit.
BAGAIMANAKAH INTOLERANSI TERHADAP LAKTOSA DIDIAGNOSIS?
Jika anda mengalami simptom-simptom selepas minum susu atau makan produk tenusu atau produk lain yang mengandungi laktosa, agak jelas bahawa anda mempunyai masalah intoleransi laktosa. Kebiasaannya ujian lain tidak diperlukan.
*Akademi Pediatrik Amerika (American Academy of Paediatric) mengesyorkan diet bebas laktosa selama dua minggu jika anda disyaki mengalami intoleransi terhadap laktosa.
*Label makanan perlu diteliti untuk memastikan diet ini benar-benar bebas laktosa.
*Jika simptom hilang semasa tempoh dua minggu berkenaan dan muncul kembali apabila mula mengambil makanan atau minuman berlaktosa, maka anda boleh didiagnosis sebagai intoleransi laktosa.
APAKAH JENIS MAKANAN YANG MENGANDUNGI LAKTOSA?
Makanan mengandungi laktosa termasuk:
*Susu dan hasil tenusu seperti keju, mentega dan lain-lain.
*Coklat dan minuman coklat dan berperisa coklat.
*Aiskrim.
*Marjerin.
*Roti dan biskut.
*Bijirin sarapan.
*Manisan susu (candy), gula-gula yang mengandungi susu.
*Susu pekat manis.
*Susu cair.
Laktosa mungkin juga terkandung dalam makanan dengan label makanan berikut:
*Semua jenis susu.
*Gandum dan protein susu (‘whey’ dan ‘casein’).
*Susu tepung.
*Tairu.
Kini terdapat susu yang diproses bagi mereka yang mengalami masalah ini. Baca pada label bagi mengetahui susu yang mana sesuai untuk diminum.
Sumber kredit: Dr Zubaidi Hj Ahmad dan myhealth.gov.my