“Susu Bayi Juga Saya Sediakan..” -Mulianya Hati Ibu Ni, Bina Pondok Sedekah Bantu Keluarga Kurang Mampu!

Share

“Susu Bayi Juga Saya Sediakan..” -Mulianya Hati Ibu Ni, Bina Pondok Sedekah Bantu Keluarga Kurang Mampu!

Umumnya bagi sesiapa yang hidup dalam kesusahan, bukan semua selesa untuk meminta-minta secara terbuka kepada orang lain. Lantaran itu, bagi kita yang berkemampuan hulurkan lah bantuan walau dengan apa cara sekalipun seikhlas mungkin. Agar kehidupan sesama kita di dunia ini menjadi lebih harmoni.

Ini kisahnya seperti wanita ini yang begitu mulia hatinya dengan mmengambil inisiatif menghulurkan barangan keperluan secara percuma kepada golongan memerlukan dengan mendirikan Pondok Sedekah.

Hebatnya kisah Haslinda Wahab, 40 tahun ini yang menetap di Kuala Nerus, Terengganu merupakan peniaga kedai makan dan sebelum itu merupakan asnaf dan penerima zakat.

Memetik berita yang dikongsikan Sinar Harian, katanya, inisiatif membuka Pondok Sedekah itu adalah sebagai tanda kesyukuran selepas dia berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan berkat bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya pernah merasai kesusahan kehidupan sewaktu bergelar ibu tunggal selama 13 tahun sehingga menerima zakat dan bantuan daripada Maidam dan JKM.

“Kehidupan saya mula be­rubah apabila membuka kedai makan dengan pinjaman dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Selepas itu, rezeki saya terus murah apabila bertemu jodoh dengan suami pada tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Maras di sini semalam.

Ujar Haslinda, dia menyediakan barangan keperluan seperti beras lima kilogram, minuman coklat, kicap, minyak, biskut, mi segera dan susu formula bayi di pondok sedekah bersebelahan premis perniagaannya di Pengkalan Maras.

“Susu bayi yang saya sediakan di sini dari jenama Dutch Lady yang biasa digunakan oleh ibu-ibu. Ramai juga yang datang untuk dapatkan susu anak.

“Kalau keluarga anak ramai sekampit beras tu tahan dalam dua tiga hari sahaja. Biasanya mereka yang datang ambil barangan ini kita akan tanya dulu untuk pastikan penerima adalah mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, kesemua barangan keperluan tersebut boleh diambil secara percuma oleh golongan memerlukan.

Dalam pada itu, Haslinda turut mendedahkan pelbagai ujian dilalui orang ramai ketika ini di mana dia sendiri tidak menyangka ada yang seminggu terputus bekalan beras di rumah.

“Saya tak sangka ramai yang datang ke sini sebab rumah tiada beras. Ada yang minta izin ambil beras sebab sudah tiga hari terputus bekalan makanan itu.

“Ada juga yang telah seminggu rumahnya tiada beras. Kalau mampu beli pun beras siap bungkus sikit-sikit dari kedai runcit seberat 1 kilogram (kg) untuk sekali masak.

“Kebanyakan mereka yang berdepan situasi ini mempunyai ahli keluarga yang ramai mungkin lebih dari lima orang anak.

“Saya bersyukur sebab saya kini mampu membantu untuk meringankan bebanan mereka yang susah. Saya nekad untuk tidak berhenti dan doakan saya dapat teruskan sumbangan ini,” ujarnya.

Haslinda memberitahu, terdapat juga insan pemurah yang ingin turut sama menyumbang dengan menyalurkan wang ringgit bagi membeli barangan yang akan diagihkan di pondok itu.

Alhamdulillah! Moga lebih ramai insan mulia seperti wanita ini tampil sama-sama membantu mereka yang memerlukan.