‘Susah Nak Lekat’. Bukan Puncanya Pada Wanita Saja, Tapi Suami Pun Boleh Jadi Penyebabnya! Dr Ni Jelaskan Panjang Lebar.

Share

Perkongsian daripada Doktor Nor Azlina Abdul Rahman, Pakar Sakit Puan ini menarik untuk difahami agar tidak ada lagi pasangan suami isteri yang tidak tahu bahawa masalah sukar hamil ini adalah masalah bersama. 50% mungkin berpunca daripada wanita, 35% berpunca daripada lelaki manakala selebihnya adalah keadaan di mana, tiada punca yang dapat dikenal pasti.

Kenal Pasti Penyebab

1. Masalah penghasilan telur (ovulasi) yang tidak efektif, yang dipanggil ‘Anovulatory cycle’ dan juga masalah pada tiub Fallopio.  Masalah ‘Anovulatory cycle yang paling biasa dijumpai adalah ‘Polycystic Ovarian Syndrome’ (PCOS). Masalah PCOS ini bukan sahaja menyebabkan masalah sukar hamil dan haid yang tidak teratur, tetapi juga boleh menimbulkan masalah lain seperti penyakit metabolik contohnya pra diabetes. Terdapat juga beberapa peyebab lain kepada ‘Anovulatory Cycle’ seperti masalah hormone tiroid, prolaktin dan juga masalah pada kelenjar pituitari,

2. Masalah pada tiub Fallopio pula adalah keadaan di mana tiub tersumbat samada disebabkan oleh masalah jangkitan kuman pada kawasan pelvis ataupun disebabkan oleh penyakit Endometriosis.

3. Kelainan pada struktur rahim yang disebabkan oleh fibroid (jenis submucosal dan intramural) juga boleh menyebabkan masalah sukar hamil. Kecederaan pada dinding rahim disebabkan oleh faktor pembedahan lampau seperti D+C (dilatation & curettage) ataupun pembedahan membuang fibroid (myomectomy) juga antara penyebab proses kehamilan menjadi sukar.

4. Bagi pasangan lelaki, kualiti sperma adalah sangat penting untuk proses kehamilan terjadi. Kualiti sperma yang kurang (oligospermia) atau tiada sperma (azoospermia) merupakan antara penyebab utama kepada masalah sukar hamil. Antara faktor-faktor yang menyebabkan masalah ini adalah masalah hormone, pembedahan lampau pada alat atau system kelamin lelaki, jangkitan virus seperti beguk (mumps), persekitaran yang tinggi haba atau radiasi, penggunaan ubatan, masalah obesiti dan juga tabiat merokok.

5. Masalah mati pucuk juga seperti yang boleh dialami oleh lelaki peghidap diabetes juga antara penyebab masalah sukar hamil. Walaupun terdapat penghasilan air mani, kualiti sperma hanya dapat diketahui melalui proses Analisis Air Mani secara terperinci.

Kaedah rawatan yang disarankan

Untuk Isteri

Apabila pasangan berjumpa dengan Doktor, selepas memperolehi maklumat yang perlu, pemeriksaan fizikal yang menyeluruh akan dilakukan seperti biasa. Pemeriksaan pada bahagian pelvis dan ultrasound akan dilakukan untuk mengesan masalah pada rahim atau kilang telur (ovaries). Beberapa ujian darah untuk hormon yang berkaitan juga kan diambil dan ujian hormon ini kadangkala diambil pada waktu yang telah ditetapkan. Ujian radiologi, Hysterosalpingogram (HSG) untuk melihat kepada fungsi tiub Fallopio juga akan dilakukan. Ujian HSG ini merupakan satu ujian yang ringkas dan boleh dibuat sebagai pesakit luar sahaja.

Terdapat keadaan di mana Doktor Pakar lebih memilih kepada pembedahan laparoskopi berbanding HSG untuk mengetahui sistem peranakan wanita dengan lebih jelas, termasuk mengesan dan merawat penyakit endometriosis selain melihat fungsi tiub Fallopio. Laparoskopi merupakan proses pembedahan yang melibatkan beberapa risiko dan komplikasi, jadi hanya dalam keadaan tertentu sahaja pembedahan laparoskopi ini dilakukan.

Untuk Suami

Untuk suami, Analisis Air Mani adalah ujian terpenting. Setelah mengenalpasti masalah yang dialami pasangan, maka setiap pasangan akan diberikan pilihan kaedah rawatan kesuburan yang sesuai.

Lalui proses demi proses

Rawatan untuk setiap kes adalah bergantung kepada punca masalah sukar hamil itu sendiri. Ada masanya, untuk pasangan yang masih lagi di peringkat awal dah tiada masalah yang jelas, teknik ‘Tunggu dan lihat’ boleh dipraktikkan dan belajar tentang teknik mengenalpasti waktu subur, untuk meningkatkan peluang hamil secara semulajadi. Pasangan juga boleh mengoptimumkan kesihatan diri dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti berhenti merokok dan mencegah obesiti.

Untuk keadaan seperti ‘Anovulatory cycle’, proses rangsangan penghasilan telur boleh dilakukan melalui ubat hormon seperti Clomiphene Citrate dan Follicle Stimulating Hormone (FSH). Proses ini mungkin ringkas tetapi memerlukan pemantauan daripada pihak Doktor. Kadangkala, permanian berhadas atau ‘Intrauterine Insemination’ (IUI) juga dilakukan selepas proses rangsangan penghasilan telur, bergantung kepada perbincangan antara pasangan dan Doktor Pakar. Kos rawatan pada tahap ini adalah sederhana.

Jika pasangan mempunyai faktor penyebab yang lebih kompleks contohnya penyakit endometriosis atau kualiti sperma yang kurang, teknik IVF (in vitro fertilization) adalah yang paling sesuai. Kos untuk rawatan ini agak tinggi, jadi perbincangan perlu dilakukan secara terperinci.

Teknik IVF juga lebih sesuai untuk wanita yang berusia 35 tahun ke atas, yang telah lama berusaha untuk hamil, walaupun tidak mempunyai masalah dengan tiub Fallopio ataupun kualiti sperma yang kurang baik.

Kecanggihan teknologi menyebabkan lelaki yang tiada sperma (azospermia) mempunyai harapan untuk memiliki cahayamata. Teknik TESE/TESA (testicular epididymal sperm extraction/ testicular epididymal sperm aspiration) membolehkan benih lelaki diperolehi secara pembedahan kecil. Dan seterusnya melalui proses kemasukan benih lelaki ke dalam telur wanita. Teknik ini dinamakan ICSI (Intracytoplasmic Sperm Injection).

Secara keseluruhannya, proses ke arah kehamilan yang sihat dan berjaya memerlukan usaha yang berterusan. Dengan mengamalkan cara hidup yang sihat seperti berhenti merokok, mencegah obesiti, mewujudkan persekitaran yang baik, menjalinkan hubungan kelamin yang sihat dan mendapatkan rawatan awal sekiranya mempunyai simptom, adalah antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh pasangan.

Aspek spiritual dan emosi juga perlu dititikberatkan. Elakkan dari menyalahkan satu pihak sahaja. Perbincangan dan ikhtiar mencari jalan ke arah impian itu adalah lebih baik. Kekalkan hubungan mesra dah harmoni, cari sokongan dari keluarga dan rakan dan jangan lupa ntuk sentiasa berdoa.

Sumber : Dr Nor Azlina Abdul Rahman, Pakar Sakit Puan, Pahang Medical Centre