Perkongsian Puan Norasmah binti Md Rani yang juga merupakan seorang surirumah dan mempunyai tiga orang anak ini mengisi masa lapangnya dengan berkebun sayur di laman rumah. Siapa sangka, dengan minatnya ini dapat juga menambah duit belanja anak-anak.
Jom baca kisah keluarga ini dan mana tahu secara tidak langsung terdetik pula di hati kita untuk bercucuk tanam bersama keluarga bagi mengisi waktu senggang yang ada.
Dulu saya juga berkerja dan setelah menjadi suri rumah sepenuh masa, itu yang buat saya tercari-cari aktiviti apa yang boleh saya lakukan untuk isi masa lapang. Jadi dengan berbekalkan minat dan pengalaman melihat sendiri mak dan abah masa dulu berkebun sayur, itu membuatkan saya juga ingin bercucuk tanam dan mula aktif sejak 3 tahun yang lalu.
Tinggal di kampung ni, bila tengok sekeliling rumah ada tanah dan kalau terbiar rumput je naik, jadi baik saya tanam sayur.
Bila kita berkebun ni, rutin harian kita lalui macam biasa sahaja untuk seorang wanita bergelar surirumah sepenuh masa. Pun begitu adalah sedikit pembahagian masa. Contohnya apa yang selalu saya lakukan, lepas hantar anak sekolah balik siram pokok. Kemudian tengok-tengok pokok kalau-kalau ada serangan serangga. Boleh dikatakan, setiap hari saya ambil masa lebih kurang 2 jam untuk kebun.
Kemudian masa untuk mengurus bahagian dalam rumah seperti mengemas dan memasak perlu saya buat sebelum anak balik dari sekolah. Kiranya tidaklah sibuk mana sangat pun, sekadar kebun keliling rumah sahaja. Memang kita orang perempuan boleh urus dengan baik.
Sokongan Suami & Anak
Minat saya ini juga mendapat sokongan daripada suami iaitu Md Norhisham bin Md Aripin dan anak-anak. Malah suami saya akan selalu tolong isi tanah dalam polistrin, dia jugalah siapkan tempat untuk saya bercucuk tanam.
Andai cili sudah banyak yang perlu dituai, suami ringan tulang mengutipnya. Begitu juga dengan anak-anak, senang cakap dengan bercucuk tanam ni kami sekeluarga saling bantu membantu dan lakukannya bersama-sama.
Idea muncul
Mula-mula timbul idea untuk lebih serius berkebun di laman rumah ni, bila sering terlihat paparan kisah di dalam surat surat khabar tentang aktiviti berkebun. Selain itu, makin bersemangat bila saya sendiri sertai group-group berkebun di media sosial.
Mula-mula saya cuba tanam tanaman asas yang selalu kita gunakan untuk memasak, contohnya seperti tanam pokok kunyit,serai dan tanam pokok kari. Kemudian sayur yang agak mudah nak hidup dan senang dijaga seperti sayur kangkung ,bayam,bendi dan terung.
Lama kelamaan mencuba pelbagai jenis tanaman dan antaranya kobis, beberapa jenis sawi, beberapa jenis terung, kangkung,pokok sup, keledek, bayam brazil, kucai, cili padi dan ada juga tanam kailan, bunga kobis, bendi,pokok ketumbar dan banyak lagi.
Tanam banyak tanaman ini bukan apa, sekadar untuk makan sendiri sahaja. Kalau ada permintaaan nak beli baru saya jual.
Tinggal di kampung biasa la harganya sekadar 2 ringgit,3 ringgit camtu saja la. Selain jual terus kepada yang mahukan sayur segar, saya banyak juga buat benih pokok untuk jualan. Contohnya pokok sup, pokok kari, pandan,kunyit dan lain-lain, bolehlah untuk buat duit poket anak sekolah.
5 Manfaat Bila Saya Bercucuk Tanam
1)isi masa lapang saya sbg suri rumah sepenuh masa
2)sayur yang saya tanam bebas dair racun merbahaya. Petik masak tanpa was-was.
3)hilangkan stress bila tengok sayur keliling rumah ada. Sejuk mata memandang
4)dapat makan sayur segar.
5)kongsi rezeki sayur dengan keluarga terdekat dan jiran serta kawan-kawan yang datang
melawat kebun.
sumber : Norasmah Bt Mat Rani