Sungguh Lain Daripada Lain Minatnya. Jadikan Anak Lelaki 3 Tahun Ni Diiktiraf Sebagai Adiwira Cilik Alam Sekitar!

Share

Keterujaan setiap kali melihat lori dan pekerja pembersihan mengutip sampah di kawasan perumahan, siapa sangka boleh menarik minat seorang kanak-kanak lelaki untuk turut sama menjaga alam sekitar meskipun umurnya baru tiga tahun.

Zayn Asyraff Mohamad Aliff Hakim yang masih kecil dan belum pun fasih bertutur, gemar mengutip sampah dengan membawa tong sampah mini ke mana-mana sahaja dengan ditemani ibu dan bapanya.

Memetik kisah lanjut adik Zayn Asyraff  di Utusan Malaysia, anak kecil ini telah dinobatkan sebagai adiwira cilik kebersihan dan kitar semula oleh SWM Environment,  selari dengan tema sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan pada tahun ini iaitu Adiwira Bumi.

Difahamkan Zayn Asyraff Mohamad Aliff yang baru berumur tiga tahun itu amat teruja setiap kali melihat lori sampah milik SWM Environment Sdn. Bhd. yang mengangkut sisa buangan berhampiran rumahnya atau setiap kali berselisih dengan kenderaan berat itu.

Teruja Bila Belikan Permainan Tong Sampah 

Ibunya, Norfaizah Mohd. Esa, 28, berkata, anak sulungnya itu memang gemar mengutip sampah dan sikap terpuji anaknya itu dikesan sejak berusia setahun lapan bulan terutamanya apabila melihat lori sampah berkenaan.

“Sejak kecil bila nampak lori sampah saya akan tunjuk kepadanya sehinggakan satu masa jika saya tidak buka pintu tunjuk lori sampah yang datang dia akan menangis. Dia sangat teruja bila melihat lori mengangkat tong sampah untuk dimasukkan ke dalam lori.

“Bahkan kami lihat minatnya terus mendalam bila suami, Mohamad Aliff Hakim Jais, 29, ketika membelikan mainan biasa untuk Zayn Asyraff namun dia akan mudah jemu. Tetapi selepas kami belikan dia permainan tong sampah kecil ternyata dia amat menyukainya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Norfaizah berkata, setakat ini Zayn Asyraff memiliki tiga koleksi tong sampah kecil dan juga lori sampah kecil dengan salah satunya yang berwarna hitam akan dibawa ke mana-mana sahaja termasuk ketika ke rumah pengasuh.

Lihat Dari Sudut Positif

Tambah ibu kepada dua orang cahaya mata itu, pada awalnya memang dia agak pelik dengan minat anaknya itu namun memandang perkara itu dari sudut positif.

“Biasanya bila kami pergi berjalan-jalan atau bercuti dia tidak bermain sebaliknya dia akan berlari cari sampah lebih-lebih lagi bila nampak tong sampah yang disediakan ada sahaja sampah yang hendak dibuang.

“Kami memandang minatnya dari sudut yang positif mungkin kerana mana tahu satu hari nanti dia boleh menjadi kontraktor untuk sistem sisa pepejal.

“Maka sebagai ibu bapa kami tidak halang minat anak bahkan mendorong apa yang dia minati dan mahu menjadi pendorong kepada masyarakat di luar untuk sama-sama mengutamakan kebersihan,” katanya.

Photo by Pawel Czerwinski on Unsplash

Tauladan Kepada Umum 

Sementara itu, Pengurus Kawasan Servis Johor Selatan 2, SWM Environment, Mohd. Asriff Samion berkata, pihaknya merasa amat dihargai kerana tugasan kakitangan dalam menguruskan sisa pepejal menjadi daya tarikan minat kanak-kanak seperti Zayn Asyraff.

Katanya bagi memenuhi dan melengkapi minat kanak-kanak tersebut, pekerja SWM Environment juga telah singgah ke rumahnya untuk mempamerkan proses pengendalian tong sampah beroda bersama lori kompaktor.

“Adik Asyraff adalah suri teladan kepada kanak-kanak dan masyarakat umum tentang penjagaan kebersihan dan penggunaan tong sampah secara tertib serta selari dengan Kempen Buang Sampah Ke Dalam Tong Sampah yang SWM Environment jalankan.

“SWM Environment juga kagum dengan keupayaan adik Asyraff yang sudah mengenali konsep kitar semula. Oleh itu, selari dengan tema sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan pada tahun ini iaitu Adiwira Bumi, SWM Environment mengiktiraf adik Zayn Asyraff sebagai adiwira cilik kebersihan dan kitar semula,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia