Baru-baru ini berlangsung majlis yang sungguh bermakna buat 16 atlet kelainan upaya (OKU), Majlis penyerahan Jalur Gemilang sebelum mereka berangkat membawa cabaran negara ke temasya Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin 2023 yang akan berlangsung dari 17 hingga 25 jun ini.
Majlis yang berlangung di Sunway University ini turut diserikan dengan kehadiran YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Law Saw Yin, Presiden Special Olympics Malaysia dan Profesor Dato’ Dr Elizabeth Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sunway Education Group, serta para atlet, keluarga, jurulatih, dan sukarelawan untuk menyatakan sokongan dan menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada atlet Malaysia.
YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan berkata, “Bagi atlet Malaysia hari ini yang memakai jersi hari ini, apabila anda pergi ke Berlin, saya ingin anda tahu bahawa Malaysia berdiri di belakang anda, menyokong anda. Paling penting, dapatkan pengalaman, lihat apa yang orang lain lakukan di seluruh dunia dan belajar daripada mereka.”
Manakala dalam ucapan Law Saw Yin, Presiden Sukan Olimpik Khas Malaysia di majlis yang sama, “Kami sangat gembira hari ini kerana kami mempunyai empat lagi tonggak kukuh di sini yang menyaksikan pencapaian atlet istimewa: keluarga, jurulatih, sukarelawan, dan penaja serta rakan kongsi. Penaja, rakan kongsi dan anda semua adalah penting dan merupakan sokongan penting yang meningkatkan atlet Olimpik Khas kami untuk memenuhi potensi mereka, membantu mereka melampaui kecacatan, kepada kebolehan.”
Nur Ameer, Sahut Cabaran!
Antara 16 atlet yang akan mewakili negara, salah seorangnya adalah anak remaja berusia 19 tahun yang mengalami ketidakupayaan pembelajaran, Nur Ameer Muqsiq.
Nur Ameer dipilih mewakili negara oleh Olimpik Khas (SO) Perak selepas beliau memenangi emas untuk acara larian 100 meter (m) dan lompat jauh pada temasya Sukan Olimpik Khas Malaysia di Melaka pada Ogos lepas.
Pada temasya di Jerman nanti, Nur Ameer akan bertanding dalam acara larian 100m, 4x100m dan lompat jauh.
“Saya rasa seronok dan gementar. Saya telah mula berlatih sejak tahun lepas, saya berlatih dua kali seminggu di rumah dan di Stadium Perak bersama jurulatih (S. Manogaran),” ujarnya yang juga merupakan anak kelahiran Perak.
Sebagai info, Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin 2023 akan mempertandingkan 26 acara. Persaingan tentu sengit apabila atlet Malaysia bakal disertai oleh 7,000 atlet lain dari 190 negara. Selain Ameer, seramai 15 lagi atlet OKU Malaysia yang lain akan membawa cabaran negara dalam enam acara sukan termasuklah olahraga, renang, badminton, pingpong, boling dan bocce.
Selain dana sebanyak RM160,000 yang disalurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persediaan kontinjen negara ke Berlin, kontinjen Malaysia juga mendapat sokongan daripada beberapa rakan penaja termasuklah penaja utama, U Mobile.