Mendirikan rumah tangga adalah sangat dituntut dalam Islam, satu cara menghalalkan hubungan lelaki dan wanita. Namun dalam sesebuah perkahwinan, baik suami mahupun isteri, harus tahu akan tanggung jawab masing-masing dalam menguruskan rumah tangga.
Cinta sahaja tidak memadai kerana apabila berlaku sesuatu hal, mula lah bergaduh dan masing-masing mahu menegakkan pendapat sendiri. Kena faham matlamat sesebuah perkahwinan.
Hadamkan perkongsian dari saudara Syahr Musafir ni. Moga ia bermanfaat buat semua.
“Saya suka dia, dia suka saya, suka sama suka, cukuplah, kan?”
Tidak.
Bab nikah-kahwin ni, suka sama suka tidak cukup besar dan meyakinkan untuk kata seorang lelaki dan seorang wanita itu sudah bersedia untuk bernikah.
Begitu juga dengan ‘hujah’ biasa kita dengar seperti sudah lama berkawan, kenal hati budi, ibu bapa dah restui, bla bla bla, fahamkanlah, semua ini tak cukup valid dan solid untuk jadi sebab untuk berkahwin.
Ikatan nikah membawa maksud kedua-dua lelaki dan perempuan itu mampu menunaikan hak pasangan, mampu melunaskan hak sendiri, tahu dan mampu laksanakan hukum hakam agama, tahu menguruskan rumahtangga dan keluarga, mampu membimbing pasangan dan anak-anak ke arah kebaikan dalam keadaan yang baik, boleh berfikir dengan waras jika hubungan dilanda masalah, wajib menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga, dan pelbagai lagi.
Tak boleh dilupakan, hidup bernikah juga bermaksud kita bersedia nak basuh berak anak kita, tak ada nak euwww bagai. Dah anak berak, basuh sajalah, hingga bersih, tak kisah siang, pagi, tengah hari, petang, atau malam ketika orang lain sedang nyenyak tidur.
Jangan pernah fikir dan bayangkan pernikahan itu cukup dengan cinta suci mendalam sejiwa terhadap pasangan pilihan, nak jaga nafsu syahwat semata-mata, seronok gembira sepanjang masa, boleh bermalas-malasan dan seumpamanya. Hidup berkeluarga, walaupun baru berdua, tak sama dengan hidup bujang.
Orang yang bernikah perlu juga faham risiko perceraian, bukan semua pernikahan berbahagia hingga ke hujung nyawa, hingga ke syurga, perlu matang untuk teruskan kehidupan, dan sebagainya. Bukan mendoakan perceraian, tetapi ambil tahu untuk sediakan ilmu di dada.
Jangan terikut-ikut dengan pelbagai drama, filem dan seumpamanya, yang selalu paparkan cinta sebagai penentu segala-galanya. Kalau ikut drama dan filem, pilot tak pernah masuk cockpit untuk terbang tetapi asyik bercintaaaaa tak habis-habis dengan suri hati, doktor tak pernah sibuk urus pesakit tapi asyik kejar cinta Kapten Mukhriz, lelaki dah nikah macam Ustaz Hamadi sibuk pandang perempuan lain disebabkan cinta Aisyah jadi buta mata tak tahu hak dan tanggungjawab sebagai isteri, bla bla bla.
Adik-adikku sayang,
Bernikah bukan bermaksud stop semua benda lain, boleh berbulan madu sampai mati. Hidup perlu diteruskan. Orang yang kerja kuat kumpul duit nak kahwin perlu terus kerja kuat kumpul duit untuk sara isteri dan anak-anak.
Pernikahan membawa bersamanya jutaan UJIAN. Jangan pandang sebelah mata hal ini semua hanya sebab kita nikah suka sama suka. Suka sama suka itu perlu tapi tak cukup untuk sebuah pernikahan.
#KeluargaDrSyahr #JihadDrSyahr #DrSyahrMusafir 31/07/2019