Suka ‘Push’ Anak, Dato’ Dr Sheikh Muszaphar Anggap Parenting Satu Eksperimen

Share

Melihat pasangan ini menguruskan dan mendidik anak-anak mengikut acuan sendiri nyata memberi motivasi kepada ibu bapa lain. Tidak hairanlah setiap kali mengemas kini status terbaru di media sosial, ada sahaja pertanyaan dan permintaan daripada orang ramai yang ingin mereka berkongsi ilmu keibubapaan.

Tidak sekadar itu sahaja, pasangan ideal Dato’ Dr Sheikh Muszaphar dan Datin Dr Halina juga tidak menggunakan bantuan pembantu rumah dalam menguruskan anak-anak. Sebaliknya mereka lebih selesa melakukan sendiri sejak dahulu lagi.

Push anak belajar banyak benda

Senada dan sehati dalam segala hal, namun Dato’ Dr Sheikh Muszaphar sedikit ‘dominan’ terutama dalam mendidik anak-anak. Tegasnya, anak-anak perlu didedahkan dengan segala kemahiran sejak kecil lagi bagi memudahkan pada masa akan datang.

“Alahmdulillah, syukur kerana ini rezeki yang Tuhan berikan pada kami. Saya dan isteri memang suka anak ramai. Saya suka mendidik anak-anak ikut cara saya yang dipraktikkan hasil pembelajaran melalui ajaran ibu bapa saya dan juga sebelah Halina. Saya suka tonjolkan anak-anak dengan unsur kasih sayang selain ‘push’ mereka sehingga ke tahap maksima kerana kita tidak tahu potensi mereka yang boleh pergi.

“Saya mahu didik mereka dalam semua bidang termasuklah bab agama, akhlak, mengaji, belajar berenang, tekwando dan pelbagai lagi.  Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak, demikian juga kami. Dalam  hal ini, saya mengharapkan anak-anak akan jadi lebih baik daripada kami kelak. Awalnya isteri saya agak takut dan kesian kerana anak-anak masih kecil.

“Tetapi sebenarnya mereka suka jika apa yang kita suruh buat itu benda yang menyeronokkan buat mereka. Penerimaan Bella dan Tasha baik dan saya tidak suka mereka membazir masa begitu sahaja kerana pada saya setipa minit itu adalah pelajaran. Kebetulan juga kami berdua sibuk dengan kerja, kerana itu saya suka hantar anak-anak ke kelas untuk menambahkan kemahiran mereka.

“Pernah juga mak saya tegur kononnya biarlah anak-anak main tetapi bagi saya pelajaran juga satu corak permainan. Contohnya ke kelas menyanyi, persekitaran tersebut cukup menyeronokkan. Jadi, daripada situ mereka selesa dan seronok untuk belajar. Saya berimpian mahu melihat anak-anak mengikut jejak langkah kami dalam bidang kedoktoran. Kerana itu saya mendedahkan mereka dengan bidang perubatan ini sejak awal lagi.

“Tetapi andai suatu hari nanti mereka mahu memilih bidang lain, saya akur. Tetapi saya percaya jika kita didik dan asuh minda mereka sejak awal ke arah tersebut, maka saya yakin mereka akan menuju ke arah yang betul.

Take a break elak stress

Ditanya mengenai cabaran memiliki anak kembar, jelas Angkasawan negara ini lagi, memang sangat mencabar dan dalam masa yang sama terselit kebimbangan tidak mampu memberi kasih sayang sama rata.

“Memang stress dan kadang kala penat sangat kerana boleh dikatakan 24 jam kami menguruskan anak-anak sendiri. Saya bangun jam 2-3 pagi untuk susukan dan dodoikan anak. Pada saya suami kena banyak berkorban dan jangan harapkan isteri sahaja. Saya lebih suka berjaga malam dan biarkan Dr Halina tidur dan berehat. Pada saya, sebagaimana isteri berkorban begitu juga suami dan kedua-dua kena main peranan.

“Saya selalu pesan pada isteri, kalau penat ambil rehat dengan pergi keluar untuk ‘take a break’ walau hanya 30 minit. Tetapi  jarang sebenarnya nak stress kerana penat macam mana sekali pun itu adalah sesuatu yang kami suka lakukan. Lagipun kembar memerlukan perhatian lebih terutama Noah yang agak kecil berbanding Adam. Jadi, dalam diam-diam saya susukan lebih supaya dapat naikkan beratnya dan Alhamdulillah tidak banyak beza kedua-duanya,” seloroh Dato’ Dr Sheikh Muszaphar lagi.

Anak sekolah aliran Cina

Tidak mahu anak terkena kejutan budaya membuatkan pasangan ini menghantar anak-anak bersekolah lebih awal sedari usia 3 tahun. Bahkan Bella menurut Dato Dr Sheikh Muszaphar lagi sudah mencapai level tahun empat untuk subjek matematik dan Bahasa Inggeris. Mengakui Bella banyak mengikut jejak langkah isterinya terutama bab bergaya, mekap, kasut dan sebagainya, Dato Dr Sheikh juga menghantar anak-anak  ke sekolah Cina.

“Saya selesa menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan kerana tidak mahu anak berasa diri ‘besar’ sebaliknya mahu mereka jadi orang biasa yang sentiasa rendah diri.  Sekolah Cina menjadi pilihan kerana mahu mereka fasih bahasa Mandarin. Walaupun saya secara peribadinya tidak tahu berbahasa Cina dan terpaksa membuka Google translate apabila mengajar anak-anak, saya tidak kisah kerana bahasa ini amat penting untuk masa depan,”ulas Dato Sheikh Muszaphar.

Parenting satu eksperimen

Mengakui masih baru dalam bab keibu bapaan, Dato Dr Sheikh Muszaphar tidak mengharapkan semua orang menerima kaedah yang dipraktikkannya itu.

“Ini cara saya dan kepada mereka yang tidak setuju tidak apa. Kerana proses parenting  ini seperti satu eksperimen. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Mungkin kita sudah berikan yang terbaik tetapi hasilnya berbeza. Namun yang pasti saya sudah melakukan  yang terbaik dan jika ada yang mahu mencontohi cara saya, maka  boleh ikut.

“Keutamaan saya lebih pada keluarga dan bab memberi ceramah masih diteruskan cuma tidak mahu terima terlalu banyak. Soal penerimaan tawaran untuk anak-anak buat masa sekarang kami masih kawal lagi. Kami tidak mahu mereka didedahkan pada bidang komersil dan memilih produk yang bersesuaian dengan anak-anak,”jelas Dato Dr Sheikh Muszaphar yang mengakui kerjasama dan perancangan awal yang sistematik memudahkan dia dan isteri menguruskan anak-anak baik di rumah mahupun ketika bercuti dan sebagainya.

Sumber: Majalah Keluarga Jan-Feb 2018