“Sudah 11 Kali Kepala Suami Dibedah.” Suami Terlantar Akibat Kemalangan & Hospital Jadi ‘Rumah’ Kedua, Wanita Ini Setia Disisi Suaminya.

Share

Benarlah ungkapan isteri diuji takkala suami sedang susah cukup menggambarkan keadaan wanita ini. Kasih sayang terhadap suami mengatasi segalanya apabila setia menjaga suami yang terlantar akibat kemalangan.

Kisah wanita bernama Noor Ainie ini mendapat perhatian netizen di Facebook (FB) yang rata-ratanya memberi kata-kata sokongan dan menggelarkan beliau wanita tabah.

Sebelum ini, ibu kepada dua anak pernah meminta bantuan wang daripada orang ramai untuk rawatan memasukkan skru dalam tempurung kepala suaminya yang berjumlah RM2,400 di media sosial.

Noor Aini Ramlee, 28, berkata suaminya itu, Syazwan Ahmad, 32, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh selepas selesai menjalani pembedahan memasukkan semula tempurung kepala pada 16 Februari lalu.

“Pada 16 Oktober tahun lalu, suami yang menunggang motosikal terbabas sendiri ketika sedang menuju ke tempat kerjanya di Seksyen 15, Shah Alam.

“Selepas kejadian itu, dia mampu terlantar dan terpaksa memakai lampin pakai buang serta makan melalui tiub. Keadaan semakin buruk apabila dia turut mempunyai darah beku di kepala akibat kesan hentakan.

“Ia menyebabkan suami tidak mampu pulih dan sebanyak 11 pembedahan kepala sudah dilakukan setakat ini,” katanya.

Menurutnya, dia kini hanya bergantung kepada bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300 sebulan.

Namun, katanya, dia perlu bekerja untuk menampung kehidupan keluarga apatah lagi masih mempunyai hutang seperti televisyen dan motosikal.

Noor Ainie berkata, sebelum ini anaknya iaitu Alysa Damia, 7, dan Mohammad Arash Danial, 6, kini berada dalam jagaan ibu mentuanya di Pasir Puteh, Kelantan.

“Rumah kami di Seksyen 26, Shah Alam dan sukar bagi saya berulang-alik balik ke rumah jika pergi ke Hospital Sungai Buloh. Kini, saya hanya mengharapkan abang untuk menghantar saya pergi ke hospital dengan menaiki motosikal.

“Hanya telefon bimbit menjadi pelepas rindu saya kepada anak yang turut memahami keadaan bapa mereka,” katanya lagi.

Namun terbaru dia memuat naik perkongsian di Facebook berkenaan anak-anak nya.

“Alhamdulillah, semakin hari suami semakin ada perubahan yang positif walaupun masih belum boleh cakap dan makan. Keluarga kami juga sudah bersatu kembali. Anak-anak saya dah sekolah di Shah Alam semula.

“Tak sanggup nak berpisah lama dengan anak. Alhamdulillah anak dapat bersekolah seksyen 20. Jadi saya kena kerja sebab anak dah mula duduk dengan saya. Bantuan bulanan untuk suami dari zakat pula sudah dihentikan kerana pihak Zakat sudah bantu dari segi sewa rumah,”ujar Noor Aini lagi.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian atas nama Noor Aini Ramlee  ke akaun Maybank bernombor 162218680714.

Sumber: Noor Ainie & Harian Metro