Salah satu solat sunat yang sangat dianjurkan untuk ditunaikan adalah solat tahajud. Solat tahajud merupakan solat sunat yang didirikan pada malam hari iaitu sebaiknya ketika sepertiga malam.
Allah berfirman dalam Surah Al-Muzammil ayat 1-4 yang bermaksud: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah solat tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat) iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan ‘tartil’.
Solat tahajud dilakukan paling minimum dua rakaat dan paling maksimum tiada batasannya serta diakhiri dengan solat witir sebagai penutup.
Sehubungan dengan itu melalui perkongsian daripada Dr Zaharuddin Abd Rahman baru-baru ini berkenaan solat tahajjud, ayuh kita rebut peluang melatih diri untuk memulakan secara konsisten solat tahajjud. Ini memandangkan waktu masuk subuh ketika ini lambat sedikit.
Ini perkongsiannya.
Subuh masuk lewat ketika ini (iaitu jam 6:17 am ketika status ini ditulis – waktu Putrajaya), nescaya jika kita terbangun dari tidur pada jam 6:00 pagi sekalipun, kita masih berpeluang mendirikan solat tahajjud dua rakaat dan ditutup dengan 3 atau 1 rakaat solat witir (kecuali jika telah witir sebelum tidur – tidak perlu witir lagi kerana Nabi sebut tiada dua witir dalam satu malam)
Waktu solat TAHAJJUD bermula selepas isyak, kemudian tidur dan mujahadah bangun sebelum subuh untuk solat menurut majoriti ulama berdasar athar sahabat nabi bernama Hajjaj Bin al- Amru yang hasan sanadnya menurut Ibn Hajar dalam Talkhis al-Habir.
Tamat waktunya adalah ketika masuk waktu Subuh atau fajar sebagaimana hadis :-
إن الله أمدكم بصلاة هي خير لكم من حمر النعم ، وهي الوتر فجعلها الله لكم فيما بين العشاء إلى طلوع الفجر
Ertinya : Sesungguhnya Allah mengurniakan bagimu solat yang lebih baik dari unta merah (barang paling berharga di dunia) iaitulah solat witir dan dijadikan baginya waktu selepas solat Isyak sehingga naik Fajar. (Riwayat Abu Daud & Tirmidzi)
Justeru, ambillah peluang mendirikan solat tahajjud yang ditutup dengan witir sebagai mujahadah diri dan jiwa. Allah swt menjanjikan kemulian kedudukan (di akhirat) bagi mereka yang melaziminya. JANGAN niat solat Tahajjud untuk kononnya muka bercahayalah, putih, untuk kaya dan lain-lain sebab dunia, jadikan ia khas untuk menghampirkan diri kepada Allah swt & redhanNya. Insha Allah.
JANGAN juga pandang rendah jika hanya mampu laksana DUA rakaat Tahajjud sahaja, asalkan konsisten kerana ibadah yang konsisten lebih dicintai Allah swt berbanding yang banyak tetapi terputus.
Tahajjud dua rakaat yang tidak melahirkan bongkak dan ujub JAUH LEBIH MULIA dari berbelas rakaat tetapi ujub, bongkak dan memandang rendah ibadah orang lain.
Sumber : Dr Zaharuddin Abd Rahman
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club