Suasana sayu dan pilu menyelubungi majlis pengkebumian anak bongsu pasangan selebriti, Zaquan Adha dan Ayu Raudhah yang meninggal dunia semalam.
Jenazah anak kecil itu selamat dikebumikan di Makam Tuan Haji Said di sini pada jam 9.30 pagi tadi.
Difahamkan anak pasangan itu, Allahyarham Muhammad Aisy Al Raees yang baru berusia 6 bulan meninggal dunia ketika sedang tidur di rumah di Taman Sri Pulai di sini kira-kira jam 1 petang pada Selasa.
Allahyarham Muhammad Aisy Al Raees dilahirkan pada 2 Ogos tahun lalu jam 12.57 tengah hari yang merupakan anak ketujuh Ayu dan Zaquan.
Terdahulu, Ayu dan Zaquan berkahwin pada 21 Januari 2011. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dengan tujuh cahaya mata termasuk Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann,11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang berusia setahun.
Kredit: Sinar Harian