Andai kita rasa kehidupan pada masa ini terlalu susah untuk dilalui dan selalu mengeluh terutama yang melibatkan duit. Namun sedarkah kita disaat kita berasa tidak selesa tentang kehidupan kita sekarang ini, lebih ramai yang menghadapi kesukaran yang jauh lebuh berat daripada apa yang kita hadapi.
Di saat kita merungut untuk menyekat perbelanjaan, ramai lagi di luar sana yang kini berjuang mencari tempat tinggal untuk berteduh dan makanan untuk keluarga mengisi perut yang lapar.
Ini seperti mana kisahnya yang dilaporkan di dalam Harian Metro yang berlaku ke atas sebuah keluarga yang tinggal di Kampung Babong, terpaksa berteduh di kandang kambing untuk membesarkan dua orang anak mereka.
Mohd Azlam Yusof, 26, dan isterinya, Raja Sazila Raja Hanuzi, 24, serta dua anak mereka, Nur Aidyah Syafiqah, 6, serta Amsyar Syazuran, 1, hidup dalam serba kedaifan terutama sejak pandemik Covid-19 yang menyebabkan pendapatan keluarga mereka tidak menentu.
Ketika Hujan Empat Beranak Kebasahan
Bangsal yang mereka berteduh pada asalnya adalah kandang kambing, namun disebabkan tidak mampu menyewa kediaman lain menyebabkan empat beranak itu tinggal di bangsal serba usang dengan memindahkan kambing ke kawasan lain.
Raja Sazila berkata, sebelum ini, dia dan suami menumpang rumah ibu mentua sebelum mengambil keputusan berpindah di kandang kambing berkenaan.
“Pada asalnya kandang tu kecil saja namun suami terpaksa mengubah suai dengan membesarkannya sedikit memandangkan kami mempunyai dua anak.
“Sepanjang tinggal di bangsal berkenaan, paling menyedihkan ialah ketika hujan yang mana keseluruhan rumah akan basah menyebabkan kami empat beranak sukar tidur selain keadaan lantai kayu juga hampir reput,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Dia berkata, suami bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM50 sehari, namun sejak pandemik Covid-19 tahun lalu, pendapatan yang diterima tidak menentu menyebabkan ada kalanya mereka terpaksa mengikat perut untuk makan.
“Malah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, suami sudah tidak bekerja sejak beberapa bulan menyebabkan keadaan kami semakin sukar. Jika ada telur sebagai hidangan itu sudah memadai selain kulit ayam juga turut dijadikan lauk bagi mengalas perut.
“Suami tidak mampu untuk menyewa di tempat lain. Maka di sini saja kami terpaksa bertahan, bangsal kami tiada tandas dan setiap kali mandi, kami akan pergi ke rumah ibu mentua selain elektrik juga terpaksa disambung dari rumah mentua.
“Tiada apa yang diharapkan melainkan dapat tempat berteduh yang lebih selesa berbanding sedia ada,” katanya.
Raja Sazila berkata, minggu lalu ada pihak yang hadir dan katanya bersetuju untuk membina rumah buat mereka sekeluarga.
Namun katanya, dia tidak tahu sejauh mana kebenaran itu dan berharap ianya menjadi kenyataan buat mereka sekeluarga.
Sementara itu, Penghulu Mukim Pulau Belanga, Wan Zaidi Wan Jusoh berkata, pihaknya dimaklumkan keluarga berkenaan meminta kepingan zink memandangkan keadaan atap yang bocor setiap kali hujan.
Katanya, barangan berkenaan akan dihantar dalam masa terdekat kepada keluarga berkenaan.
Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Hazmi Hassan yang tampil menghulurkan sumbangan kepada mereka.
Hazmi berkata, pihaknya melalui badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Amal Harapan Kelantan menyumbang sebuah motosikal kepada Mohd Azlam memandangkan keluarga berkenaan tidak mempunyai kenderaan.
Sumber : Harian Metro
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club