Hidup berkasih sayang perlukan kerjasama yang bukan sedikit bagi kedua-dua pihak. Tidak hanya seorang diri, baik suami atau isteri sama-sama berperanan memberikan yang terbaik untuk pasangannya.
Menggembirakan hati isteri mungkin dianggap remeh bagi suami. Namun para-para suami tahu tak bahawa menggembirakan hati isteri punya banyak kuasanya dalam mengutuhkan lagi hubungan yang sedang rawan.
Nak gembirakan hati isteri ternyata sangat sulit bagi sesetengah suami, apa lagi suami yang pendiam dan tidak banyak cakap. Jadi bagaimana? Tip ringkas ini wajar anda baca dan selami hati sang isteri agar menjamin kesejahteraan keluarga bahagia bersama. Malah pahala yang Allah janjikan juga pastinya milik anda.
1. Ungkapan Sayang Di Bibir
Jangan anggap kata-kata sayang adalah perkara yang remeh bagi anda. Selalulah beritahu isteri bahawa anda amat menyayanginya agar dia tahu dirinya sentiasa disayangi.
Tidak pernah tidak, pastikan setiap hari anda mengucapkan kata-kata ‘i love you’ biar hanya dalam sistem pesanan ringkas atau ‘whatsapp’. Dalam kesibukan tugasan dan kerja di pejabat, melihat mesej ringkas sang suami sekali imbas sahaja nyata menaikkan semangat si isteri. Kena buat!
2. Bergurau Senda
Tidak hanya kata-kata manis dan ayat ‘power’ untuk si isteri. Cukuplah hanya sekadar gurauan biasa yang membuatkan hati si isteri terhibur kala diusik. Tanpa kata-kata dan percakapan pastinya jadi lebih sunyi dan impaknya buat isteri kurang rasa dihargai apa lagi disayangi.
Jika berdua di dalam kereta misalnya, ambillah masa berbual dengan isteri dan sesekali selitkan gurauan dan usikan yang mampu buat isteri ketawa. Biarpun lelah menguruskan kerja di rumah dan anak-anak yang tidak pernah sudah, hati si isteri pasti terhibur.
3. Ringankan Kerja Isteri
Isteri pastinya tidak meminta. Namun sesekali bantulah ringankan tugas isteri di rumah dan boleh juga menjaga anak-anak kala dia perlukan rehat. Beri dia rehat yang secukupnya sekali-sekala tanda penghargaan untuk isteri.
Sesekali mengambil tugas menyediakan sarapan buat keluarga juga sudah dianggap hebat daripada isteri, apalagi jika anda meminta menyediakan makan malam untuk seisi rumah. Pasti isteri anda amat bersyukur dan bangga kerana memiliki suami seperti anda.
4. Pujuklah Hatinya
Bukan wanita rasanya jika isteri anda langsung tidak pernah merajuk dengan kelakuan dan kata-kata anda. Bukan kerana ayat kasar yang anda lontarkan tetapi yang anda perlu sedari, hati wanita sememangnya lembut dan begitu sensitif sekali.
Beri dia sedikit masa dan kemudian pujuklah dengan lembut. Jika tidak mampu bercakap secara langsung, mesej ringkas berbunyi ‘sayang’ atau ‘saya rindu awak’ sudah cukup buat wanita rasa tidak diabaikan. Apa lagi jika anda menghadiahkannya sebuah hadiah kecil. Jadi berusahalah.
5. Peluk Cium Selalu
Jangan anggap cinta sudah pudar biarpun anda sudah melalui usia perkahwinan yang sudah cukup matang. Sebaliknya berusahalah menjadikan hubungan anda sama seperti baru berkahwin.
Setiap hari di rumah, peluk dan ciumlah isteri selalu. Ambil masa dua minit untuk tip ini setiap kali sebelum melangkah kaki ke pejabat. Kajian pakar daripada Jerman membuktikan amalan ini cukup baik untuk sistem reproduksi wanita. Amalan yang pada mulanya janggal akan bertukar menjadi perkara paling menyeronokkan bagi anda. Bahagia itu milik anda. Ayuh lakukannya sekarang.
6. Luang Masa Bercuti
Jika mempunyai wang lebihan pada seperti bonus dan sebagainya, sesekali ajaklah isteri bercuti di hujung minggu. Tidak perlu perjalanan yang jauh, sebaliknya ukurlah kemampuan sendiri dengan bercuti di dalam negara sahaja.
Ambil masa berdua dan berehatlah daripada segala kesibukan urusan setiap hari. Lebih tenang, relaks malah isteri juga lebih gembira dan pasti tersenyum bangga. Memilih tarikh ulang tahun perkahwinan atau hari jadi si isteri tentunya menjadi memori yang paling diingati sepanjang hayatnya.