“Suami Saya Ni..” Dapat RM500 Bersalin 2023, Dr Sheikh Usik Isteri

Share

Minggu lalu, kerajaan telah mengumumkan inisiatif bantuan tunai secara ‘one-off’ RM500 yang diberikan kepada ibu bersalin pada tahun 2023.

Tidak terkecuali, Angkasawan Pertama Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor menyambut baik perkara itu dengan mengusik isterinya Datin Dr Halina supaya menambah cahaya mata pada tahun depan.

Menerusi sebuah posting di laman Instagram, Dr Muszaphar berharap pengumuman tersebut secara tidak langsung dapat dijadikan sebagai motivasi kepada isterinya.

“Bajet 2023. Dalam semua intipati belanjawan, inisiatif ini paling menarik perhatian saya. Semoga menjadi motivasi yang baik buat Dr Halina.

“Dapat duit belanja lagi haha,” selorohnya sebaik Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selesai membentangkan Bajet 2023 baru-baru ini.

Pada masa sama, figura berusia 50 tahun itu menjangka lebih ramai bayi akan dilahirkan pada tahun depan terutama dalam kalangan penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

“Pasti akan menjadi ‘baby boom’ tahun hadapan. Apa pandangan anda?,” soalnya kepada pengikut.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen berkongsi penjelasan bahawa tidak semua ibu akan mendapat bantuan tunai itu sebaliknya hanya diberikan kepada penerima BKM sahaja.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010 dan dikurniakan enam cahaya mata.

Mereka adalah Sophea Isabella, 11, Sophea Natasha, 9, anak kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah, 3 serta kembar kedua Sheikh Eusoff dan Sophea Emilia, 2.

Sumber: Instagram Dr Sheikh Muszaphar