Suami Pembentuk, Isteri Pencoraknya. Pasti Rumahtangga Kekal Bahagia Jika Saling Melengkapi.

Share

Peranan seorang suami dalam membahagiakan isteri adalah perlu ada supaya pembentukan keluarga bahagia akan tercapai.

Dalam hal yang demikian, suami perlu tahu tanggungjawab yang dipikul sebagai ketua keluarga.

Tidak dinafikan, memiliki akhlak terpuji merupakan lambang kecemerlangan dan keindahan terhadap keperibadian seorang muslim sejati.

Sebegitulah yang dikongsi oleh saudara Abu Hurairah Asifa  untuk membahagiakan pasangan sekali gus membentuk keluarga bahagia.

Semasa anak pertama lahir, saya tiada disisi isteri. Sebab masa tu saya roadtour show asia. Termasuk Indonesia dan Brunei.

Maka, sepanjang kehamilan isteri saya seorang sahaja mengharunginya. Tanpa saya. Dan saya memang kosong habis bab isteri mengandung ni.

Saya tak tahu apa yang dia lalui. Saya tak tahu apa yang dia rasai. Saya tak ambil kisah apa yang sedang di hadapi. Yang saya tahu, nanti dia bersalinlah. Simple!

Dan, akhirnya pada jam 4.30 pagi hospital telefon mengatakan bahawa anak pertama saya selamat dilahirkan oleh isteri. Saya yang masih mengantuk baru balik show menjawab biasa.

“Ok!” Kemudian tidur semula.

Kemudian jam 7.00 pagi isteri telefon.

“Abang, abang kat mana? Saya sakit. Sakit sangat”

“Ada kat rumah ni. Saya datang jap lagi. Alah, sabarlah. Sikit je tu”

Dan, bila saya sampai je kat hospital, saya lihat ada jururawat tengah bawa seorang bayi, betul-betul tepi saya. Putih melepak. Bibir merah. Comel sangat. Masa tu saya terbayang, kalaulah anak aku macam ni kan.

Saya terus dapatkan isteri. Isteri salam dan peluk dengan kuat. Menangis tak berhenti.

“Assalamualaikum tuan puan. Ini bayinya. Comel!”

Kami pun pandang bayi itu. Ya Allah, itulah bayi yang saya pandang tadi. Rupanya, anak kami.

Sepanjang hari itu, itulah pertama kali saya rasakan satu perasaan yang lain. Yang tak saya rasa sebelum ni.

Dengar isteri bercerita saat dia bersalin, berlinangan airmata ini jatuh kerana betapa hebatnya seorang wanitu melahirkan. Betapa kuatnya menghadapi ini berseorang.

Saya minta maaf pada isteri, atas sikap saya yang begitu. Ya, saya belajar tentang perasaan ini daripada kelahiran pertama kami.

Bila saya pulang, saya tiba-tiba rindu pada anak kami. Rindu pada isteri. Bila waktu melawat, saya yang sampai dulu.

Masa tu guna handphone tiada kamera. Saya pergi kedai beli kamera digital. Saya snap gambar anak dan isteri beribu kali. Bila rindu saya lihat gambar mereka.

Suami adalah seorang lelaki. Jika dia hanya seorang lelaki, dia adalah hanya sekadar kayu yang tegak berdiri.

Namun, saat dia menjadi suami, kayu yang kaku itu akan bergerak mengikut angin yang dibadai anak isteri. Kayu itu akan di hiasi ranting dan bunga hasil dari corak dan warna dari anak isteri.

Kalau kita menjadi suami, dan kekal menjadi kayu yang kaku dan tak berseri, percayalah kita lah punca kepada rosaknya hati dan jiwa isteri.

Kita ego dengan sikap kita.

Kita keras dengan pendirian yang entah apa-apa.

Kita sepohon kayu yang tak merimbun. Yang tak bermanfaat.

Jadilah suami yang belajar membawa rasa dalam rumahtangga. Yang memandang dan melihat anak isteri itu berbeza. Yang kuat dan selalu berdoa pada Tuhannya.

Pasti, rumahtangga kita akan sangat disenangi dan disukai Allah dan orang-orang yang melihatnya nanti.

Syurga rumahtangga, bermula dari seorang lelaki yang bernama suami dan isteri.

Suami pembentuk. Isteri pencoraknya.

Sumber: Abu Hurairah Asifa